FOLLOWERS

HKC - Bab 15

Dua hari selepas pertemuan yang penuh menyesakkan dada itu, Zhafran datang lagi mencariku. Katanya, ada hal penting dan nada suaranya lemah tidak bersemangat.

Kali ini, dia tidak membawaku keluar dari kampus seperti selalunya tetapi hanya makan malam di kafe kolej kami.

“Sebelum aku cakap apa-apa, aku nak minta maaf dulu.” permulaan bicaranya sudah mengundang pelik di hatiku.

“Maaf? Untuk apa?” soalku dengan kening berkerut merenungnya.

Zhafran menghela nafas panjang sambil mengurut belakang lehernya, seperti kebiasaan apabila dia menghadapi situasi yang sukar dan berada dalam keadaan serba salah.

Nurin, Dia tak suka aku rapat dengan kau malah jumpa kau pun dia tak benarkan.” Kata-kata yang keluar dari bibirnya terus membuatkan darahku menyirap ke muka. Begitu sekali dia dikawal oleh Nurin.

“So!” aku buat muka blur walau sememangnya aku sudah dapat mengagak apa yang ingin diperkatakan olehnya.

“Lepas ni, kita tak payahlah jumpa lagi yer.” ucap Zhafran, menatap mataku seakan memohon pengertian.

Aku cuba memujuk hati agar mengerti situasi dirinya tetapi ianya terlalu sukar dan amat menyakitkan.

“Terpulang.” suaraku hampir tidak kedengaran.

Begitu sekali dia patuh pada kehendak Nurin sehingga sanggup mengenepikan aku sebagai sahabatnya yang sudah berpuluh tahun menemani tawa dan tangisnya.

Entah kenapa, aku rasakan Zhafran yang ada di depanku ini bukan lagi Zhafran yang aku kenal selama ini. Mungkinkah cinta telah mengubah dia menjadi manusia yang lemah? Yang hanya menurut kata tanpa mampu berfikir apa-apa?

“Kau marah ke?” Dia tiba-tiba menyoalku.

“Aku ada hak untuk marah ke?” soalku kembali sambil membuang pandang ke arah sekumpulan siswi yang sedang minum di meja berdekatan. Ketawa mereka begitu menggamatkan suasana kafe tersebut.

“Merajuk? Atau berjauh hati?” soalnya lagi.

“Apa yang aku rasa itu tak penting, yang penting kau bahagia dengan dia.”

Ya! Itulah yang aku mahu. Cinta mendorong aku untuk sentiasa mendoakan kebahagiaanya. Jika dia rasa dengan cara begini akan membahagiakan dirinya, itulah yang terbaik buat aku walaupun sebenarnya hatiku luka berdarah.

“Sorry yer, kalau buat kau terasa.” dia seakan dapat menyelami apa yang sedang bergolak di hatiku saat ini.

Kalau nak diikutkan terasa, aku memang sudah lama terasa dengan sikapnya. Kalau nak diikutkan rasa yang membaluti hati ‘hadiah’ pemberiannya, tidak cukup dengan hanya satu ucapan maaf.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, aku baliklah. Lama-lama nanti takut Nurin nampak atau ada yang nampak menyampaikan cerita pulak.” aku pantas bangkit berdiri untuk pergi dari situ.

Zhafran juga turut bangkit. Buat seketika kami saling berpandangan sebelum dia mengeluh berat.

“Janji dengan aku, kau tak akan marah erk. Aku akan cuba yakinkan Nurin tentang hubungan persahabatan kita then selepas tu, kita kembali seperti biasa.” dia seakan cuba memujukku walau aku tidak menunjukan rasa marah atau merajuk.

“Tak perlu kot.”

“Kenapa?” dia pantas menyoal dengan wajah pelik.

'Sebab aku dah tak perlu kawan seperti kau.' Aku ingin berkata begitu tetapi ayat itu hanya tergumpal di dada, tidak terluah menjadi kata-kata.

“Aku blah dulu ar..” aku terus berlalu.

“Lyaaa….” dia memanggilku namun aku tetap jua meneruskan langkah kerana saat itu air mataku sudah seakan ingin merembes keluar.

Sedihnya, hanya Tuhan yang tahu. Pilunya, hanya jiwa yang mengerti. Sakitnya, mencengkam hingga ke sanubari.

Malam itu, buat kedua kalinya, hanya kerana Zhafran aku menangis sungguh-sungguh. Ah! Bodohnya aku, menangis bagai langit akan runtuh esok pagi sedangkan orang yang ditangisi langsung tidak menghargai. Alangkah bagusnya kalau aku menangis begini kerana menginsafi diri sambil mengadap Ilahi.

"Kenapa mata kau bengkak? Menangis?" Fatin bertanya dengan kening yang berkerut hampir bertaut merenungku. Dia yang ketika itu baru balik dari ber’dating’ dan aku pula tidak sempat untuk menyembunyikan wajah dari tatapan matanya.

