HARI ini, Rihana rasa berat hati untuk memenuhi
permintaan Rozi agar menggantikan temannya itu untuk menemani Datuk Kamal di
kelab.
“Aku rasa macam tak berapa sihat. Nak balik
cepat.” Rozi sandarkan badan ke sofa. Wajah pucat si teman buatkan dia angguk
tanda setuju. Kesian pula.
“Aku dah janji malam ni nak ikut dia lepas habis
kerja nanti. Kang cancel dia bising
pulak. Kau tahulah orang tua tak sedar diri tu.”
“Okeylah.
Aku ganti. Kau pergilah balik sekarang.” Rihana akur akhirnya. Lagi pun,
sekarang ni Hakim tak ada di Malaysia. Ke Jepun selama dua minggu.
Dia pun bukan tak kenal Datuk Kamal tu. Si tua
miang keladi. Kalau datang ke kelab, suka mabuk-mabuk. Dah tu, tangan pula suka
meraba sana sini.
“Thanks.”
Rozi bangkit dan terus melangkah pergi.
Rihana lepaskan keluhan. Kalau tak kesiankan si
teman, sumpah dia tak sanggup. Pernah sekali dia terkena dengan lelaki tua
tersebut. Tangan merayap ke dadanya. Apabila dia mengelak dan cuba untuk
menjauh, bajunya pula yang disentap sampai terkoyak. Memang tak bertamadun
punya jantan.
“Aku balik dulu.” Rozi melintas bersama beg tangan di tangan.
Rihana hanya memandang. Terkadang dia nampak Rozi
macam pelik sikit kebelakangan ini. Tak aktif dan sering termenung. Kekadang
suka bercakap yang bukan-bukan. Muka selalu nampak pucat dan keletihan.
Adakah? Hati Rihana terdetik sesuatu.
Tak mungkin! Tapi tak juga mustahil kerana HIV
tak mengenal mangsa. Lebih-lebih lagi bagi yang suka mengamalkan seks bebas.
Dia tahu, Rozi selalu cerita, kalau escort
mana-mana pelanggan sehingga ke bilik hotel, temannya itu akan berikan perkhidmatan
seks sekali.
Setakat hari ini, dia belum pernah lakukan
seperti apa yang Rozi lakukan. Setakat hari ini, lelaki yang berjaya mengheret
dia sampai ke bilik hotel hanyalah Hakim. Tapi, setakat hari ini dia masih
mampu mengawal lelaki itu.
Lama juga dia termenung memikirkan hal Rozi
sehingga ada yang datang menyampaikan pesan daripada Datuk Kamal. Lelaki itu
sudah menunggu dengan pemandunya di depan kelab.
“Hi, darling!” Datuk Kamal menegur gaya miang
tatkala Rihana meloloskan diri masuk ke dalam kereta lelaki itu. Sesaat dia
rasa bagai mahu termuntah.
“Jalan!” Arahan diberi pada pemandu dan kereta
terus meluncur laju.
“I rasa sungguh bertuah malam ni sebab you sudi
teman I.” Tanpa amaran tangan Datuk Kamal singgah di paha Rihana.
Masih diam, Rihana tahan nafas. Mata menjeling
tangan lelaki tua di sebelah yang elok saja mendarat di atas pahanya.
“Awalnya I memang berhajatkan you. Tapi you jual
mahal sangat. Asyik mengelak aje bila I dekat.” Datuk Kamal mengensot, makin
merapatkan kedudukan.
Kereta yang dipandu oleh pemandu peribadi Datuk
Kamal sangat perlahan walau jalan di Bandaraya Kuala Lumpur ini sudah agak
lengang.
“Kita nak ke mana ni, Datuk?” Rihana mengensot
makin ke tepi dan berpusing ke arah Datuk Kamal.
“Istana Hotel. You teman I jumpa rakan bisnes
dari Singapore dulu, lepas tu...” Datuk Kamal condongkan badan ke arah Rihana.
“Kita masuk bilik. I dah booking satu malam untuk kita...”
“Datuk…” Rihana memintas.
“Rasanya sampai habis urusan bisnes Datuk,
tolong hantar I balik. I tak buat kerja-kerja sampai ke bilik.”
“Alaaa, macam tak biasa. Macam I tak tahu you
selalu teman Hakim,” balas Datuk Kamal.
“You nak I bayar lebih dari Hakim bayar you pun
I boleh bagi. Takkan satu malam pun nak berkira.”
Rihana ketap bibir tahan rasa. Kalau agak-agak
dia lempang lelaki tua ni, kena saman ke tak?
Dalam Rihana sedang cuba mengawal diri agar
tidak bertindak di luar jangkaan, kereta sudah memasuki kawasan parkir dan
berhenti di tempat yang agak tersorok.
“Jom!” Datuk Kamal paut lengan Rihana, mengajak
untuk keluar. Namun, Rihana masih tidak berganjak.
Pemandu peribadi Datuk Kamal sudah turun dan
membukakan pintu untuk bosnya tetapi disebabkan Rihana macam enggan keluar,
Datuk Kamal juga masih tidak keluar. Pintu ditarik dan ditutup kembali.
“Kenapa?” soal Datuk Kamal apabila melihat
Rihana masih beku di tempat duduk.
“Maaf, Datuk. I rasa I tak jadi ikut Datuk. I
minta diri. Nanti I cari teksi untuk balik.” Rihana mahu membuka pintu untuk
keluar. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati.
Namun, belum sempat bergerak, tangannya direntap
sehingga pintu kereta tertutup kembali. Belum sempat berbuat apa-apa, Datuk
Kamal sudah menerkamnya membuatkan dia terperosok tepi pintu.
Sekelip mata Datuk Kamal sudah menindih tubuh
Rihana sehingga wanita itu terjerit kuat.
“Jangan buat hal dengan I, sayang...” Bibir
Datuk Kamal pantas saja menggomol wajah Rihana, ganas dan rakus. Sudah terbiasa
dengan gadis yang suka menolak pada awalnya tetapi terkulai juga selepas
diasak.
Rihana terjerit meminta tolong. Dengan harapan
pemandu peribadi lelaki tersebut membantunya tetapi bayang pun tiada. Agaknya
sudah terbiasa dengan tabiat bosnya.
Jeritan dan penolakan Rihana yang agresif makin
menaikkan nafsu Datuk Kamal. Makin rakus tindakannya. Tangan cepat saja
merentap dress yang Rihana pakai
sehingga terkoyak di bahu.
Tindakan Datuk Kamal betul-betul menaikkan
amarah Rihana. Tiada cara lain melainkan dia terpaksa menggunakan ilmu
mempertahan diri yang dipelajarinya. Saat Datuk Kamal makin khayal mahu
mencumbui di bahagian dadanya yang sudah terdedah, Rihana kumpul tenaga memberi
tendangan padu sehingga lelaki tua itu jatuh tersepit di bawah tempat kaki
berpijak.
Rihana terus bangkit dan melompat turun dari
kereta mewah tersebut. Tanpa menoleh ke belakang, dia berlari laju keluar dari
kawasan parkir tersebut. Bajunya yang terkoyak di bahagian bahu dipegang kejap.
Nasibnya baik apabila dia mudah saja mendapatkan
teksi walau ketika itu sudah agak lewat.
Bersandar di dalam teksi, Rihana sedut nafas yang
terasa hilang dek perbuatan Datuk Kamal tadi. Sungguh, dia tak menyangka akan
melalui situasi seburuk begini.
Sesampai di kondo, Rihana terus mengetuk pintu
bilik Rozi. Mahu mengadu tentang apa yang berlaku. Nampak lampu masih
terpasang, pasti temannya itu masih belum tidur.
“Rozi!” Beberapa kali menjerit nama si teman dan
mengetuk pintu bilik namun, tiada sahutan.
Tombol terus dipusing. Tidak berkunci. Rihana
terus melangkah masuk. Tapi, bayang Rozi tidak kelihatan.
Telinga cuba dipasang kalau-kalau ada kedengaran
bunyi air di bilik mandi. Namun, senyap sunyi.
“Gee!!! Ooo, Rozi!!!” Rihana terjerit lagi.
Saat itu telinganya terdengar pintu bilik air bagai
diketuk dari dalam. Tidak kuat dan tidak perlahan.
Sedetik, Rihana terkaku. Tiba-tiba saja
terlintas perkara yang tidak elok di kepalanya. Terus dia meluru ke arah bilik
air tersebut.
Pintu tidak berkunci tetapi apabila ditolak,
terasa berat bagai tersangkut sesuatu.
“Tolonggg...” Telinga Rihana terdengar suara si
teman lemah meminta tolong.
Dengan sekuat tenaga, dia gunakan tubuh untuk
menolak pintu tersebut. Tatkala berjaya meloloskan diri masuk ke dalam,
kelihatan Rozi terduduk di lantai bilik air dengan sebelah tangan memegang dada
dan sebelah tangan lagi memegang mangkuk tandas.
“Ya Allah! Rozi!” Rihana terus terjerit dan
menerpa ke arah temannya yang sudah tidak ditutupi pakaian. Hanya sehelai tuala
melekat di punggungnya. Mungkin terlondeh ketika jatuh terduduk.
“Tolong aku...” Tangan Rozi yang sedang memegang
mangkuk tandas berpindah memaut lengan
Rihana yang sudah bertindak memangku temannya itu. Tuala Rihana tarik menutupi
tubuh si teman yang terdedah.
“Gee, kenapa dengan kau?” Rihana menggigil
menahan tangis. Sudahlah tadi dia baru melalui situasi yang menakutkan. Belum
habis debar di dada, dia disajikan pula dengan situasi yang mengejutkan begini.
“Gee!” Rihana
tepuk-tepuk pipi Rozi yang nampak macam orang terkena sawan dengan nafas
tercungap .
Dengan sisa tenaga yang ada, Rihana bangkit
sambil memapah dan mengheret si teman
keluar dari bilik air.
“H..a..n..a....t..o..l..o..n..g....a..k..u...”
Perlahan dan payah sekali Rozi bersuara. Saat yang sama matanya terbelalak ke
atas.
“Rozi! Ingat Tuhan, Gee...” Belum habis ayat
Rihana, mata si teman tertutup dan tangan jatuh terkulai.
“Geeee!!!!”
Kuat jeritan Rihana bergema di seluruh ruang.
“Mengucap Gee...” Tubuh si teman dipaut dan
dipeluk erat.
Dan... tangisnya pecah bersama jasad yang kaku.
Ingat Tuhan...
Ingat Tuhan...
Ingat Tuhan...
‘Kenapa dalam keadaan getir begini baru mahu
mengingati Tuhan?’ Satu suara bagi
menjeritkan soalan tersebut.
Rihana
terus kaku
No comments:
Post a Comment