BUNTU! Dia tidak boleh menyiapkan cerita
tentang lelaki yang bernama Hareez Daniel itu kerana ada beberapa maklumat yang
dia lupa untuk bertanya. Ni semua lelaki tu punya pasal. Bila ditanya,
jawapannya jauh melencong. Lebih-lebih lagi bila soalan berkaitan hal peribadi.
Sudahlah itu tugasan pertamanya yang perlu
dibuat sendirian. Yanie, rakan sekerja yang sama team dengan dia pula
bercuti balik kampung. Kalau tidak, bolehlah dia meminta tolong Yanie untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Yanie orang lama, tentu tahu bagaimana nak
buat.
"Tia, story tentang si handsome
Hareez tu dah siap ke belum?" lebar senyuman Puan Mariam saat menyebut
perkataan handsome itu.
“Belum, Puan.” Pantas Fatia menjawab.
Handsome?
Yerk! terasa loya tekak dia
mendengarnya. Nasib baik tak termuntah depan-depan Puan Mariam. Handsome ke? Entah! Dia tak sempat nak
pandang lama-lama sebab dah terkantoi awal-awal. Lagi pun, dia memang bengang
dengan mamat sengal tu yang ala-ala kasanova yang cuba menggoda. Nampak sangat
gatal!
Dengan malas Fatia membuka e-mail kiriman
Mazlan yang mengandungi lampiran gambar-gambar
ketika sesi photo shoot lelaki
tersebut kelmarin. Tak banyak sebab lelaki yang 'perasan bagus' itu dah siang
siang warning jangan shoot gambar dia banyak-banyak.
'Kalau gambar berdua dengan wartawan yang
muka garang macam beruang terkena sawan ni, I sanggup. Seratus kali shoot pun boleh.'
Itulah ayat Hareez ketika sesi fotografi
yang membuatkan Fatia rasa seperti nak pijak muka orang. Bicaranya yang
beriring sengihan di bibir itu langsung tak kelakar di telinga Fatia tetapi
disambut gelak tawa oleh team Mazlan. Geramnya! Ada ke muka cantik manis
macam dia ni dikatakan seperti beruang terkena sawan?
Fatia print
gambar-gambar tersebut, nak tengok dan telek sejauh mana handsomenya. Tenung di skrin komputer rasa macam berpinar biji
mata.
Satu-persatu gambar tersebut diteliti.
Lama matanya tertancap pada gambar yang diambil secara dekat. Ya! Handsome, Fatia terpaksa akui. Rasanya,
orang rabun pun akan kata lelaki ni handsome.
Tak payah nak teliti tempat lain, senyumnya saja boleh buat degup jantung
berubah rentak. Tapi, itu tidak bermaksud hatinya jatuh suka. Lelaki gatal gaya
kasanova begitu minta dijauhkan dari frekuensi getaran hatinya.
Gambar-gambar tersebut diletak ke atas
meja. Baik siapkan ceritanya cepat-cepat sebelum Puan Mariam mengaum. Kalau
mulut ketuanya dah berbunyi, takut pula bernanah anak telinga. Baru beberapa
bulan kerja di sini, Fatia sudah cukup masak dengan perangai wanita itu. Kerja
jangan suka lengah-lengah.
Sambil mengetuk-ngetuk permukaan meja,
Fatia mencongak di kepala. Kalau dia main tulis saja, takut buta-buta kena
marah. Setakat kena marah takpe lagi, kalau terus kena saman siapa yang susah?
Timbang dan tolak, campur dan bahagi,
akhirnya Fatia angkat juga gagang telefon. Kalau bukan dia, nak suruh siapa
yang menelefon? Takkan nak minta Puan Mariam kot, tak logik sungguh. Kecualilah
kalau Puan Mariam tu kekasih hati lelaki tersebut.
Dua kali deringan, panggilan dijawab oleh receptionist kemudian talian disambung
apabila Fatia menyebut nama lelaki tersebut. Rasa debarnya tiba-tiba mencanak
sementara menunggu talian disambut. Pertama kali dia merasa ngeri untuk
bercakap dengan seseorang di telefon.
Suara perempuan yang menyambut melegakan
hati Fatia. Pasti setiusahanya yang bernama Tania itu. Kemudian, talian
disambung lagi setelah detailnya diambil.
"Hareez speaking."
"Eerrrkkk..." Fatia terus jadi
gagap tatkala mendengar suara lelaki tersebut. Sedikit garau tetapi sedap
didengar oleh telinga. Betullah, lelaki ni macam ada ‘Saka’ yang boleh buatkan
dia sering hilang kata-kata.
"Assalamualaikum Encik Hareez,
I...."
"Waalaikumussalammmmm....."
Hareez terus memintas, meleret dan panjang seolah menyambut salam seorang
sahabat yang sudah lama tidak ditemui.
"Ya sayang, ada apa-apa yang boleh I
bantu?"
"Encik! Berapa kali I nak ulang
jangan panggil I begitu!!" Fatia terus terjerit. Rasa geram melencong
kawalan suaranya.
"Panggil begitu??" Hareez
tergelak dihujung talian. Hari ini dia sangat sibuk tetapi tatkala mendengar
suara gemersik wartawan yang cantik itu, mood mengusiknya tiba-tiba saja
datang.
"Begitu tu apa?" soal Hareez,
saja main-main. Dapat dibayangkan wajah masam kelat wanita di hujung talian
sana.
"Sayang!"
"Ouh! I memang dah tahu you sayang
I." Hareez gelak lagi.
"Uwek! Kenapa I tiba-tiba rasa loya
ni?" Fatia membalas. Sopannya langsung sudah hilang entah ke mana.
"Aik! I belum 'SENTUH' you lagi tau.
Macamana you dah loya-loya ni?" balas Hareez pula dengan menekankan
perkataan sentuh.
"Eeee.... Geramnyaaaaa.... Ya Allah!
Kenapalah ada manusia yang sengal macam dia ni." Fatia tepuk-tepuk dahi
sendiri. Kalaulah lelaki tu ada depan dia waktu ni, memang ada la yang kena
hempuk kepala dengan ganggang telefon.
"Alaaa.. Sengal-sengal I pun you suka
juga kan?"
"Eh! Tolong sikit yer. Kalau..."
"Cakap jer la terus terang yang you
tu suka I." Hareez gelak-gelak lagi. Entah kenapa dia suka benar dengan
reaksi wartawan tersebut, spontan dan langsung tak ada kontrol-kontrol. Kalau
perempuan lain, tentu sekali sudah lemah gemalai kontrol ayu bila bercakap
dengannya.
Fatia sedut nafas dalam-dalam. Bersama
itu, dia tarik sebanyak mungkin kesabaran untuk dikumpul di ruang hati.
“Encik! Boleh tak kalau I nak dapatkan sedikit
lagi maklumat?” Fatia terus ke persoalan
pokok tujuan dia menelefon lelaki itu.
“Encik ni dah berkeluarga ke belum yer?”
terus saja dia bertanyakan soalan tanpa menunggu orang disebelah sana bersuara.
“Kalau I kata belum, you nak tak kahwin dengan I, jadi ‘keluarga’ I?”
Hareez seperti membuat tawaran dalam jawapannya.
Hah! Buntang mata Fatia mendengar tawaran
tersebut. Mudahnya.... macam sesi tawar menawar di pasar borong. Apa dia ingat
aku ni ikan kembung yang boleh dibeli kilo ke? Eee.. geram sungguh! Orang tanya
betul-betul, dia main-main pulak.
“Terima kasih jer la Encik, I belum GATAL
lagi nak kahwin dengan encik,” balas Fatia dengan menekankan perkataan gatal.
Apa dia ingat semua perempuan gatal dan miang bila diayat begitu?
“Oh! Tunggu gatal dulu baru boleh kahwin
yer? Nantilah, I hantar sayur keladi suruh you makan. Lepas tu bila you rasa
gatal, tentu you nak kahwin dengan I kan?” Hareez terus tergelak di hujung
talian. Gelak yang betul-betul buat dia rasa hilang semua stres. Rupanya, dia masih
mampu untuk ketawa dan tersenyum gembira.
Geram! Fatia terus tamatkan talian. Dia
bimbang jika menunggu lebih lama akan ada ayat-ayat orang meroyan keluar dari
bibirnya. Takut pula jika dianggap kurang siuman.
Arrrghhhh!!!... Tanpa sedar, bibirnya
menjerit kecil. Nasib baiklah rakan-rakan pejabat yang duduk berdekatan
semuanya telah keluar menyelesaikan tugasan masing-masing. Tensionnya
dengan mamat sengal sorang ni hanya TUHAN saja yang tahu.
Geram yang sukar untuk surut, gambar
Hareez yang terdampar didepannya di tarik. Marker pen warna hitam dicapai dan
jemarinya terus bergerak-gerak menconteng wajah yang sedang tersenyum itu.
Mula-mula, dagunya menjadi sasaran.
Janggut seperti kambing jantan dilukis di situ. Kemudian bergerak pula ke
bahagian atas bibir. Misai Datok K dilukis pula di situ.
Selesai misai, tangannya bergerak pula ke
kepala untuk melukis kopiah seperti yang dipakai oleh atok Upin dan Ipin. Belum
sempat menjadi kopiah, gambar tersebut ditarik oleh seseorang.
Melihatkan Puan Mariam yang berdiri di
depan meja bersama gambar yang dia conteng itu berada di tangan wanita itu,
wajah Fatia terlopong dan badannya terus tegak mematung.
"Ni bukan ke gambar Hareez? Apa yang
you buat ni Fatia?"
"Eerrkk... Tu gambar yang rosak Puan.
Saja I conteng-conteng sambil cari ayat yang sesuai nak buat story."
Spontan idea Fatia datang memberi alasan. Bohong sunat!
Puan Mariam terus menggeleng tapi sesaat
selepas itu, bibirnya mengukir senyum sambil menatap gambar tersebut.
"Kalau tuannya tahu gambar dia
diconteng begini, mahunya dia potong tangan you Fatia."
"Eerrr.. Kalau puan tak cakap, tentu
dia tak tahukan? Tak mungkin I begitu bodoh nak pergi cakap kat dia."
Fatia sengih sambil kerdipkan mata pada bosnya.
Puan Mariam menggeleng lagi. Setiap kali
berbicara dengan Fatia, dia sering ingin tergelak. Fatia punya sesuatu yang tak
ada pada stafnya yang lain. Sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya.
Yang pasti, apa yang Fatia buat tidak pernah tidak betul di matanya, tidak
pernah dia tidak bersetuju dengan apa saja yang dikatakan Fatia.
Walau masih baru dan langsung tidak ada
pengalaman dalam bidang kewartawanan, Fatia cepat belajar. Dia bijak dalam
segala hal. Dia tahu bawa diri. Jadi, tidak hairan dalam masa yang singkat dia
sudah menjadi kesayangan ramai.
"I tadi nak minta you siapkan cerita
tentang Hareez ni cepat sikit sebab nak dimuatkan dalam keluaran bulan
depan."
"Baik puan. I cuba siapkan seperti
yang puan mahu,” janji Fatia.
Puan Mariam terus angguk kepala dan
berlalu pergi. Sehingga bayang ketuanya itu hilang di sebalik partition,
Fatia masih mematungkan diri di situ. Bagaimana nak siap kalau orang yang
menjadi bahan dalam cerita tersebut macam ada masalah mental? Silap haribulan
nanti, orang tu tak apa-apa, dia pula yang masuk hospital sakit jiwa.
No comments:
Post a Comment