Aku mengeleng isyarat menafikan tetapi ianya tidak seiring dengan perbuatanku kerana dalam masa yang sama, air mataku kembali menitis. Waktu itu, aku sedang duduk di katil bersandar pada dinding sambil memeluk lutut rapat ke dada.

"Lya..." Fatin datang dan duduk di birai katilku.

"Zhafran..." hanya sepatah itu yang mampu keluar dari bibirku kerana waktu itu aku sudah sibuk mengawal air mata yang begitu degil ingin mengalir keluar walaupun aku cuba menahannya.

"Aku memang dah agak." ujar Fatin.

Aku pandang dia, mencari maksud disebalik kata-katanya.

"Sebab hanya Zhafran yang mampu buat emosi kau berubah-ubah begini." jelasnya sambil memegang lenganku.

"Lya.. Percayalah cakap aku, kau sebenarnya cintakan dia tapi kau cuba nafikannya." Dia seolah mampu meneka apa yang ada di hatiku.

"Aku tahu…..." akhirnya, aku mengakui jua. Rasanya, aku sudah tidak sanggup untuk memendamnya sendirian.

"Dah tu, apa masalahnya?"

"Dia dah tunang dengan Nurin."

"Hah!" Fatin terkejut. Matanya bulat memandangku.

Walaupun belum pernah bertemu, dia memang kenal Nurin melalui cerita-ceritaku. Cuma yang dia tidak tahu ialah tentang Nurin dan Zhafran. Dia tidak tahu bahawa Zhafran sahabat baikku itu telah bertunang dengan sepupuku sendiri. Malah ramai yang tidak tahu cerita ini sebenarnya. Yang tahu hanyalah keluarga terdekat kami.

"Dan... Nurin tak mahu Zhfran rapat dengan aku, malah jumpa aku pun dia tak bagi." aku sambung bercerita.

"What!!" Sekali lagi mata Fatin membulat.

"Itu bukan sepupu namanya, tapi hantu!" marah sungguh aku lihat dia. Macamlah dia yang berada di tempatku tetapi, berat lagi mata memandang, lagi berat aku yang menanggungnya.

Aku senyum sambil mengesat mata. Fatin kalau dia marah, mulutnya boleh tahan juga.

"Habis, Zhafran ikutlah?" soalnya.

Aku angguk kepala dan rasa sebak datang lagi. Sungguh… jika mampu diputar kembali waktu yang berlalu, aku tidak ingin menjadi sahabatnya apatah lagi untuk jatuh cinta pada dia.

"Zhafran tak nak jumpa kau lagi?" Fatin bertanya lagi dengan riak wajah tidak percaya.

Aku angguk lagi dan air mataku menitis kembali.

"Bodoh!" Mulut jahat Fatin sudah mula berfungsi.

Kerana Zhafran, aku jadi tidak malu untuk menitiskan air mata di depan Fatin. Kerana Zhafran, aku tiba-tiba saja sudah bertukar jadi ratu air mata.

Sekitar Kemeriahan PBAKL 2011 (22/4-1/05)

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur telah bermula pada 22 April yang lalu dan inilah kali kedua aku terlibat dalam pesta buku terbesar yang diadakan sekali setiap tahun.

Meriah! itu yang dapat aku simpulkan selama 2 hari bertugas di sana. Walaupun hanya 3 jam utk setiap hari, rasa seronok sangat. Jumpa dengan rakan penulis yang sudah lama tidak bertemu dan juga beramah mesra dengan pembaca2 tegar yang datang dan tidak pernah jemu memberi sokongan.

Hari pertama aku bertugas bersama Kak Norzalina Nordin dan beberapa penulis baru dan juga lama dari buku prima termasuklah Kak Indah Hairani, Nor Dhuha dan juga Liza Nur. Hari kedua pula bersama Kak Anis dan Ayu Emleda. Selepas bertugas sempat juga beramah mesra dengan Kak Meen, Hezzy yang datang memeriahkan lagi suasana dan juga Kak Haiza(kakakku yg Cumel)

Pengalaman paling manis apabila ada seorang makcik(seorang pembaca tegar novel2 melayu) yang begitu excited tatkala bersua muka dengan aku. Dia siap bawa buku HSC dari rumah untuk aku tandatangan. Katanya ini kali pertama dia datang ke pesta begini kerana anaknya yang begitu bermurah hati menawarkan diri untuk membawanya bertemu denganku. Oh! terharu. Mulanya dia salam dan pegang2 tangan aku sebabnya kami di pisahkan oleh meja. Lepas tu dia kata nak bergambar dan aku keluar dari tempat duduk. Masa tu dia terus peluk aku, pegang muka aku dan cium2 pipi aku beberapa kali. Katanya, dia baca buku aku berulang kali tanpa jemu.
Ya Allah..aku tak tahu nak cakap apa, terharu sungguh2. Sejuk rasa menjalar ke hati. Masa tu aku dah sebak semacam tapi bila dia kata aku comel, terus aku ketawa. Ada ke macam aku ni comel..hahahaa...

