Dalam perjalanan menghantarku, Zhafran berhenti di sebuah gerai makan. Dia meminta aku menunggunya di kereta sementara dia keluar menuju ke kedai tersebut. Sekembalinya dia, aku lihat ada sebungkusan ais terpegang di tangannya.
“Mari aku tuam muka kau.” pintanya membuatkan aku terpaku di tempat duduk.
Menggunakan tuala yang memang sentiasa berada di dalam keretanya untuk tujuan mengelap muka ketika berwuduk, dia menuam wajahku yang membengkak akibat tamparan kuat Izwan.
"Biar bengkaknya kurang sikit." Ujarnya lembut, nada memujuk tatkala bibirku berdesis menahan sakit.
Sungguh..... Waktu itu, aku terasa ingin memeluknya. Kasih sayang yang ditunjukkan olehnya tidak mungkin mampu aku buang dari ingatan walau untuk seribu tahun akan datang kecualilah Tuhan mengambil kembali ingatanku yang dipinjamkanNYA.
Malam itu, aku menangis sungguh-sungguh. Nasib baiklah aku hanya tinggal sendirian di rumah along itu. Kalau tidak, pastinya along akan kecoh dan tentulah akan sampai ke telinga abah. Pada Zhafran telah aku berpesan agar jangan ceritakan apa yang berlaku ini pada sesiapa.
Mengingati Izwan, hatiku jadi bercampur pelbagai rasa, marah, geram, sakit hati dan pelbagai lagi menjadi sebati. Kalaulah saat ini manusia yang tak berhati perut itu ada di depanku, mahunya aku benamkan muka dia ke dalam mangkuk tandas.
Sehingga ke lewat malam, aku gagal untuk memujuk mata agar lelap. Dalam leka melayan rasa hati, telefon bimbitku tiba-tiba berbunyi menandakan ada pesanan ringkas dan ianya datang dari Zhafran.
Lya...
Mulanya hanya itu yang dia hantar. Lama menunggu tanpa membalas, akhirnya dia mengirimkan lagi satu pesanan.
Lya... Are you okey?
Membacanya, aku menarik nafas panjang. Apalah pentingnya dia bertanya begitu. Kalau pun aku tidak okey, dia pastinya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
Kau jangan pedulikan aku lagi Zhaf.
Itu yang aku balas setelah lama berfikir. Aku tidak mahu Nurin tahu yang dia masih berhubung denganku kerana nanti akan lebih merumitkan keadaan.
Selang beberapa ketika aku menekan butang send, dia menghubungiku tetapi aku tidak menjawabnya. Bukan sekali malah berkali-kali tetapi aku biarkan nada deringnya mati sendiri. Jika aku berani mendengar suaranya saat ini, pasti air mataku akan menitis lagi.
Lya.... Aku tahu kau belum tidur.
Kenapa kau tak angkat call aku?
Dia menghantar pesanan lagi tetapi aku langsung tidak membalasnya. Cukuplah Zhafran, jangan kau tambah lagi beban yang sudah terlalu sarat di hatiku ini.
Lya, percayalah…...
Hidup tanpa kau,
Umpama dunia tanpa udara,
Seperti jasad tanpa nyawa…
Pesanan seterusnya yang datang membuatkan aku bagai kehilangan nafas buat beberapa saat. Sungguhh... Aku tidak mengerti dengan maksudnya tetapi aku juga tidak sanggup untuk bertanya. Biarlah aku terus tidak mengerti jika pengertiannya nanti akan membuatkan luka di hatiku makin membuakkan darah merah.