FOLLOWERS

Yang Dia Pilih - Bab 36

PERGINYA peguam kacak itu, Hareez terus mencapai telefon bimbit. Nama si isteri dicari. Dia perlukan penjelasan. Di kepalanya berlegar satu persoalan, bagaimana orang luar seperti Zahim Iskandar boleh tahu perihal rumah tangganya? Adakah Fatia yang bercerita? Tetapi, apa hubungan mereka?
“Tia… kat mana?” Itu soalan pertamanya.
            “Kenapa?”
            “Saya nak jumpa awak. Boleh drive ke Melaka tak? Kita jumpa kat sana.” Satu permintaan yang dia rasa cukup adil. Jumpa di tengah-tengah. By hook or by crook, dia mesti jumpa Fatia hari ni.
Beberapa saat menunggu, Fatia hanya diam di hujung sana.
            “Tia?”
            “Saya kat KL ni.” Jawapan Fatia mengejutkan Hareez.
            “Kat KL? Kenapa datang KL tak cakap dengan saya?” Suaranya sudah berubah tegang. Sudahlah tadi diprovok macam-macam. Sekarang si isteri pula.
            “Kalau saya cakap, awak peduli ke?” Soalan balas Fatia buat Hareez hilang perkataan untuk menjawab. Dan satu keluhan keluar dari celahan bibirnya.
            “Kenapa cakap macam tu? Tak cakap mana nak tahu saya peduli ke tak.” Dia cuba berlembut. Cuba mencari di mana silapnya sehingga ikatan perkahwinan ini seolah langsung tak berfungsi. Diakah yang terlalu berlembut atau Fatia yang sengaja menimbulkan masalah?
Sekali lagi, Fatia terdiam di hujung sana. Yang kedengaran hanya deru nafas menyapa anak telinga.
            “Awak tinggal kat mana?” soal Hareez lagi.
            “Rumah kakak angkat,” jawab Fatia. Awalnya dia memang nak ke rumah sewa lamanya tetapi disebabkan Yanie balik kampung, terpaksalah dia cari Kakak angkatnya ini.
            Memang dia datang ke KL tanpa apa-apa tujuan, sekadar memandu mengikut gerak hati. Mungkin hatinya sedang merindu. Kata orang, tak dapat tengok orangnya, tengok bumbung rumah pun jadilah. Tapi dalam kes dia ni, dapat berpijak di bumi yang sama pun sudah memadai.
Sebab itu, dia tidak memberitahu Hareez tentang kedatangannya. Cadangnya, petang nanti sudah mahu memandu pulang.
            “Bagi alamat, saya  jemput awak sekarang.” Hareez bangkit berdiri. Dia jadi tak senang duduk tiba-tiba.
            “Tak payahlah.”
            “Apa yang tak payah?” Makin tegang suara Hareez bertanya.
            “Kita jumpa kat tempat lain ajelah.” Perlahan suara Fatia.
Mendengar suara Hareez yang seperti orang sedang menahan marah, dia jadi kecut perut. Kenapalah dia gatal mulut memberitahu dia berada di Kuala Lumpur. Kalau dia kata dia ada di Johor pun, Hareez mana tahu.
            “Kenapa tak nak datang rumah?”
            ‘Sebab saya tak sanggup tengok awak dengan Lya.’ Jawapan itu yang terbisik di hatinya, tidak terluah oleh bibir.
            “Kalau mama tahu awak ada kat KL tapi tak datang rumah, apa kata mama? ” Bersusun-susun soalan keluar dari bibir Hareez.
            Namun, Fatia diam lagi. Hatinya jadi terusik. Yang penting untuk Hareez hanyalah perasaan ahli keluarganya. Apa Hareez ingat dia ini hanya sebatang pokok yang tidak punya perasaan?
            “Okey! Kat mana yang senang untuk awak. Saya ke sana sekarang.” Akhirnya Hareez membuat keputusan. Tak guna nak mengasak dengan pelbagai soalan kalau di hujung sana hanya diam.
            “Sekarang?” soal Fatia.
            “Yap!”
            “Mmmm… PappaRich Damansara Utama.” Fatia main sebut tempat. Tapi boleh juga, lepas tu dia boleh merayap ke One Utama atau ke Ikea.
            Mengejar masa, Hareez hanya bersetuju walau agak jauh untuk ke sana dan petang nanti, dia ada meeting penting. Tapi, dia harus juga bertemu Fatia. Kalau tidak, hatinya tak akan duduk bertenang.
            “Tania, saya keluar.” Hanya itu yang diberitahu setiausahanya sebelum melangkah keluar dari pejabat.
            Jalan yang sesak memang sudah lumrah hidup di bandar KL. Tapi, hati yang berbaur pelbagai rasa, jarang sekali berlaku pada dirinya. Rasa marah dan geram sudah sebati sejak tadi. Di sebalik semua rasa itu, ada terselit perkataan teruja.
Ya! Agak lama tidak melihat wajah si isteri, dia rasa teruja.
            Hareez, teruja itu mungkin juga kerana rindu. Satu suara berbisik perlahan.
Ah! Kalau disebut tentang rindu, dia memang rindukan isterinya. Tapi, kekangan masa dan tanggungjawab pada keluarga serta kerja yang menimbun buat dia tidak punya masa untuk melayan rasa.
Lebihnya, ego seorang lelaki melarang dia untuk memujuk rayu. Biarlah Fatia sendiri fikir baik buruknya tinggal berasingan begini. Seorang wanita jika sudah mempunyai suami, tanggungjawabnya hanya pada suami tetapi seorang lelaki walau sudah beristeri, tanggungjawab pada keluarga tidak pernah terhapus. Seharusnya orang terpelajar seperti Fatia tahu tentang itu.
Ah! Hareez lepaskan nafas panjang. Terasa hidupnya makin sukar.
            Tiba di tempat yang dijanjikan, dari jauh sudah kelihatan kelibat Fatia yang duduk di sudut hujung restoran tersebut.
            Fatia bangkit berdiri tatkala melihat kelibat sang suami melangkah ke arahnya. Liur ditelan berkali-kali. Degup jantungnya sudah tidak sekata. Rasa yang hadir ke hatinya untuk lelaki ini tak pernah berkurang.          
“Bila sampai KL?” soal Hareez sambil menghulur tangan untuk disalami
Teragak-agak Fatia menyambut salam si suami dan mencium jemari itu tanda hormat.
“Semalam.” Jawab Fatia, kembali melabuhkan duduk.
Tiba-tiba, dia terasa ingin bermanja dan dimanjai. Tiba-tiba dia rasa mahu dipeluk oleh lengan sasa milik si suami tetapi, dia sedar diri. Dia tidak mahu menjadi wanita yang menggedik minta dikasihi sedang sebenarnya dia bukanlah orang yang dicintai.
            “Kenapa tak datang rumah? Awak tinggal rumah siapa sebenarnya?” Hareez menyoal lagi sambil melabuhkan punggung ke kerusi berdepan dengan si isteri. 
            DATANG? Fatia sedut nafas dalam. Satu perkataan itu bermakna dia ini bukan ahli rumah tersebut. Oh! hati yang sudah sedia kecil makin bertambah kecil.
            “Kan dah cakap tadi rumah kakak angkat.” Tonasi suara tiba-tiba jadi berubah. Sebabnya, dada jadi ketat dengan rasa kecil hati.
            “Dah kahwin?” soal Hareez lagi.
            Fatia angguk.
            “Rumah dia kat mana?”
            “Bukit Damansara.”
            “Saya kenal dia tak?”
            “Entah! Suami dia tuan punya Zahim & Co.”
            “Zahim & Co?” Badan Hareez sudah menegak. Sudah dapat mengagak kenapa lelaki yang bernama Zahim Iskandar itu tiba-tiba datang ‘menyerang’nya.
            Fatia angguk lagi.
            “Zahim Iskandar?” soal Hareez lagi. Tiba-tiba hatinya membahang. Memang sahlah Fatia yang mengadu.
            “Awak mengadu apa kat dia?” Suara sudah mula berubah tegang.
            “Mengadu apa?” Fatia blur. Terkelip-kelip matanya memandang si suami.
            Hareez mengeluh berat. Cuba dibawa hati bersabar. Kalau ikutkan, memang anginnya sudah meninggi.
            “Tia… hal rumah tangga tak elok dijaja sana sini.” Suaranya cuba dikendurkan kembali.
            “Maksud awak?” Masih blur Fatia bertanya. Sungguh, dia tak tahu apa yang dimaksudkan oleh si suami. Melihat wajah Hareez yang sudah berubah tegang, dia yakin ada sesuatu yang tak kena.
            “Fikirlah sendiri. Awak pun bukan tak sekolah, tak boleh nak fikir baik buruk sesuatu benda tu.”
            “Saya tak faham,” balas Fatia pantas. Memang benar, dia tak faham. Bukan pura-pura tak faham. Dia tak pernah mengadu apa-apa tentang masalah rumah tangga mereka walaupun pada tok mama yang sibuk bertanya kenapa harus tinggal berasingan.
            “Nanti balik tanya Zahim Iskandar.” Malas Hareez menjawab. Entah kenapa hatinya tiba-tiba jadi tawar dan hambar. Rasa teruja untuk bertemu sang isteri terus lenyap entah ke mana.
            “Kenapa awak tak boleh cakap?”
            Wajah Fatia ditenung tajam. Sikap pura-pura Fatia buat geram dan marahnya bercampur sebati. Bukan sikit sabarnya. Tapi, marah-marah atau maki hamun bukan caranya. Dia mahu Fatia sedar silap sendiri.
"Kenapa duduk rumah orang? Awak dah lupa suami awak ada kat KL ni?" Hareez ubah topik bicara.
"Apa masalahnya? Saya bukannya merempat." Senang Fatia menjawab. Sebenarnya, dia geram dengan si suami. Bercakap separuh-separuh.
"Masalahnya saya tak suka!" tegas Hareez.
"Rumah sendiri ada kenapa nak tinggal kat rumah orang? Awak buat macam ni, orang akan tunding jari salahkan saya," sambunganya lagi.
"So, awak rasa awak tak bersalah dan tak patut dipersalahkan yer?" Fatia mula naik angin. Bunga-bunga pergaduhan seakan sudah muncul. Hatinya jadi sebak bila Hareez seakan cuba meletakkan salah ke atas bahunya.
"Apa salah saya?" soal Hareez.
"Tepuk dada, tanya hati sendiri." Fatia palingkan wajah, cuba untuk sembunyikan mata yang sudah berkaca.
Jiwanya memang tidak tenang sepanjang tinggal berasingan. Dia nak sangat jumpa Hareez tetapi si suami seakan tidak pernah ambil peduli. Usahkan datang mencarinya, bertanya khabar pun boleh dikira dengan jari. Lantas, bolehkah dikatakan Hareez mengahwininya kerana cinta?
Tak! Itu jawapan pada persoalan tersebut.
Hareez lepaskan keluhan berat.
"Saya ni Tia, dah lama kehilangan hati. Saya sendiri pun tak tahu mana perginya hati saya. Sama ada ia pergi merayap dan terlupa jalan pulang atau awak yang dah ambil dan simpan tanpa pengetahuan saya."
"Eh! Tak kuasa nak simpan hati orang. Hati sendiri pun tak terjaga." Fatia kacip gigi. Suka hati cakap orang simpan hati dia walhal dia dah berikan pada Lya. Sungguhlah lelaki ni lidahnya bercabang-cabang.

No comments: