FOLLOWERS

Lagi Sedutan Bebunga Kasih


pompompompompompompompompompompompompompompompom


Akhirnya, Nyza menurut jua kemahuanku pulang se-belum majlis bermula. Kepulangan kami diiringi irama leteran dari mulutnya.

“Kau ni memang tak boleh dibawa ke majlis langsung! Belum sempat jumpa pengantin, dah sibuk nak balik.” Bebelannya berlarutan hingga ke rumah.

“Lain kali jangan ajak aku,” balasku.

“Habis tu, nak ajak siapa? Tunang kau?” tukasnya dengan cebikan di bibir.

“Hei! Jangan sebut-sebut pasal lelaki tu lagi ya!” Pantas aku memberi amaran dengan telunjukku lurus ke mukanya. Dia tergelak kecil melihat reaksiku.

“Frustlah tu!” sindirnya berlawak. “Benci, tapi suka,” sambungnya lagi.

Malas melayan, aku pura-pura pejamkan mata dan pekakkan telinga sambil menyandar ke sofa. Renungan Nyza yang duduk bertentangan denganku tidak aku hiraukan.

“Jangan ada benci, Dya. Takut nanti jadi racun yang akan membusukkan hati.”

“Baguslah! Tak payah aku susah-susah beli racun untuk bunuh lelaki tu,” balasku dengan mata yang ter-pejam.

“Sampai macam tu sekali kau benci dia. Jangan, Dya...benci-membenci sesama kita mengundang dosa dan ba-nyak musibahnya.” Nasihat Nyza aku telan tanpa rasa. Benar kata-nya, tetapi bagaimana untuk kubuang rasa benci itu?

Malas mendengar bebelan Nyza yang berjela-jela dan berangkai itu, aku bangkit ke bilik. Baru sahaja menutup daun pintu, telefon bimbitku terjerit-jerit minta diangkat.

“Hah! Apa hal?” Aku menjawab kasar setelah pasti pemanggilnya adalah Zarif.

“Kenapa tak cakap nak pergi majlis tu?” tanya Zarif lembut seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara kami. Nampaknya, kekasaran-ku menjawab panggilannya tidak memberikan apa-apa kesan pun padanya.

“Saya pergi dengan Nyza, bukan dengan jantan lain.” Aku menyindirnya sinis.

“Dya, please... saya bukan nak cari gaduh.” Dia cuba memujukku.

“Habis tu, awak nak apa ni?” soalku kasar.

“Saya ada ajak awak, tapi belum sempat saya habis cakap, awak dah tolak.” Dia meletakkan kesalahan itu di atas bahuku. Kalaupun aku menolak, itu tidak bermakna dia boleh sesuka hati keluar dengan perempuan lain, apatah lagi dalam keadaan kami sekarang.

“Awak marah ke?” Soalan bodoh yang keluar dari bibirnya hampir membuatkan aku tertawa. Untuk apa aku mahu marah?

“Tak adalah! Sukaaa... sangat!” Sengaja aku menekankan perkataan ‘suka’ itu.

“Okeylah! Saya nak tidur,” sambungku lalu terus me-nutup talian seperti selalu. Melayan lelaki itu hanya mengundang rasa sakit yang tiada penghujungnya.

Setelah menamatkan perbualan, aku termenung sambil berbaring. Sukarnya mencongak masa depan, sesukar hidup di masa silam. Sampai bilakah aku mampu hidup aman tanpa gangguan manusia bergelar lelaki?

Lama aku termenung, Nyza masuk setelah mengetuk pintu. Aku bangkit apabila dia melabuhkan punggung di birai katil.

“Kau marahkan dia ya?” Dia memulakan bicara dengan so-alan yang telah kuduga.

“Marah siapa?” Aku pura-pura tidak mengerti.

“Dya... Zarif tu bukan...”

“Kalau tujuan kau masuk ke sini nak bercakap pasal dia, aku tak mahu dengar.” Pantas aku memotong dan kembali berbaring.

“Kalau tak mahu dengar, macam mana kau nak tahu cerita sebenar?” gumam Nyza.

Aku bingkas berdiri. Wajah Nyza menjadi sasaran mataku. Pun begitu, dia masih buat muka bodoh.

“Nyza, lelaki tu dah bergelar tunang aku, tapi dia sewenang-wenangnya keluar dengan perempuan lain yang juga merupakan kekasihnya di depan mataku sendiri. Apa lagi cerita benar yang ada selain kebenaran yang terbentang di depan mata?” luahku penuh perasaan.

“Kalau betul di hati kau tu tak ada apa-apa rasa untuk dia, kenapa pulak kau harus cemburu?”

“Aku bukannya cemburu...” Aku cuba menyangkal tu-duhannya. Tetapi dalam masa yang sama, aku mula rasa sangsi dengan diriku sendiri. Benar katanya... kenapa harus ada rasa marah dan sakit hati jika benar aku tidak punya apa-apa perasaan pun terhadapnya? Apa sebenarnya yang aku rasa waktu ini? Argh! Aku keliru.

“Marah yang wujud di hati kau tu adalah kerana rasa cemburu. Kau tak perlu nak nafikannya, Dya.” Nyza masih ingin mengelirukanku dengan hujah-hujahnya.

“Mungkin kau lupa yang aku ini sahabat kau.” Aku mula rasa tidak selesa dengan asakan Nyza

“Entahlah, bila tiba saja bab Zarif, aku rasa macam aku dah tak kenal kau lagi.” Akhirnya dia mengeluh perlahan. “Lagipun, bukan maksud aku nak menyebelahi sesiapa. Kau kawan aku, dia pun kawan aku.” Dia menyambung kata

“Sejak bila dia jadi kawan kau?” tukasku pantas, hairan dengan kenyataan yang dibuatnya.

“Dia bukan datang dengan Ikin hari tu, tapi terserempak dengan perempuan tu kat luar dewan.” Jawapan yang diberikannya terpesong jauh daripada soalanku.

“Mana kau tahu?”

“Dia yang beritahu.”

Jawapan Nyza meng-hairankan aku.

“Bila masa pulak dia beritahu kau?” Meletus soalan itu dari bibirku. Aku renung wajah serba salahnya dengan kening yang berkerut.

“Dia call aku tadi.” Akhirnya Nyza memecahkan rahsia. Sejak bila mereka saling berhubungan?

“Macam mana dia tahu nombor telefon kau? Sejak bila pulak kau rapat dengan dia ni?” Bertalu-talu soalan aku lemparkan kepadanya.

“Eh! Takkan dengan aku pun kau nak cemburu?” tempelak Nyza sedikit meninggi.

Cemburu? Benarkah aku cemburu? Kalau bukan cemburu, apa sebabnya aku marahkan Zarif? Adakah kerana dia tunanganku atau aku mengharapkan lebih daripada se-kadar satu ikatan bertunjangkan kehendak keluarga? Ah! Persoalan itu hanya berlegar-legar di kepalaku tanpa jawapan. Sudahnya, aku hanya mampu berharap moga apa yang berlaku nanti semuanya yang baik-baik belaka walau hakikatnya aku tahu di antara aku dan Zarif tidak mungkin akan wujud perkataan baik atau perkataan-perkataan yang seumpama dengannya.


pompompompompompompompompompompompompompompompomSebenarnya, tajuk asal cerita ini ialah JANGAN ADA BENCI tapi kena reject...pastu aku bagi MASIH AKU TERASA, kena reject jugak..last sekali aku cakap suka atilah nak letak apa...maka lahirlah BEBUNGA KASIH




No comments: