Melangkah perlahan ke lif untuk ke lobi utama Hotel
Shangri-La tengahari itu, pintu lif hampir tertutup tetapi jemari Hareez masih
sempat menekan butang dan pintu terbuka kembali. Di dalamnya hanya ada seorang
gadis.
Masuk ke
dalam, matanya menjeling gadis tersebut. Sebenarnya, dia mahu melihat butang
lif tetapi disebabkan gadis itu berdiri betul-betul di depan butang tersebut,
pandangannya jadi terhalang.
“Excuse me…” Hareez bersuara.
Sepantas
kilat gadis itu berpaling dan keningnya diangkat tanda menyoal. Sesaat mata
Hareez bagai dipaku. Bukan cantik yang dia nampak tetapi kelembutan di wajah
itu menarik perhatiannya.
Hareez
hulurkan senyuman sambil memberi isyarat mahu menekan butang lif tetapi gadis
tersebut hanya memandang tanpa perasaan. Oh! dia sentap tiba-tiba. Belum pernah
lagi dia senyum orang tak balas. Mungkinkah dia tak cukup handsome di mata si gadis?
Gadis
tersebut cuba berundur, namun langkahnya sedikit pincang, mungkin sebab high
heels yang dipakai atau terpijak skirt labuh meleret ke lantai yang
dipakainya, dia gagal mengimbangi badan dan…
“Arrgggghh.”
Si gadis terus terjerit sambil tangan menggagau untuk berpaut.
Tidak
bersedia, Hareez pula yang hilang imbangan badan apabila tubuh si gadis
terdorong ke arahnya.
Gedebukkk!!!
“Aduhhhh”
Hareez mengaduh sambil menggosok belakang kepala yang terasa sakit. Dia sudah
separuh terbaring kerana tersekat dengan dinding lif dan si gadis elok landing di atasnya.
Saat yang sama pintu lif terbuka di lobi hotel dan
beberapa pasang mata manusia yang sedang menunggu lif membulat memandang ke
arah mereka.
Hareez
senyum dalam usaha untuk menenangkan diri sendiri. Sebenarnya, cuba untuk menenangkan
jantung sendiri yang seakan lari tempo rentaknya. Lelaki yang kuat iman pun
rasanya boleh menipis imannya jika ditindih begini oleh gadis cantik.
Si gadis yang sedang menindihnya itu pula macam tak
tahu nak bangun sendiri. Agaknya dah jadi blur. Wajahnya yang putih gebu
dah berubah warna merah.
“Errkk… Apa
yang sedang berlaku?” Tiba-tiba petugas hotel datang dan menahan pintu lif yang
hampir tertutup kembali.
Bagai
tersedar dari lamunan, gadis tersebut cepat-cepat bangkit. Saat itu, barulah Hareez
boleh bangun dan meluruskan badan yang terasa sedikit sengal.
“Tak ada
apa-apa. Cik adik ni cuba nak cabul I tapi tak sempat.” Hareez buat-buat
terbatuk kecil sambil menjeling ke arah si gadis.
Dan, cik
adik manis yang sudah sedia merah wajahnya jadi bertambah merah tatkala
mendengar kenyataan dari bibir Hareez. Apatah lagi, orang-orang yang melihat
tadi sedang menekup mulut menahan tawa.
“You!” hanya
itu yang sempat keluar dari bibir si gadis sebelum Hareez meloloskan diri dari
pintu lif sambil menyimpan tawa. Siapa suruh tak balas senyum dia, kan dah
kena.
Langkahnya
terus diatur menuju ke
Lemon Garden Café. Pagi ini dia ada pertemuan jejak kasih dengan teman lama di
hotel tersebut.
Baru kaki memasuki pintu Café,
Hareez tercari-cari telefon bimbitnya. Cuba mengingati di mana dia tercicir.
Kebiasaannya, keluar dari rumah atau dari kereta, telefon akan diselitkan di
dalam poket seluar. Kali ni, tak ada pula.
Mungkinkah tercicir sewaktu dia terjatuh di dalam lif tadi? Mindanya
berfikir sendiri. Pantas dia berpusing, melencong langkah menuju ke arah lif
kembali.
Namun, langkahnya terhenti tatkala
matanya terpandang adegan tarik menarik di tengah lorong menuju ke lif parkir. Seorang lelaki berbadan tegap kemas berkemeja kelabu siap
bertali leher sedang menarik tangan seorang wanita manakala wanita itu pula
enggan mengikut.
Sekejap! itukan cik adik manis yang
dalam lif tadi. Segera langkahnya melencong ke arah pasangan tersebut.
“Excuse me….?” Hareez menegur. Terus
adegan tarik-menarik terhenti.
“Abang!”
tiba-tiba saja si gadis meluru ke arahnya. Tiba-tiba saja, lengannya dipaut
erat.
Eh? Diakah
yang diseru oleh si gadis ini sebentar tadi? Kalau betul, sejak bila pula dia
ada adik?
Hareez
berpaling dan senyuman si gadis menyapa pandangannya. Buat seketika matanya
bagai terlupa untuk berkelip sebab senyuman itu manis bergula.
“Sayang…
siapa ni?” soalan lelaki berkemeja kelabu memanggil Hareez mengalihkan
pandangan. Lama-lama pandang anak gadis orang, takut juga jantungnya buat
perangai. Dalam lif tadi pun dia dah rasa lain macam. Sekarang ni pula tubuhnya
dah rasa seram sejuk sebab kedudukan dia dengan si gadis teramatlah rapat
sehingga badannya terasa membahang.
“Sayang??”
suara lelaki itu bergema lagi.
Hareez
sekali lagi menoleh memandang si gadis di sebelahnya. Wajah cik sayang nampak
mengharap bantuannya.
“Sini!!”
lelaki tersebut tiba-tiba saja menarik tangan cik sayang.
“Tak nak!”
cik sayang pula terjerit membantah. Pautan tangannya semakin kejap di lengan
Hareez.
“Abang cakap
ikut abang!”
“Eh, wait! Wait! Saudara, tak elok berkasar
dengan perempuan.” Hareez cuba meleraikan. Tarikan kuat lelaki tersebut
membuatkan dia tertarik sama. Apa taknya, pautan di lengannya oleh cik sayang kejap
sekali.
“Kau ni
siapa? Jangan campur urusan aku boleh tak?” lelaki tersebut mula naik angin.
Dada Hareez ditolak kasar.
“Dia tunang
aku, kau jangan nak sibuk!” sergah lelaki itu lagi.
“Tak! Kita
dah putus. Tolong jangan kacau Tia lagi,” balas cik sayang.
Oh! Namanya
Tia. Hareez sematkan ke dalam kepala.
“Fatia
Alesya! Mengikut adat kita masih belum putus dan abang akan pastikan ianya
takkan putus,” tegas lelaki tersebut. Muka dah merah padam.
“Abang… Apa
sekalipun, Tia anggap kita dah tak ada apa-apa lagi.” Cik sayang tarik nafas
panjang-panjang.
“Ni! Tia
akan kahwin dengan dia… soon, very, very
soon.”
Hah? Hareez blur
sekejap apabila jemari cik sayang yang bernama Fatia Alesya itu menunjuk ke
arahnya. Kahwin? Adakah itu yang disebut cik sayang tadi? Bila masa dia pinang anak dara orang ni?
Takkan mama buat kerja gila pergi meminang tanpa pengetahuan dia? Hati Hareez
terlompat berkali-kali.
“Tapi kita
masih belum putus.”
“Saudara..
baru tunang aje kan? Belum kahwin lagi. Bab putus memutus tu kemudian
ceritalah. Kami dah lambat ni.” Hareez cuba mencantas, mahu memendekkan apa jua
kisah yang secara tidak langsung sudah melibatkan dirinya. Dia dahlah lambat,
telefon pula entah di mana cicirnya.
“Kau jangan
nak berkurang ajar dengan aku boleh tak?” lelaki tersebut sekali lagi menolak
dada Hareez. Kali ini lebih kuat sehingga menyebabkan dia dan cik sayang
terundur ke belakang.
“Abanggg!!!!”
cik sayang menjerit. Saat itu sudah ada beberapa pengunjung yang datang
menyaksikan drama tersebut. Dah rupa macam sesi penggambaran drama sinetron
pula.
“Kalau orang
dah tak nak tu, jangan dipaksa-paksa,” sinis Hareez bersama senyuman. Saat ini
sabarnya masih menebal dan dia tak mahu jatuhkan martabat lelaki bergaduh di
tempat umum.
“Hey! Watch your mouth!” lelaki tersebut
memberi amaran dengan jari telunjuk hampir ke muka Hareez.
“Saudara
jari tu jaga sikit. Kalau kena muka, I tak jamin jari you akan selamat.” Hareez
tenang-tenang saja tapi ayatnya buatkan lelaki tersebut membuntang mata.
Waktu itu,
orang sudah ramai datang ke arah mereka termasuklah security guard.
Mungkin ada yang memanggil pengawal tersebut apabila melihat keadaan semakin
kecoh.
Tanpa
lengah, Hareez tarik cik sayang mengikut langkahnya. Dah alang-alang menolong
tu, biar terus sampai selamat.
Masuk ke
dalam lif, mereka berdiri bertentangan. Saat itulah mata Hareez ternampak
Iphonenya di tangan kiri cik sayang.
Dia terus
atur langkah mendekati cik sayang. Waktu itu, mata cik sayang sudah lurus
memandang ke arahnya, nampak takut-takut tapi berlagak berani.
Turun naik
dada cik sayang ditenung penuh minat. Selendang kuning berbunga halus yang
dipakainya agak pendek dan blouse
kain satin yang dipakainya melekat ke badan menampakkan segala bentuk.
Hareez rasa macam nak cucuk
mata sendiri sebab dah tak tahu nak pandang tempat lain. Rasa macam nak hentak
kepala sendiri sebab tiba-tiba saja berfikir yang bukan-bukan. Kenapa tiba-tiba
dia jadi nakal begini? Walhal selama ni, pandang perempuan pun macam nampak tak
nampak.
“Kenapa pandang I macam tu?”
Spontan si gadis angkat kedua tangan bersilang menutup dada sendiri. Ngeri
tatkala jejaka kacak di depannya ini memandang di tempat yang tidak sepatutnya.
Nampak smart bergaya, takkanlah gila
kot?
Hareez ketawa perlahan melihat
reaksi spontan cik sayang. Sengaja mahu mengusik, matanya dikenyitkan, gaya
kasanova.
“Gatal!” Cik sayang terus
terjerit perlahan.
Hareez
senyum jahat. Entah kenapa dia tiba-tiba tumbuh tanduk tatkala berdepan dengan
si gadis yang tidak dikenali ini. Apa sebenarnya yang ada pada si gadis sehingga
dia boleh bertukar seperti transformer?
2 comments:
really a good idea...harap lepas nie cerita nie terus dibukukan ye....
really a good idea...harap lepas nie cerita nie terus dibukukan ye....
Post a Comment