Lepas tu dia pergi beli buku then aku nampak dia datang balik bawa buku Ayu Emelda yang duduk sebelah aku untuk dapatkan tandatangan. Tapi aku tengok, takde pulak dia peluk cium Ayu bagai macam dia buat kat aku...sebab Ayu tak comel kot...hahaha jangan marah Ayu, aku gurau jer. Makcik tu pon cakap ko comel kan? dia siap cakap ko ni mesti orang kelantan sebab muka comel. Tapi bila aku cakap aku orang kelantan, dia pegang lagi tangan aku....kenangan tu aku akan ingat sampai bila2...


Ni salah seorang pembaca yang datang dari melaka semata-mata nak beli buku dan memriahkan lagi PBAKL 2011

Bergambar bersama Kak Indah Hairani dan salah seorang penulis buku Nur.

Bersama Kak Ina dan juga peminat novel, Kak Yan



Nilah makcik yang peluk dan cium2 aku tu. Beruntung dia dapat anak yang memahami sebab katanya, anak dia yg selalu belanja dia beli buku.


Yang kat depan tulah anak dia dan yang dia dukung tu cucunya. Yang pegang buku aku tu kawan dia yang datang bersama. Katanya, dia kenal kawannya tu kenal dan rapat kerana novel. tengok! novel juga boleh merapatkan silaturrahim sesama kita.

Hari kedua bersama Kak Sri Andalas, Kak Anis Ayuni, Ayu Emelda dan Iffa Zalia

Bersama Ayu, Kak Haiza Najwa, Hezzy Ara, Kak Meen dan Kak Anis.

Bersama pembaca tegar novel melayu, Tie Tinie, Jihan Rashid dan PA aku DLa Comee.(Tapi ari tu dah jadi terbalik, macam aku dah jadi PA dia, tolong bawakan buku yang dia borong banyak2 macam nak buat bekalan masuk hutan untuk satu tahun...hahaha..)

Yang kelakarnya, aku jumpa Tie ni depan kaunter cashir JS. Masa tu aku nak bayar buku yang Kak Meen kirim. Terkejut dengan pertemuan tersebut, kami masing-masing terjerit kuat sehingga abang yang jaga kaunter cashier tu terkejut sampai mengurut dada. Oh! macam orang tak betul pula aku masa tu. Malu sungguh!

PBAKL 2011 (22 April - 1 May 2011)

Untuk pengetahuan semua, aku akan berada di PBAKL esok dan lusa (Sabtu dan Ahad) dari pukul 10 pagi hingga 1 tghari.

Bagi yang membeli HSC di sana, ada sedikit cenderahati untuk anda. Tak banyak, limited saja sebab ini last minute punya planning.

Mulanya aku malas nak war warkan sebab limited edition. Tapi, takpelah.. cakap juga. Sesiapa yang cepat, dia akan dapat yer. Kat bawah ni bendanya...

HKC - Bab 14

Lama aku menunggu, hampir satu jam baru dia tiba. Waktu itu, aku sudah tidak tahu bagaimana untuk mengawal rasa marah kerana ia sudah menjadi berganda-ganda.

Tanpa menunggu dia keluar, aku terus membuka pintu keretanya dan masuk. Pintu aku hempas kuat untuk menunjuk perasaan.

"Kau tahu tak berapa lama aku tunggu kau!" semburku tanpa menunggu walau sesaat. Dia tidak pernah lewat begini sebelum ini.

"Kot yer pun nak marah, janganlah lepaskan perasaan pada pintu kereta aku. Kesian benda yang tak bersalah tu." dia menyengih.

"Aku serius!"

"Okey, okey... Aku tahu kau serius tapi kau tak baca ke, aku kan dah mesej kau beritahu aku lambat sikit. Tadi aku kat luar kampus."

Aku tarik nafas panjang-panjang. Bagaimana aku nak baca kalau telefon tu aku himpitkan ke bawah bantal selepas beberapa kali berdering.

"Aku call berkal-kali pun kau tak angkat. Kau marahkan apa sebenarnya ni?" dia sudah berpusing mengadapku. Waktu itu kami masih di kawasan parking depan blok kediamanku.

"Kau gerakkan kereta keluar dari sini dulu." aku memberi arahan, bimbang jika ada 'wartawan' tak bergaji nampak aku naik angin dan menyebarkan berita hangat yang boleh menghangatkan lagi perasaanku. Sekarang ni, kalau hal-hal yang berkaitan dengan Zhafran cukup sensitif pada hatiku.

"Kau tahu, kau sangat buruk bila marah." Dia mengutuk ketika menggerakkan keretanya.

"Buruk atau cantik, tak ada kena mengena dengan kau." Balasku, marah dan geram bercampur sekali.

“Kau marahkan apa sebenarnya ni?” dia mengulang tanya soalan yang sama, mungkin pelik dengan sikapku.

“Kenapa kau suka-suka bagi nombor telefon aku pada roomate kau tanpa minta kebenaran aku dulu?” soalku, penuh perasaan.

"Oh! Itu rupanya.” Dia senyum sambil mengeleng.

“Kau ni suka buat peel pelik. Pasal nombor telefon pun nak mengamuk macam orang kalah judi. Dah dia suka kau, aku bagilah. Lagipun, dia yang minta." mudah sungguh jawapannya.

"Siapa bagi hak untuk kau jaja nombor telefon aku? Habis, kalau seratus orang suka aku, kau bagilah dekat mereka semua tu?"

Zhafran tergelak kuat, gelak yang sungguh-sungguh sehingga badannya bergoyang-goyang seolah aku sedang membuat lawak yang sangat melucukan.

"Aku serius!" marahku.

"Yer la, kau cakap seratus orang, kalahkan artis pulak." Ujarnya dengan tawa yang masih bersisa.

"Kau jangan hina aku. Aku tahu aku tak cantik. Aku cakap tu sebagai contoh!" emosiku seakan sudah sukar untuk dikawal. Entah kenapa, rasa marah aku terhadapnya telah mengacau bilaukan perasaanku.

"Okey, okey..aku tak hina kau. Siapa cakap kau tak cantik. Kau cukup cantik di mata aku." Suaranya nada memujuk. Dia memberhentikan keretanya di depan kiyosk tepi library. Mungkin ingin minum di situ tetapi kelihatan semua meja dipenuhi student.

"Aku sayang kau Lya, aku nak yang terbaik untuk kau. Sebab aku rasa Hijaz tu lelaki baik-baik dan aku pasti dia boleh jaga kau dengan baik, maka aku suka sangat kalau kau boleh buka hati kau untuk terima dia." Suaranya tiba-tiba berubah serius. Masih di dalam kereta yang belum dimatikan enjinnya, dia kini sudah mengadap ke arahku.

Mendengar suaranya yang begitu, pelbagai rasa mula bercampur aduk masuk ke hatiku. Marah, sedih, terkilan, kecewa dan banyak yang tidak mampu aku sebut di sini bergaul sebati. Kalaulah dia nampak apa yang ada di hatiku saat ini, pastinya dia tidak sanggup walau hanya untuk mempunyai niat menyatukan aku dengan orang lain.

"Hati aku, hidup aku, biar aku yang tentukan. Kau tak payah masuk campur." Sebaik meluahkan kata-kata itu, aku pantas membuka pintu kereta dan keluar kerana bimbang air mataku akan menitis di depannya.

Sepantas aku keluar, selaju itulah juga dia keluar dari keretanya.

“Kau nak ke mana?” jeritnya tatkala melihat aku menonong berjalan ke arah jalan raya.

“Lya!” dia mengejarku dan menyambar tanganku.

"Kau nak ke mana?" soalan yang sama dilontarkan buat kali kedua.

"Lepas!" aku menjerit kecil sambil cuba menarik tanganku yang digenggamnya.

"Aku takkan lepas, kita belum habis. Aku nak tahu kenapa kau marah sangat sedang aku rasa, nombor telefon tu bukanlah alasan yang logik untuk kau marah aku begini." dia seakan curiga. Keningnya berkerut merenungku.

Buat seketika mata kami saling bertingkah. Aku tidak ingin mengalah dan dia juga begitu. Sekuat tenaga, aku rentap tanganku sehingga pegangannya terlucut.

Tanpa lengah, aku berlari anak meninggalkan dia yang menjerit memanggil namaku. Beberapa langkah aku menyusuri jalan, kedengaran hon kereta bertalu-talu. Apabila menoleh, aku lihat keretanya mengekoriku. Perlahan gerakannya selari dengan langkahku. Hon yang tidak henti-henti dibunyikan berserta double signal yang dipasang mengundang banyak mata student lain yang berada di kawasan sekitar menoleh-noleh memandang kami apatah lagi keretanya menongkah jalan sehala. Tidak kurang juga kereta yang melalui jalan tersebut memperlahankan kederaan mereka sambil membunyikan hon.

Malu dan tidak tahan dengan bunyi hon kereta yang membingitkan telinga, aku akhirnya berhenti melangkah dan menonong ke arah keretanya yang juga diberhentikan di tepi jalan tersebut. Zhafran ni, memang suka buat kerja gila.

Menunjukkan rasa marah, aku tendang tayar keretanya sebelum membuka pintu dan masuk ke dalam. Sekali lagi pintu kereta menjadi mangsa untuk aku lepaskan geram. Kesian kereta ni, tuannya yang buat hal, ia pula yang menjadi mangsa.

“Terus hantar aku balik. Kalau tidak, aku terjun dari kereta ni.” Aku memberi arahan beserta ugutan. Zhafran hanya mengeleng sambil menyimpan senyum melihat gelagatku.

"Kalau kau rasa aku salah, aku minta maaf laaa.. Nanti aku cakap pada Hijaz jangan call kau lagi. Tapi.."

"Dah, stop! Aku tak mahu dengar tapi atau sebarang alasan. Balik nanti, kau cakap dengan ustaz tu, kalau pintu hati aku tiba-tiba terbuka untuk dia, nanti aku sendiri yang akan cari dia. Aku akan suruh abah pergi pinang dia untuk aku." Aku pintas bicaranya dengan merapu kata tanpa akalku sempat memikirkan logiknya.

"Kau janganlah buat benda yang tak bertamadun tu. Mana ada perempuan pergi pinang lelaki." Zhafran tergelak perlahan.

"Apa aku peduli!" Tingkahku.

"Actually, kau nak cari yang macamana? Hijaz tu tak cukup handsome ke? Atau kau nak tunggu putra raja?"

Aku diam sejenak mendengar soalan Zhafran. Aku tak ingin cari sesiapa pun kerana aku memang sudah tahu apa yang hati aku inginkan. Bukan Hijaz atau sesiapa tetapi hanya dia. Ya! dia yang bernama Zhafran.

"Aku jadi hairan bagaimana manusia ala-ala ustaz macam dia boleh suka kat aku yang brutal ni sedangkan berapa ramai student yang ala-ala ustazah kat kampus ni." Aku bagai bermonolog pada diri sendiri tetapi masih didengari oleh Zhafran.

Dia angkat bahu tanda tidak tahu.

“Dia pernah cakap, biar orang lain kata kau hanya perempuan biasa-biasa tapi, mata dia kata kau gadis yang sangat luar biasa. Cara kau memandang, cara kau tersenyum dan cara kau bercakap, lain dari yang lain. Nampak berani tapi sangat pemalu. Senyum kau penuh ikhlas, bicara kau sentiasa tulus dan mata kau, nampak bercahaya.” dia berhenti di situ dan menoleh pandang ke arahku.

"Katanya lagi, kau memang jarang senyum tapi bila kau senyum, seluruh wajah kau seakan tersenyum sama." dia pandang wajahku lagi. Waktu itu, keretanya sudahpun berhenti di tempat parking depan blok, tempat yang sama dia datang sebentar tadi.

"Aku tak tahu bila masanya dia perhatikan kau sampai terperinci begitu. Aku yang dah bertahun kenal kau pun tak pernah terfikir sampai ke situ." Sambungnya lagi dengan pandangan masih melekat ke wajahku.

Aku pandang dia, lama. Semua yang ada diwajahnya sudah terakam kemas dalam memoriku sehinggakan kalau diminta melukis gambarnya, aku mampu melakar tanpa perlu melihat wajahnya. Sehinggakan setiap lekuk dan tahi lalat di mukanya pun aku tahu berapa jumlah dan di mana letaknya.

Seketika aku pejamkan mata, cuba mengusir pergi segala anasir jahat yang sedang mendorongku untuk cuba merampas dia dari Nurin.

Tanpa sepatah kata, aku keluar dari kereta meninggalkan dia yang termanggu kepelikan melihat tingkahku malam itu.

Penulisan dan kehidupan

Ini adalah N3 selingan sebab aku tak nak tampal lagi bab 14 tu. Sebab apa? Saja jerrr…. tapi, N3 ni adalah juga sikit-sikit kaitannya dengan HKC. Tapi, kalau tak suka tak payahlah baca...

Okey! Sebenarnya aku nak cerita tentang penulisan dan kehidupan. Ramai yang tanya, macamana aku menulis? Macamana dapat idea dan macamana membahagikan masa dengan family dan juga kerja.

Kalau diikutkan aku memang tak cukup masa. Waktu kerja aku memang panjang, dari pukul 9.30 pagi sampai 6.30 petang setiap hari termasuklah hari sabtu dan kekadang ahad pun kerja. Cuba bayangkan masa mana aku menulis? Dengan anak-anak lagi, dengan kerja rumah lagi(sebab aku tak pakai maid). Jadi, aku terpkasalah ‘mencuri’ masa yang ada kerana 24 jam sehari takkan jadi 40jam sehari.

Menulis ni sebenarnya boleh jadi ‘ketagih’. Sama juga dengan orang yang suka membaca, kalau tak ada bahan bacaan, kita tak boleh duduk senang. Sama juga dengan orang yang gila memancing, kalau satu atau dua hari tak pergi memancing memang tak senang duduk. Sama juga dengan orang merokok, kalau satu hari tak sentuh rokok memang tak senang duduk. Menulis pun begitu, kalau satu hari tak sentuh computer rasa macam tak lengkap hidup. Biarlah kalau buka computer tu sekadar tenung dan baca balik apa yang kita tulis, dah cukup untuk lepaskan ‘gian’

Okey! Berbalik pada cerita masa. Balik kerja, lepas maghrib uruskan makan malam, tengok anak-anak punya kerja sekolah sampai mereka tidur pukul 10 malam. Baru buka manuskrip dan menaip sampai pukul 12 – 1pagi, paling lewat boleh sampai pukul 3 pagi(kat sini ada la dalam 2-3 jam masa untuk menaip).

Lepas tu tidur, bangkit pukul 5.45(bayangkan berapa jam aku tidur). Buat sarapan dan urusan anak pergi sekolah. Pukul 6.30 anak dah keluar ke sekolah, buka balik manuskrip sampai kul 7.30(adalah dalam 1 jam). Lepas tu kejut anak yang satu lagi untuk ke sekolah agama pukul 8.00.

Lepas anak pergi, adalah masa untuk rehatkan minda atau senaman ringan2 dalam 15 minit sebelum bersiap untuk ke tempat kerja. Kalau dah rasa mengantuk sangat, tidur sekejap(tapi selalunya takdelah sekejap. Kalau dah start tidur pukul 8 tu maknanya lambat la ke tempat kerja). So, aku Cuma ada masa lebih kurang 3-4 jam saja sehari. Itu pun kalau pandai ‘curi’. Itulah saja masa yang aku ada. Tapi kalau hari cuti, kalau ada idea mencurah, dari pagi sampai malam aku boleh duduk jer depan laptop tu.

Okey! Bercerita tentang idea. Masa bial dapat/cari idea? Sebenarnya idea ni bergantung pada penulis tu sendiri. Macam aku, masa cari idea tu ada pelbagai:

1- Masa termenung dalam tandas atau masa nak tunggu masuk tandas(sebabnya tandas kat tempat kerja aku selalu full)

2- Masa bawa kereta (yang ni bahaya sikit. Kekadang tu terjadi kes masa nak bayar tol pergi hulur kad akses untuk masuk parking. Tergelak juru tol bila nampak aku kalut cari duit seringgit lepas sedar) – *idea nak menuis N3 ni pun aku dapat masa memandu pulang dari kerja semalam.

3- Masa nak tidur(yang ni jangan ikut sebab bahaya sikit, takut nanti peluk orang lain tapi sebut nama orang lain.)

4- Waktu lunch. Selalunya aku akan bungkus makanan dan makan dekat office sorang2. Sambil makan otak aku akan bergerak. Lepas makan, sementara lepak nak tunggu masuk kerja semula, masa tu boleh juga cari idea.

Cara aku menulis mungkin berbeza dengan orang lain sebab aku tak menulis ikut plot cerita. Mula2 tu memanglah kena fikir jalan cerita dan watak utama serta watak sampingan termasuklah nama-nama seklai. Lepas tu, Apa saja idea yang datang aku tulis jer, satu cerita aku savekan dalam satu fail. Jadi, akan ada banyak fail dalam folder tu. Lepas dah banyak baru aku copy & paste susun ikut cerita yang aku nak buat dan ubah sikit2 apa yang aku savekan tu mengikut jalan ceritanya. Dari situ, dapatlah satu cerita panjang. Tapi, ada juga yang langsung tak sesuai untuk cerita tersebut dan yang itu aku simpan untuk next cerita pula.

Macamana boleh dapat idea? Sebenarnya idea ni boleh datang dengan sendirinya. Macam aku, banyak dapat idea bila tengok gelagat orang. Mungkin sebab tempat kerja aku ni kawasan terbuka, setiap hari tengok orang yang berbeza, jadi aku akan sentiasa dapat idea yang berbeza. Bila tak ada apa nak buat dalam office, aku jalan-jalan ke selling area, belek-belek promotion terkini dan juga new arrival sambil tengok gelagat manusia. Kat situ macam-macam yang aku boleh nampak. Dari perbualan dan tingkah laku mereka, aku boleh ambil dan ubah mengikut kesesuaian cerita juga kembangkan menjadi satu babak dalam cerita yang aku tengah buat.

Contohnya, hari ahad lepas aku kerja. Selalunya hari minggu memang malas duduk office. Lepas jalan2 tengok staff kerja sambil tengok customer, kaki rasa penat. So, aku pergi ke backyard, duduk lepak dekat staff entrance. Masa tengah rehat2 sambil termenung kat situ, aku nampak ada kereta KIA spectra masuk ke loading bay dan park dekat situ. Lepas tu keluar seorang lelaki segak bergaya. Lepas tutup pintu kereta dia berdiri bersandar pada kereta nya, keluarkan rokok dari poket dan merokok dengan bergayanya. Bila aku lihat situasi tu, tiba-tiba aku dapat satu idea : Zhafran merokok sebab frust Lya tak pilih dia –

Sebuah pertemuan yang menggetarkan seluruh jiwaku. Melihat wajahnya yang kusut dengan rambut dan jambang yang tidak terurus, air mataku tiba-tiba ingin mengalir keluar. Lebih mengejutkan aku apabila dia juga sudah pandai berjinak dengan rokok.

"Sejak bila kau merokok ni?" terus saja aku bertanya sebaik melihat dia mula menyalakan api rokok yang tersepit di bibirnya. Memang aku sudah tidak mampu berdiam diri melihat keadaan ini.

