FOLLOWERS

Showing posts with label Trailer 3. Show all posts
Showing posts with label Trailer 3. Show all posts

HSC : Trailer...

SEPANJANG majlis, aku mengekori sahaja ke mana Zhafir pergi. Bukan tidak ingin berenggang dengannya tetapi aku sebenarnya ingin lari daripada bayangan Arman.

“Kalaulah kita berdua pengantin dalam majlis ni, alangkah indahnya dunia.” Bisikan Arman ketika kami duduk bersebelahan di meja makan membuat aku tersentak.

Bukan setakat itu, apa yang membuatkan aku lebih takut apabila dia dengan bersahaja menggenggam tanganku di bawah meja. Bagai terkena renjatan arus elektrik, aku tergamam sendiri dan kaku di situ. Sebaik menoleh, dia menghulurkan senyuman, memanggil hatiku agar berpatah kembali.

Benar... aku tidak mampu melupakan dirinya dan aku juga tidak tahu bagaimana nanti hidup tanpa dia. Namun, aku harus juga akur pada kehendak takdir. Di antara aku dan dia, ada Zura. Aku tidak mungkin akan tegar merampas kekasih sahabatku sendiri dan aku juga tidak sanggup memutuskan hubungan di antara seorang anak dengan ibunya.

“Fea...” Suara Arman yang kedengaran begitu hampir di belakangku ternyata mengejutkan. Baru aku sedar, waktu itu hanya aku sendirian di sudut terlindung itu. Seketika tadi, Zhafir bersamaku tetapi entah bila masanya dia meninggalkanku sendirian di situ.

“Cuba awak tengok sana.” Arman menuding ke satu arah di mana Zhafir sedang bercerita dengan seorang gadis tinggi lampai berambut perang. Wajahnya tidak jelas kerana dia membelakangiku tetapi wajah Zhafir kelihatan sangat serius.

“Itulah Jessica, kekasih Zhafir yang ingin dia kahwini dulu,” tutur Arman sedikit mengejutkanku. Tiba-tiba, hatiku berubah, berlainan rasa. Ah, cemburukah itu? Tapi untuk apa sedang di hatiku tidak pernah wujud nama dia.

“Fea...” Arman menyebut namaku sekali lagi.

“Tolonglah Fea, berikan peluang pada diri kita.” Dia merayu tanpa kujangka. Sebak bertandang serta-merta di dadaku.

“Tinggal lagi seminggu saja... peluang tu dah tertutup rapat untuk dibuka kembali.” Perlahan-lahan aku menetapkan keputusan sambil menatap sepasang matanya. Jika inilah peluang terakhirku untuk melihat redup sinar matanya, akan kusimpan keindahan ini jauh ke lubuk hatiku.

“Kalau awak nak, seminggu tu dah cukup panjang untuk membatalkannya,” balas Arman, seakan-akan cukup mudah baginya.

Aku menggeleng lemah, enggan memikirkan buat kali kedua. “Jalan kita dah jauh bersimpang. Untuk berpatah balik, saya dah penat sangat.”

“Kenapa Fea, kenapa begini sudahnya?”
Entahlah. Aku juga tidak tahu kenapa sukar sekali untuk kami berdua menggapai bahagia. Hanya mampu mengintainya dari kejauhan kerana ada sejuta tangan sedang menghalang kami merapatinya.

“Awak terimalah Zura. Dia terlalu mengharapkan awak. Dia terlalu baik untuk disakiti hatinya.”

“Saya tak boleh...”