FOLLOWERS

Rahsia Di Hati Katrina...

Razak Ashraf…..Sukar sangatkah untuk kau mengerti apa yang ada pada sekeping hatiku ini? Banyak sangatkah yang aku minta sehingga kau tergamak mengatakan aku perempuan yang suka mementingkan diri sendiri?

Terasa air mataku ingin saja terus gugur saat telingaku mendengar ungkapan keramat itu. Aku hanya sekadar bertanya tetapi tidak pernah terduga akan mendengar jawapan yang begitu dari bibir seorang lelaki yang aku letakkan paling atas di hatiku. Andai kemanisan tidak mampu kau ungkapkan, cukuplah sekadar diam tanpa jawapan.

‘Sayang…sorry la kalau saya buat awak sakit hati.’

Itulah pesanan ringkas yang dihantarnya berulangkali untuk memujuk tetapi aku biarkan tanpa balasan. Berkali-kali malah tak terkira dek jari juga panggilannya tidak aku pedulikan.

Ah! Dia juga sama dengan mereka yang lain, mengaku menyayangiku tetapi tidak pernah mahu mengerti hati dan jiwa wanitaku ini. Entah kenapa aku rasakan orang-orang yang aku sayang makin jauh meninggalkan diriku. Mungkinkah aku yang terlalu sensitif atau mereka sebenarnya yang tidak mengerti?

‘Awak ni teruk laaa…’

Pesanan ringkas yang terakhir masuk ke telefon bimbitku itu
terus saja membuatkan dadaku berombak ganas. Ini memang sudah melampau. Lantas aku terus membalasnya.

‘Kalau saya ni teruk, jangan cari saya lagi!!!’

Beberapa saat setelah aku menekan butang send, dia terus membalasnya.

‘Ok laaa…saya minta maaf…
kalau ya pun marah,
jangan la sampai macam ni.
Call tak angkat, mesej pun tak reply.’

Membacanya, aku terus melepaskan keluhan berat. Untuk apa lagi dia mencariku kalau aku ini wanita teruk yang suka mementingkan diri sendiri? Aku balas lagi pesanan ringkasnya dengan rasa marah yang bergumpal di dada.

‘Awak nak apa sebenarnya ni???’

Sesaat cuma, dia kembali membalasnya.

‘Saya nak awak!!!!’

Aku terus terkedu membaca pesanan ringkasnya itu. Cuma tiga perkataan tetapi kenapa hatiku terasa bergetaran tidak menentu.

Beberapa ketika aku merenung skrin telefon, tiba-tiba panggilannya sudah menembusi talian. Sebelum sempat akal melarang, jemari pula sudah bertindak menekan butang hijau dan sekali gus talian bersambung.

“Sayangggg..” Suara seraknya menusuk masuk ke anak telingaku dan terus meresap sampai ke hati. Aku sangat menyayanginya. Dialah satu-satunya lelaki yang mengenalkan aku pada satu rasa yang bernama cinta.

Aku bagai sudah kehilangan ramai orang-orang yang aku sayang yang selama ini berada di sekelilingku tetapi aku tidak mahu kehilangannya. Cukuplah hanya ada dia, aku sudah tidak memerlukan sesiapa lagi. Tetapi, kenapa dia bagai tidak mengerti apa yang aku rasa?

“Sayang….saya minta maaf kalau kata-kata saya telah melukakan hati awak. Saya tak pernah bermaksud begitu. Saya cuma nak awak tahu bahawa saya sangat menyayangi awak. Saya cintakan awak kerana awak adalah Katrina Anis dan saya tidak pernah ingin awak menjadi orang lain selain dari diri awak. Biar berjuta orang mengatakan awak teruk atau sebagainya, untuk saya…. Awak wanita paling sempurna pernah hadir sepanjang hidup saya.”

Aku terus menangis, menangis dan menangis mendengar luahannya yang panjang itu. Benar….cukuplah hanya dia yang ada di sisiku dan aku sudah tidak memerlukan apa-apa lagi. Itulah sebenarnya yang ada di hatiku sejak dulu dan sehingga kini hanya itu saja yang aku mahu…..Aku hanya inginkan SEBUAH PENGERTIAN, tidak lebih dari itu.

No comments: