FOLLOWERS

Showing posts with label [12]. Show all posts
Showing posts with label [12]. Show all posts

HKC - Bab 12

Cepat benar masa berlalu. Pejam celik sudah hampir ke mid-sem. Cuti kali ini agak panjang sebab ia bersambung dengan cuti Raya Haji.

Permulaan cuti, aku malas untuk balik dan melepak di rumah along. Hari sabtu, kak long tidak mengajar dan aku ajak dia ke kedai buku kinokuniya di KLCC. Sebelum balik ke rumah di Putra Permai, aku ingin memborong novel banyak-banyak. Jadi, bolehlah aku menyibukkan diri dengan membaca novel tanpa perlu memikirkan soal kecil hati atau sakit hati.

Lagi pun, aku ni tak boleh duduk diam kalau tak ada bahan untuk dibaca. Walaupun sibuk dengan kertas projek yang bertimbun, novel tetap juga aku belek dan baca sebagai selingan tatkala otak jadi beku untuk berfikir. Kata Fatin, aku ni suka buat siaran iklan. Tengah-tengah sibuk menaip, boleh pula tiba-tiba berhenti dan ‘mentelaah’ novel sambil meniarap di katil.

Sedang melangkah menuju ke lif di tengah-tengah bangunan KLCC itu, kak long tiba-tiba menarik tanganku.

“Bukan Nurin ke tu?”

Aku pantas menoleh ke arah yang ditunjukkan kak long. Benar, itu memang Nurin dan tatkala melihat lelaki yang bergandingan dengan dia, aku hampir rebah di situ.

Zhafran! Aku telan liur yang tiba-tiba bagai tersekat di kerongkong. Melihat tangan Nurin yang melingkar di lengan Zhafran yang berkemeja lengan panjang itu, aku tidak perlu bertanya pada sesiapa pun tentang hubungan mereka. Tetapi kenapa hatiku bagai tidak ingin menerima kenyataan itu?

“Lya?” suara kak long menyedarkan aku.

“Ha’ah Nurin la tu.” Aku cuba mengawal suara sambil menarik tangan kak long untuk meneruskan langkah.

“Bukan lelaki tu kawan Lya ke?” lurus kak long bertanya dengan suara berbisik kerana waktu itu kami sudah sampai didepan pintu lif dan ramai orang sedang menunggu di situ.

Aku mengangguk cuma dengan sedaya mungkin mengukir senyuman untuk kak long bagi menutup segala rasa yang bergolak di hati. Patutlah sejak kebelakangan ini Zhafran jauh benar berubahnya. Patutlah sejak kenduri along hari tu, Zhafran jarang mencariku dan patutlah juga aku lihat Nurin sentiasa sibuk setiap masa.

Di celah-celah rak buku dalam kinokuniya, aku pejamkan mata beberapa saat dan hatiku turut sama merunduk pilu. Aku ingin menangis tetapi keadaan tidak mengizinkan dan rasa yang cuba aku tahan itu membuatkan nafasku jadi sesak.

Selepas memilih buku, kak long terus mengajak aku pulang sebab katanya, along sudah sedia menunggu kami di kondo. Minggu ni along dan kak long akak balik ke rumah ibu. Jadi, aku juga harus ikut balik. Takkanlah nak duduk seorang diri kat kondo along. Nampak sangatlah aku ni sedang cuba melarikan diri.

Sewaktu kami tiba di rumah ibu di Putra Permai, Nurin tiada di rumah. Agaknya, dia masih berdating dengan Zhafran. Entah kenapa, mengingati itu hatiku jadi sakit sekali. Sakit yang aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan ubatnya.

Selepas makan malam baru Nurin pulang. Katanya, dia dari kolej dan ada hal yang harus diselesaikan dulu sebelum pulang. Mendengar itu, aku dan kak long saling berpandangan. Pandai sungguh dia menipu. Riak di mukanya memang begitu meyakinkan . Kalaulah aku dan kak long tidak melihat dia tadi, buta-buta kami akan mempercayainya.

Petang ahad setelah along dan kak long pulang, aku tiba-tiba terdengar perbualan ibu dan Nurin di dapur.

“Kenapa mesti Zhafran, Rin? Bukankah Rin tahu dia kawan dengan Lya?” mendengar itu, hatiku jadi berdebar-debar. Aku sembunyikan diri di sebalik dinding sambil memasang telinga. Nasib baik waktu itu abah tiada di rumah.

“Itu Rin tahu mak long tapi, merekakan hanya kawan biasa. Abang Zhaf sendiri yang mengaku begitu.” Suara manja Nurin aku telan dengan perasaan berbaur. Benarkah Zhafran mengakui begitu? Ya! mungkin benar kerana Zhafran itu memang tidak pernah ada apa-apa perasaan terhadapku walaupun sebesar hama.

“Maksudnya, Rin dan Zhaf dah berbincang?” soal ibu.

“Dah mak long. Kami dah berbincang dari hati ke hati dan kami memang saling menyintai.” Suara Nurin kedengaran ceria sekali.

Oh! Buat pertama kali, aku tidak tahu apa rasa yang tiba-tiba datang membelenggu hatiku. Tetapi yang pasti, ianya amat menyakitkan. Ya Allah! Kau bebaskanlah hatiku dari belenggu perasaan itu.

“Raya Haji ni keluarga dia nak datang merisik.”

Hanya setakat itu yang mampu aku dengar sebelum kakiku bergerak menjauh, memanjat anak-anak tangga naik ke bilik.

Di bilik, aku menangis sungguh-sungguh. Buat pertama kalinya dalam hidup aku menangis begini. Saat itu aku terfikir, inikah yang dinamakan cinta dan beginikah rasanya cinta yang tidak kesampaian? Kenapa harus ada rasa yang sebegini?

Siapa boleh menjelaskan apakah erti cinta yang sebenarnya? Siapa yang boleh perincikan apa yang terkandung di dalam cinta itu sehingga ia mampu meranapkan sekeping hati dalam hanya sedetik waktu?

Berhari-hari selepas itu aku hidup seolah tidak berpijak di permukaan bumi. Segalanya terasa kosong dan tidak bermakna. Berhari juga aku cuba memujuk hati. Andai dia menjadi milik orang lain, bulan dan bintang masih tetap berada di langit dan udara masih berada di ruang yang sama. Andai aku tidak mampu memilikinya, bumi yang berputar tidak akan pernah berhenti atau keluar dari paksinya. Andai kami tidak bersatu, hidup harus jua diteruskan sehingga Tuhan memanggil kita ke sana.

Raya Haji tiba aku sambut tanpa hati dan jiwa. Entah ke mana hilangnya hatiku, pergi membawa diri yang makin hari makin terasa sakit. Selalunya, setiap kali raya, Zhafran tidak pernah gagal untuk datang beraya di rumahku tetapi raya kali ini mukanya langsung tidak kelihatan.

Tiba-tiba petang raya kedua dia menghubungiku dan mengajak aku keluar. Nurin ke mana? Hampir terkeluar soalan itu dari bibirku tetapi nasib baik lagi sempat tersangkut di kerongkong.

Mulanya aku teragak-agak untuk menerima ajakannya kerana bimbang aku gagal mengawal perasaan tetapi bila difikirkan kembali, terasa tidak kena. Dia tidak tahu apa-apa dan jika aku tiba-tiba berubah sikap, dia tentunya mengesyaki sesuatu. Ada baiknya aku berlagak biasa-biasa seperti dulu-dulu, seolah kami ini sahabat sepanjang hayat.

“Aku nak beritahu kau sesuatu sebenarnya.” Itulah permulaan bicara.

“Mungkin kau dah tahu, esok keluarga aku nak datang merisik Nurin.”

“Untuk siapa?” aku pura-pura buat tak tahu walaupun sebenarnya aku memang dah lama tahu. Ibu pun dah beritahu aku tentang itu malah seluruh ahli keluargaku memang sudah tahu. Cuma aku jadi hairan kenapa mereka seakan tidak membicarakannya secara terbuka di depanku. Semua perbincangan di buat secara tertutup di belakangku membuatkan aku pun malas untuk mengambil tahu.

Dia menyengih sambil mengeleng.

“Untuk akulah, untuk siapa lagi.” Dia tersenyum bahagia dan hatiku cukup terhiris melihatnya.

“Esok nak merisik baru hari ni nak cakap dengan aku? Patutnya, lepas kau sah jadi suami dia baru kau call aku dan cakap ‘aku dah jadi suami orang’.” Sinis aku menyindir. Tangannya pantas menjentik jariku yang berada di atas meja.

“Sakitlah!” jeritku sambil menggosok tangan yang terkena jentikannya tadi. Dia hanya ketawa melihat reaksiku.

“Tu la dulu aku cakap. Kalau kau kahwin dan mengandung, anak kau lahir mesti ikut rupa aku sebab hari-hari kau akan tengok muka aku.”

Aku bagai ingin tersedak mendengar kata-katanya itu tetapi nasib baik lagi minuman yang sedang aku sedut sempat melepasi kerongkong.

“Kau ingat aku tak ada kerja lain ke nak tengok muka kau tiap hari? Kalau aku kahwin, aku tentu ikut laki aku. Mana tahu, jodoh aku dengan orang jauh.”

“Kau dah ada ke?” pantas dia menyoal dengan mata membulat memandangku.

“Ada apa?” aku buat-buat muka bodoh.

“Buah hatilah!” tekannya, geram.

“Hati aku memang ada tapi sampai sekarang pun tak berbuah-buah. Nak pakai baja apa erk, supaya boleh keluar buah?”

“Hantu! Main-main pulak.” Dia terus menyepak perlahan kakiku di bawah meja.

“Sakitlah!” sekali lagi aku terjerit marah dan membalas dengan sepakan juga.

Dia ketawa lagi tetapi hatiku sudah menjerit dalam tangis. Seluruh jiwaku bergetar menahan rasa. Melihat tawanya, aku dapat rasakan kami tidak mungkin lagi boleh duduk dan bergurau senda seperti hari ini. Sungguh…perit dan ngilu tetapi aku harus menyembunyikan semuanya agar tidak terkesan oleh dia.

“Bagaimana erk, kau boleh suka kat dia? Selama ni aku fikir taste kau pastilah perempuan bertutup dan penuh sopan santun.” Aku tiba-tiba menyoalnya.

Teringat pula dia sering berkata, ‘Jadi perempuan ni banyak yang nak kena jaga. Kekadang aku tengok, pakai baju menutup aurat tetapi nampak setiap ceruk bentuk badan. Pakai tudung tutup kepala tapi bila angkat tangan nampak perut. Pakai tudung labuh, tapi baju dan seluar nampak segala bentuk badan.’

Omelannya itu buatkan aku tersengih sambil mengeleng kepala. Waktu itu, kami sedang lepak sambil study dan kebetulan ada seorang wanita cantik lalu berhampiran kami. Aku saja suka-suka angkat kening pada dia dan memuncungkan mulut ke arah siswi tersebut tetapi dia hanya mencebik dan terkeluarlah ‘ayat power’ tersebut dari mulutnya.

“Aku pun tak tahu bagaimana aku boleh tersuka kat dia dan kenapa hati aku boleh memilih dia sedang orang seperti dia tidak pernah termasuk dalam doa-doa seharianku.” Dia berhenti seketika.

“Mungkin Tuhan mengirim dia untuk menguji aku atau mungkin juga Tuhan ingin aku mendidik dia ke jalan yang lurus. Apa pun, aku yakin aku mampu bimbing dia.” Jawapannya buatkan aku tertelan liur berkali-kali. Alangkah bagusnya kalau Tuhan pesongkan hatinya ke arahku. Tetapi, perancangan Allah s.w.t. itu tidak ada sesiapa pun yang mampu menekanya.

"Dan kunci-kunci segala yang ghaib ada pada-Nya. Tidak ada yang mengetahui selain Dia. Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan di lautan. Tidak ada sehelai daun pun yang jatuh yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfudz)." (Surah Al An'am:59)