Semalam, ketika aku sedang jalan-jalan cuci mata kat tempat kerja, tiba-tiba pandanganku tertancap pada seraut wajah seorang wanita. Wajah itu mengingatkan aku pada kenalan lama yang entah di mana dia berada waktu ini. Perkenalan kami cukup singkat tetapi memberi kesan yang amat dalam pada sekeping hatiku.
Waktu tu, aku masih seorang kanak-kanak nakal yang berusia 11 tahun(darjah lima)Ketika itu, sekolah di kampungku hanya ada satu kelas untuk setiap darjah.
Pada pertengahan tahun, ada seorang murid baru masuk ke kelasku. Dia aku lihat cukup pendiam dan terlalu merendah diri. Pada pandanganku, dia wanita yang cukup cantik, tinggi lampai, berkulit hitam manis dan berkening lebat. Paling aku suka ialah rambutnya yang hitam berkilat dan lurus panjang hingga ke paras pinggang itu. Melihat parasnya aku diburu rasa cemburu kerana apa yang dia ada memang menjadi impianku sebagai seorang wanita. Tetapi sebenarnya aku lupa, masih ada sesuatu yang lebih bermakna dari rupa paras yang cantik itu, ianya pastilah hati yang tulus.
Aku sering memerhatikannya. Dia tidak banyak bercakap. Mungkin kerana itu, kelihatan seperti dia antisosial dan tidak suka berkawan. Setiap kali waktu rehat, dia hanya akan duduk di dalam kelas sambil membaca.
Suatu hari, aku cuba bertanya kenapa dia tidak pernah keluar makan ketika waktu rehat. Nak tahu apa jawapannya?
"Saya tak bawa duit." Aku terdiam sejenak dan hati tulusku mula bergerak untuk meminjamkan dia duit.
"Kalau awak nak makan, saya pinjamkan duit saya." aku memberi tawaran tetapi kelihatan dia mengeleng kepala.
"Kenapa tak nak? Nanti awak bayarlah balik." Sekali lagi aku cuba membuat tawaran.
"Saya tak pernah bawa duit datang sekolah." jawapannya memeranjatkan aku.
"Kenapa?" Spontan aku bertanya.
"Saya orang miskin. Keluarga saya tak mampu." perlahan saja jawapannya sekali lagi memeranjatkan aku. Takkan dua puluh sen atau tiga puluh sen sehari untuk ke sekolah tidak mampu?(Waktu tu, sepinggan nasi di kantin sekoah boleh doberli dengan harga dua puluh sen dan air pula diberi percuma)
"Sepuluh sen pun tak boleh bawa?" Aku masih bertanya ingin tahu. Keluargaku walau pun tidka mewah, aku bebas untuk membawa berapa ringgit saja ke sekolah dan aku boleh mengambil sendiri wang tersebut di dalam laci kerana waktu tu, rumah keluargaku yang bersambung dengan kedai runcit itu akan kelihatan duti syiling bersepah di mana-mana. Kerana itu, aku jadi hairan apabila mendengar ada orang lain yang langsung tidak mampu walau untuk membawa sepulun sen untuk bekal ke sekolah.
Dia mengeleng kepala. "Keluarga saya orang susah. Dapat makan nasi sekali sehari pun dah cukup, itu pun hanya dengan ulam pucuk gajus atau pucuk ubi cicah dengan garam."
"Hah!" Aku terperanjat lagi mendengar penjelasannya. Aku tidak pernah dengar oarng makan nasi dengan ulam cicah garam. Setahu aku, selalu orang cakap kalau tak ada duit, makan nasi dengan ualm cicah budu.
"Kenapa tak cicah budu?" Mulut aku masih gatal bertanya.
"Dapat beli budu sekali sekala pun dah cukup baik. Apatah lagi kalau dapat ikan masin. Itu pun dah cukup mewah buat kami." Ikhlas nadanya menjawab soalanku.
"Saya anak pertama, adik-adik yang lainpun ada yang tak di hantar ke sekolah sebab tak cukup belanja nak beli baju. Yang saya pakai ni pun derma dari orang." Sambungnya lagi sambil menunjukkan ke arah baju kurung sekolahnya.
Aku tunduk melihat kasutnya, nampak lusuh dan berlubang di depan menampakkan hujung jarinya yang tak berstokin itu. Baju kurung sekolahnya kelihatan lusuh dan bertampal di tepi pesaknya.
Aku tunduk bermuhasabah diri. Betapa aku diberikan banyak kelebihan. Makanan tak payah nak cerita, kalau tak ada tiga empat jenis lauk memang tak sah sebab mak aku memang suka masak banyak-banyak. Walau adik beradik ramai sampai empat belas orang, ayahku orang business dan mampu memenuhi kehendak anak-anak walau tidak terlalu mewah.
"Awak asal dari mana?" Aku cuba mengorek cerita keluarganya.
"Mak saya orang Thailand tapi ayah saya orang sini. Kami baru pindah ke sini. Ayah saya menoreh getah dan pakcik tuan punya kebun tu bagi kami duduk di pondok tepi kebun getah dia."
Sekali lagi aku terkedu. Duduk di pondok maksudnya, sebuah rumah kecil tanpa bilik dan tanpa dapur yang dibina di dalam kebun sebagai tempat menumpang teduh ketika hari hujan.
Aku pandang wajah hitam manisnya. Tanpa sedar, tanganku bergerak mengeluarkan duit satu ringgit yang masih berbaki di dalam saku dan daku hulurkan padanya.
"Ambillah duit ni. Gunalah untuk beli makan. Kalau tak nak guna, awak simpanlah." Aku letakkan duit ke tapak tangannya dan dia kelihatan tergamam dengan pemberianku.
Selepas hari itu, aku terus menjadi sahabatnya tetapi tidak lama apabila aku dengar dia sudah pun berhenti sekolah. Aku sendiri tidak pasti sama ada dia berpindah ke sekolah lain atau terus berhenti dari bersekolah akibat kemiskinan.
Sehingga ke saat ini, aku masih ingat wajahnya dan masih ingat namanya yang seakan-akan namaku itu. Buatmu teman, moga kau bahagia walau di mana kau berada waktu ini.
No comments:
Post a Comment