"Dah lama." Dia menjawab perlahan.

"Kau jangan nak tipu aku. Macamlah aku baru kenal kau." Balasku pantas. Sinar matanya yang suram aku renung tetapi dia cepat-cepat melarikan wajahnya dari tatapanku.

"Kau memang dah lama kenal aku tapi kau belum kenal hati dan perasaan aku." Ujarnya, tanpa memandangku.

"Kita sekarang sedang bercerita tentang rokok, bukan hati dan perasaan." Aku jadi geram dengannya yang suka mengubah topik bicara.

"Tapi ianya saling berkaitan." Tukasnya sambil menundukkan wajah.

"Kau jangan cakap kau merokok sebab aku." Aku seakan dapat meneka apa yang sedang berada di kepalanya saat ini.

"Aku memang nak nafikan tapi kenyataan memang betul." Dia mendongak memandang ke wajahku. Sesaat mata kami saling bertaut.

"Aku cuba nak alihkan fikiran dari terus mengingati kau dan rokok adalah jalan pintas." Jelasnya membuatkan aku melepaskan nafas berat.

"Zhaf, kau jangan berfikiran singkat begini. Kau kena fikir siapa kau dan siapa aku."

"Explain please..." dia menagih penjelasan, mungkin tidak faham dengan maksud yang ingin aku sampaikan.

"Kau dah ada Nurin dan kau pun tahu antara aku dan Nurin itu bagaimana. Mana mungkin aku boleh terfikir untuk menjadi orang ketiga dan memisahkan kau dengan dia." Penjelasanku membuatkan dia terdiam beberapa detik. Lama dia hanya memandang ke wajahku tanpa sebarang suara. – Bab 49.

Walaupun masa tu aku dah sampai ke bab 58, aku kembali semula ke bab 49, ubah sikit dan selitkan babak tersebut ke dalamnya untuk menambahkan lagi rencah cerita. Tengok, senang kan?

Mungkin senang untuk aku tapi susah untuk orang lain sebabnya idea ni macam juga hidayah, ia kerja Allah s.w.t. Tidak semua orang akan mendapat hidayahNYA dan begitu juga idea yang datang. Tidak semua orang boleh dapat dan punya kelebihan begitu. Jadi, aku bersyukur sangat-sangat kerana dikurniakan olehNYA kelebihan yang sebegitu. Setiap masa aku berdoa moga TUHAN tidak menarik balik apa yang diberikan kepada kerana aku menulis dengan satu tujuan, untuk menghiburkan orang lain dan juga memberi sedikit ilmu pada mereka yang tahu ‘mencari’ isi yang terkandung di dalamnya.

HKC - Bab 13

Pengajian sudah bermula tetapi aku rasa seperti ingin cuti buat selamanya. Aduhhh.. Kenapa aku tiba-tiba jadi manusia yang pendek akal hanya kerana cinta yang tak kesampaian? Kenapa aku jadi lupa nekadku yang satu untuk menjadi orang yang bijak pandai?

‘Sebahagian daripada keelokkan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.(H.R At-Tarmidzi dan Ibn Majah)

Ya! aku harus meninggalkan semuanya, membuang semua rasa yang tidak berfaedah itu. Apalah gunanya menyintai orang separuh mati sedang orang itu langsung tidak menyintai kita? Apalah gunanya mengikut kata hati yang dikuasai rasa sedih sedangkan ianya langsung tidak memberi apa-apa faedah? Cinta sesama manusia jangan melebihi cinta kita pada Yang Esa.

Beberapa hari berada di kolej dan menjalani rutin yang biasa, aku cuba menguatkan diri, cuba berlagak biasa-biasa di depan teman-teman. Tidak perlulah aku menghebahkan pada semua tentang apa yang aku rasa kerana semua orang pun tidak tahu apa yang berlaku antara aku dan Zhafran.

Tetapi, aku tiba-tiba jadi hilang sabar apabila suatu petang, ada panggilan masuk ke telefonku dari nombor yang tidak aku kenali.

“Assalamualaikum…” Sapa pemanggil di hujung sana.

“Waalaikumussalam, nak cakap dengan siapa?” serius aku bertanya. Suaranya macam pernah aku dengar tetapi otakku tidak mampu meneka.

“Lya..” pemanggil tersebut menyebut namaku membuatkan aku terperanjat. Maksudnya, dia memang mengenaliku.

“Siapa ni?” aku sudah sedikit cuak.

“Abang Hijaz.” Mendengar nama itu, aku terus terdiam. Dari mana dia mendapat nombor telefonku?

“Abang minta maaf kalau mengganggu Lya. Zhafran yang bagi nombor Lya pada abang.” Dia terus menjawab soalanku walau tanpa aku meluahkan bertanya.

“Oh! Sorry, tak cam suara tadi.” Aku berbasa basi sedang di hati sudah terpecik lahar kemarahan terhadap Zhafran yang sesuka hati memberikan nombor telefonku pada orang tanpa kebenaranku.

“It’s okey. Lya sihat?”

“Sihat, Alhamdulillah.” aku menjawab perlahan.

Alahai… ustaz ni, kalau setakat telefon nak bertanyakan khabar, buang kredit ajelah. Sedangkan dia boleh saja menunggu di depan pintu utama kolej untuk mengetahui keadaanku kerana setiap pagi memang aku melalui tempat tersebut untuk ke kelas.

“Lya… abang tak pandai nak bermadah pujangga.” Suaranya kedengaran berubah nada, jadi serius tiba-tiba.

“Zhafran dah beritahu tentang dia dan Lya juga tentang dia yang dah bertunang dengan sepupu Lya.”

Oh! Itu rupanya. Memanglah Zhafran dan Nurin sudah selamat bertunang seminggu selepas majlis merisik hari tu tapi, apa pula kena mengena dengan ustaz ni dan juga aku? Tiba-tiba lahar kemarahan yang memercik terhadap Zhafran tadi jadi melimpah-limpah memenuhi hatiku. Kalaupun dia sudah bertunang, tak perlulah nak menghebahkan cerita dan menjaja nombor telefonku.

“Abang masih mengharap Lya. Tak kiralah berapa lama masa yang Lya ambil, abang akan tetap menunggu sehinggalah Lya membuat pilihan. Abang hanya akan mengalah jika pilihan Lya nanti tidak berpihak pada abang.”

Aku jadi terkedu mendengar luahannya. Dari tadi, aku hanya tekun mendengar sambil cuba mengawal rasa.

“Abang bukan tidak berani berdepan dengan Lya untuk meluahkan semua ini tetapi abang tidak mahu ada suara-suara sumbang yang bercerita di belakang bila tengok kita bertemu. Cukuplah sekali dulu." ucapnya mengingatkan aku pada pertemuan kami yang penuh konstraversi dulu.

Hanya sekali itu kami bertemu dan berbicara berdua tetapi ceritanya mengalahkan aku dan dia ditangkap khalwat bersama. Yalah! Dia kan ustaz famos, aku ni pula boleh di kira hot juga sebab selalu dilihat bersama Zhafran yang popular seantero UM ni. Jadi, bila kami 'berdating', timbullah cerita sensasi.

"Mmmm.. Lya tak tahu nak cakap apa. Tapi, terima kasih sebab sudi 'pandang' Lya yang tak punya apa-apa ni. Cuma... Lya perlukan masa." aku cuba bermanis kata sedang hatiku sebenarnya sudah meluahkan kata penolakan. Pesan abah, kalau tidak suka, jangan terang-terang tunjukkan kita tidak suka kerana itu akan membuatkan orang berkecil hati.

"Sebagaimana yang abang cakap tadi, ambillah masa sehingga Lya betul-betul pasti dengan hati sendiri." lembut dan lunak suaranya memanggil aku untuk berfikir, kenapa hatiku langsung tidak bergetar? Kata Fatin, lunaknya suara Abang Hijaz tu tatkala bercakap atau mengalunkan doa mampu menyejukkan hati dan mendamaikan jiwa.

Ah! kalau tentang ustaz yang satu itu, semuanya elok belaka di mata Fatin. Kalaulah dia tahu tentang semua ini, entah apalah reaksinya. Mahunya dia histeria tiga hari tiga malam.

Selepas menamatkan perbualan dengan Hijaz, aku termanggu sendirian. Sejak akhir-akhir ini, Fatin jarang lekat di bilik. Maklum saja, orang sudah ada teman istimewa. Lainlah aku ni, masih sendiri begini mengharapkan cinta yang tidak mungkin mampu aku gapai. Zhafran! Aku tiba-tiba teringatkan dia dan nombor telefonnya terus aku hubungi.

"Aku nak jumpa kau." aku terus ‘menerjah’ sebaik dia menjawab panggilanku.

“Telefon orang tu boleh sopan sikit tak? Cubalah bagi salam ke apa dulu.” Bidasnya, menegur.

“Assalamualaikumm… Aku nak jumpa kau.” Aku pantas membetulkan kesilapan, masih serius tetapi dia pula tergelak kelucuan dihujung talian.

"Bila?" soalnya santai.

"Sekarang!" tekanku.

"Sekarang?” dia bagai terperanjat

“Mmm….."

"Tak ada tapi atau alasan, aku tunggu kat bawah sekarang." Aku memintas bicaranya dan terus memutuskan talian. Dia cuba menghubungiku kembali tetapi aku biarkan tidak berangkat.

Pantas aku bersiap dan melangkah turun. Rasa hati yang membuak ingin tahu apa motif dia memberikan nombor telefonku pada Hijaz membuatkan aku ingin segera menemuinya. Sikapku yang satu ini, Zhafran memang telah masak. Jika ada sesuatu, aku tidak suka bertangguh dan aku juga lebih suka bercakap berdepan daripada bercakap melalui telefon.