FOLLOWERS

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 3

RENUNG skrin komputer, nampak wajah Rihana. Belek-belek dokumen, nampak senyuman Rihana. Dongak kepala ke atas juga nampak Rihana. Akhirnya Hakim mengeluh sendiri.
        Sudah angaukah dia?
        Tidak mungkin. Rihana hanyalah tempat untuk dia bersuka ria. Mungkin sebab masih belum dapat apa yang diidamkan, makanya dia jadi macam orang kemaruk.
        Handphone di atas meja dicapai. Mahu menghubungi wanita itu tapi, belum sempat menekan nombor Rihana, tiba-tiba saja ada WhatsApp yang masuk. Dari  si dia
         
             ‘Hakim.... I demam.’
         
        Hah?
        Badan Hakim terus menegak. Jam di tangan dijeling sekilas. Sekejap lagi dia ada meeting. Tapi, antara meeting dan Rihana, dia pilih Rihana.
        Tanpa lengah, dia bergegas ke kondo tempat Rihana menginap.
        Melihat Rihana yang membuka pintu menyambut kedatangannya, mata Hakim bagaikan tidak pandai untuk berkelip. Baju tidur kain satin bertali halus warna biru turquoise paras lutut yang Rihana pakai itu buatkan badannya seram sejuk menahan gelora di dada.
        “You kenapa sayang?” Hakim raba dahi Rihana.
        Panas! Rasa ghairahnya terus bertukar risau.
        “I demam. Roomate tak ada, balik kampung.” Rihana seakan merengek.
        Langkahnya diatur masuk diikuti oleh Hakim di belakang. Tanpa sepatah kata, Rihana terus merebahkan badannya ke sofa panjang di ruang tamu dengan mata yang sudah terpejam rapat.
        Melihat baju tidur Rihana yang terselak ke atas, Hakim telan liur berkali-kali. Tengok Rihana yang begitu, dah macam nampak ayam panggang Kenny Rogers. Sangat menyelerakan. Nasib baiklah waktu itu Rihana kelihatan lemah sekali. Jika tidak, memang sudah habis dia kerjakan.
        Tak tahu kenapa, dengan Rihana dia akan bertukar menjadi lelaki baik-baik yang selalu mendengar kata. Kalau Rihana kata tak boleh, dia tak akan buat. Apa saja yang tersebut di bibir Rihana, semuanya dia akan lakukan. Dia rasa satu kepuasan bila dapat membuatkan Rihana gembira dan bahagia.
        Bila difikirkan, memang satu kegilaan yang sangat kronik. Bukan saja kronik, kalau dibawa ke hospital pun, rasanya semua doktor akan angkat tangan sebab tak berani nak ambil kes dia. Parah yang hanya menunggu masa untuk menamatkan riwayat.
        “Rin, you dah makan ubat ke belum ni?” Hakim duduk mencangkung. Tangannya meraba dahi dan juga leher Rihana. Terasa membahang panas.
        Rihana hanya mengangguk tanpa membuka mata.
        Melihat keadaan itu Hakim terus mencempung tubuh si gadis masuk ke dalam bilik. Sebaik diletakkan ke atas katil, dia lihat Rihana menggigil. Pantas diselimutkan dan dipeluk erat dengan harapan kesejukan Rihana dapat dikurangkan.
        Apabila nampak keadaan sudah reda, Hakim bergerak ke dapur. Satu kegilaan lagi, dia sanggup memecahkan rekod menyinsing lengan baju memasak bubur untuk Rihana. Kalaulah mama dia tengok dia memasak begitu, mahunya pengsan lima kali.
        “I tak nak makan bubur...” Rihana merengek apabila dikejutkan untuk makan setelah bubur masak.
        “Habis tu you nak makan apa? Kena makan sikit sayang, bagi ada tenaga. Perut tu, kalau kosong nanti masuk angin.” Hakim memujuk. Dah rupa macam suami mithali memujuk isteri yang sedang sakit. Walhal, perkenalan mereka masih terlalu singkat untuk diukur dengan perhatian yang sebegitu.
        “I rasa nak makan ayam panggang...” Rihana merengek lagi. Kepalanya direbahkan ke bahu Hakim.
        Wah! Tinggi sungguh selera. Sakit-sakit macam ni pun nak makan ayam panggang.  Tapi, Hakim senyum senget. Baru dia tahu rupanya Rihana sangat manja apabila sakit.
        Okey! Dia kembali ke dapur. Nasib baik ada ayam dan ada Internet. Buat pertama kali dalam hidup, dia masak ayam panggang ikut resepi di Internet. Nak kata sedap sangat tak juga tapi bolehlah untuk dimakan.
        Yang membuatkan dia sangat suka apabila Rihana makan habis ayam yang dipanggangnya. Satu kebetulan yang sangat istimewa, selera Rihana sama dengan seleranya, suka makan ayam dan daging yang digril atau dipanggang.
        Duduk bersila di atas katil menghadap satu sama lain sambil saling menyuap, terasa cukup indah. Tubuh Rihana sudah berpeluh tetapi entah kenapa, dalam keadaan begitu pun, hidungnya kata Rihana wangi saja. Dalam keadaan Rihana yang sakit dengan rambut yang kusut begitu, matanya kata Rihana sangat cantik.
Entah ilmu apa yang Rihana pakai sehingga dia jadi begini. Peliknya, berdepan dengan Rihana, boleh buat dia jadi hilang taring kejantanan

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 2

RIHANA berpusing di depan cermin sebelum mencapai beg tangan Gucci di atas meja dan melangkah keluar.
        “Ke mana?” Suara Rozi menyapa. Hari minggu, pagi-pagi memang kerja si teman itu melepak depan TV.
        “Tak tahu lagi.”
        “Dengan Hakim?”
        Rihana angguk mengiyakan soalan si teman. Siapa lagi kalau bukan Hakim. Lelaki yang telah berjaya ‘mengikat’ dia tanpa perlu menandatangani sebarang kontrak.
        Malam detik bersejarah di Zouk tempoh hari adalah permulaan segalanya. Membawa dia terus melekat dengan lelaki yang bernama Hakim itu.
        “Balik tak?” Rozi bangkit dan mengekor dari belakang.
        “Tak tahu lagi. Nanti aku WhatsApp kau.” Kasut disarung sebelum pintu dibuka.
        “Beb, kau dengan Hakim tu...” Soalan Rozi yang mati sekerat jalan memanggil Rihana berpaling.
        “Kau nak tanya apa ni? Aku nak cepat, driver Hakim dah tunggu kat bawah.” Rihana menggesa. Memang pemandu yang Hakim hantar sudah menunggunya.
        “Takpelah, lain kali. Take care.” Rozi senyum sambil melambai isyarat selamat jalan dan membantu menutup pintu. Mereka hanya tinggal berdua di kondo tersebut. Menyewa setelah tamat pengajian di UiTM.
        Turun ke bawah, kereta sudah menunggu di lobi. Memang begitulah setiap kali jika ingin bertemu, Hakim akan menghantar pemandu untuk menjemputnya dan dibawa ke destinasi yang diarahkan. Hakim hanya menunggu di situ. Selalunya tempat-tempat eksklusif dan sulit. Maklum saja, lelaki itu kan terkenal seantero KL. Pastilah takut terserempak dengan orang yang dikenali.
        Rihana tak tahu ke mana destinasi kali ini. Tapi kereta menuju ke lebuh raya karak dan singgah di R & R Genting Sempah di mana Hakim sudah menunggu di situ, di dalam keretanya yang terparkir di tempat tersorok.
        “Nak ke mana ni?” Rihana menyoal sebaik masuk ke dalam kereta.
        Namun, tiada jawapan dari Hakim. Hanya senyuman yang dihulurkan. Selalu pun begitu. Bersama Hakim, penuh dengan kejutan tak terduga.
        Separuh perjalanan, baru Rihana tahu destinasinya adalah Cameron Highland.
        Singgah minum di Bharat Tea, badan Rihana mula menggigil kerana pakaian yang dipakainya bukan untuk lokasi sejuk begitu. Nasib baik lagi Hakim memang sudah bersedia dengan jaket extra dan disarungkan ke tubuhnya. Hilang sikit rasa sejuk yang mencengkam.
        “Hakim, kita kat sini sekejap saja, kan? I tak bawa apa-apa, sehelai sepinggang saja ni.” Rihana pandang Hakim yang sedang menghirup tea di depannya. Di kepalanya mencongak waktu. Sekarang sudah tengah hari. Pukul berapa nak gerak turun dan pukul berapa pula nak sampai KL.
        Dia tak bawa apa-apa sebab Hakim tak cakap apa-apa. Cuma menghantar pesanan melalui WhatsApp mengajak dia minum. Tapi minum di R & R saja. Lepas minum, Hakim terus memandu naik ke sini.
        Nope! Kita turun KL esok. I dah booked Strawberry Park malam ni.”
        “Habis, takkan I nak pakai baju ni sampai esok?”  Rihana terjerit kecil, memandang ke badan sendiri. Bukan hanya baju tetapi semua alat solek dan toiletries langsung tidak dibawa.
        “Macamlah Cameron ni tak ada tempat jual baju. Sekejap lagi I bawa you shopping baju dan...” Hakim rapatkan badannya ke meja.
        Lingerie sekali,” bisik Hakim sambil tersenyum mengusik.
        “Tapi dengan syarat, I yang pilihkan.” Hakim kenyit mata, sengaja ingin mengusik Rihana.
        Rihana memuncung tetapi terpaksa juga mengikut. Dalam membantah, dia rasa bahagia. Entah kenapa, berada dekat dengan Hakim walau di mana saja, rasa bahagia itu akan hadir memenuhi hatinya.
        Selepas minum, Hakim tunaikan janji membawa dia membeli belah dulu sebelum ke hotel.
        Waktu membeli belah juga, Hakim kotakan apa yang dikata. Semua baju yang dia pilih telah ditolak dan lelaki itu sendiri yang membuat pilihan.
        “Yang ni.” Hakim ambil baju tidur kain satin penuh dengan gambar strawberry dan juga set lingerie warna peach bercorak strawberry sehingga Rihana terjerit kecil kerana tidak suka. Macam budak-budak.
        “Yang ni sesuai dengan you la sayang... ” Hakim memujuk sambil melekatkan set lingerie ke tubuh Rihana. Saat itu, Rihana rasa wajahnya memerah. Apa taknya, mata juru jual terarah pada mereka.
        Tak mahu berlama di situ, Rihana ikut juga kemahuan Hakim. Bukan nak buat pertunjukkan fesyen pun.  Sekadar untuk menggantikan yang sudah dipakai untuk esok hari saja.
        Check-in di Strawberry Park Resort, Hakim pesan hot chocolate bersama buah strawberry segar dan juga salad untuk minum petang mereka.
        “Eeee… masam!” Berkerut muka Rihana tatkala memamah strawberry yang dihidang.
        Strawberry ni, ada cara makan dia kalau nak rasa manis.” Hakim bersuara, serius wajahnya buatkan Rihana percaya.
        “Cara? Ada ke? Macam mana tu?” soal Rihana lurus.
        Hakim senyum lucu. Dia main-main pun Rihana percaya. Jemarinya mencapai sebiji strawberry di dalam bekas dan dibuang daun serta tangkainya.
        “Nak tahu ke?” tanya Hakim kembali.
        Rihana mengangguk. Serius dia memang ingin tahu. Dia jarang naik ke Cameron Highlands. Terkadang kalau ingin merasa, dia beli saja di kedai kek atau pasar raya yang ada menjual buah tersebut.
        Namun, seringkali rasanya sangatlah masam. Kata orang, buah strawberry kalau dah turun dari tempat sejuk, akan bertukar rasa. Entah betul entah tidak.
        “Makan cicah hot chocolatelah. Kan banyak jual strawberry coklat kat sini.”
        “Ish! Itu I tahulaa! Ingatkan ada cara lain.” Rihana herotkan bibir. Apa sajalah Hakim ni.
        Hakim angkat kening sebelah. Kemudian, bibirnya mengukir senyum nakal. Matanya jatuh pada bibir Rihana yang seksi. Terus dadanya dilanda debar.
        Haih! Godaan yang sering buat dia kalah.
        “Ada lagi cara lain. Nak tahu ke?” Senyuman Hakim masih di bibir. Sebiji lagi strawberry di dalam mangkuk diambil.
        Rihana pincing mata. Melihat senyum Hakim, dia sudah dapat mengagak apa yang sedang lelaki itu fikirkan. Pantas dia menggeleng.
        “Takpelah, lain kali.” Rihana pula yang menyengih. Cuaca yang sejuk dan suasana yang romantis begini, janganlah nak cari pasal. Kang habis semuanya.
        “Betul tak nak tahu?”
        Rihana senyum sambil menggeleng lagi.
        “Lain kali.”
        “Betul ni? Rugi tau...” Hakim cuba menggoda. Strawberry di tangan dibawa ke mulut dan digigit separuh. Yang separuh lagi disuakan ke mulut Rihana.
        Sekali lagi Rihana menggeleng.
        “Masamlaa…”
        “Tak, yang ni manis. Lagipun, bibir I ada pemanis, buah masam boleh terus jadi manis.” Hakim senyum sambil sekali lagi suakan separuh strawberry yang masih di tangan ke mulut Rihana.
        Percaya cakap Hakim yang buah tersebut manis apatah lagi dengan wajah Hakim yang tanpa sedikitpun kerutan, Rihana terus buka mulutnya. Tatkala buah tersebut dikunyah, wajahnya terus berkerut sejuta.
        “Arrrgghh… masam!” Pantas jemari Rihana mencari sasaran mencubit lengan Hakim yang sedikit berbulu itu. Lepas mencubit, dia tarik  bulu halus di lengan tersebut sehingga Hakim terjerit kecil.
        “Sakitla sayang...” Hakim gosok lengan sendiri namun Rihana buat-buat tak nampak. Walhal dia dah rasa semacam.

        Sejak akhir-akhir ini, memandang lengan kekar dan berotot itu pun sudah cukup untuk mengundang debaran di dadanya. Apatah lagi bila berada dekat begini dalam suasana penuh romantis.

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 1

                 
RIHANA berpeluk tubuh. Tanpa segaris senyuman, dia pandang lelaki yang sedang duduk di depannya. Siapa lagi kalau bukan Hakim Mukhriz.
        Definisi yang sesuai untuk menggambarkan lelaki ini ialah SEMPURNA! Cukup segala pakej. Patutlah menjadi sebutan. Memang hot pun. Walau duduk bertentang, auranya mampu melangkau meja yang terbentang di tengah antara mereka.
        “So?” Soalan lelaki tersebut menerjah telinga Rihana.
        “Kalau nak I escort, ada banyak syarat, sanggup ke?” Rihana memulakan sesi ‘urus niaga’.
        Si lelaki angkat kening, seperti bertanya lanjut menggunakan bahasa isyarat.
        “Tak boleh lebih selain daripada peluk-peluk. Kalau you setuju, deal. Kalau tak setuju, bye… bye!” Rihana lambai tangan gaya ratu cantik dan bangkit berdiri.
        “Eh! Tunggulaa...” Panjang meleret suara Hakim. Serentak itu lengan Rihana disambar dan ditarik duduk sebelum dia beralih duduk di sebelah.
        “Cium boleh tak?” soal Hakim dengan kening terangkat sebelah.
        Rihana julingkan mata ke atas. Soalan yang memang dia sudah jangka.
        “You nak cium kat mana?” Soalan berbalas soalan. Tiba-tiba Rihana rasa tak selesa.
        Hakim ketawa kuat mendengar soalan terus-terang Rihana. Brutal sungguh! Tapi tetap manis dan seksi. Betullah apa yang dia dengar. Rihana menjadi tumpuan lelaki kaya yang masuk ke sini. Nasib baik tuan punya kelab ni dia kenal dan dia diberi peluang untuk bertemankan gadis ini malam ini
        “Mana tempat yang I suka, you kena bagi.” Hakim pula menetapkan syarat. Rihana nak main tarik tali, dia akan simpul tali tersebut supaya tidak terlepas dari tangan.
        Sekali lagi Rihana bangkit dan ingin pergi dari situ tetapi seperti tadi juga lengannya dipaut Hakim yang turut berdiri menghalang dia dari melangkah.
        “Nak pergi mana? Kita belum habis bincang lagi kan?”
        “Setuju atau tak? Cuma dua pilihan.” Dalam lembut, ada tegasnya Rihana bersuara. Dia tak suka nak berurusan dengan orang yang banyak soal. Biarlah lelaki ini dikatakan teman baik bosnya, dia tak takut sikit pun. Kalau dibuang kerja, banyak lagi tempat lain yang boleh terima dia.
        “Okey! Setuju,” balas Hakim
        “Tapi, boleh buka baju tak?” Hakim menyambung dengan soalan lagi. Dia tak pernah berurusan dengan perempuan yang letak syarat segala macam ni. Kewibawaannya rasa tercabar.
        “Baju you, suka hati youlah nak buka ke tak.” Selamba Rihana menjawab, sengaja mahu mengenakan Hakim. Tanya lagi soalan tak cerdik begitu.
        Hakim senyum senget. ‘I like this girl,’ hatinya berbisik. Ada rasa teruja menerjah ke jiwa lelakinya.
        “Selain peluk, apa yang boleh I buat?” Hakim bersoal lagi.
        “You nak apa?” soal Rihana kembali.
        Senyum Hakim makin melebar sambil mengenyit sebelah mata. Nampak nakal dan menggoda.
        “You rasa apa yang lelaki suka pada seseorang perempuan?” Hakim angkat-angkat kening dengan senyuman masih di bibir.
        “Entah! I tak tahu. Kerja I cuma escort. Kalau nak lebih lagi, you pergi cari pelacur.” Tajam kata-kata Rihana bagai sebilah pedang buatkan Hakim terdiam.
        Brutal sungguh perempuan ni. Di hatinya nekad, dia harus ajar Rihana sehingga wanita ini sedar yang dirinya dan pelacur tidak punya apa-apa perbezaan.
        “Okey! I setuju. Untuk malam ni satu malam, you nak berapa?”
        Rihana tidak menjawab, hanya tangan kanannya diangkat menegakkan lima jari.
        Hakim keluarkan wallet. Sepuluh keping duit  seratus ringgit dikeluarkan. Tanpa amaran, dia selitkan duit tersebut ke dalam baju Rihana di bahagian dada yang berbentuk  V dan agak terdedah.
        “Saguhati, tidak termasuk charge yang you kenakan,” ujar Hakim.
        Kemudian, badannya dicondongkan agar bibirnya dekat di telinga Rihana.
        “I tunggu kat depan,” bisiknya sebelum berlalu pergi.
        Rihana yang terkejut kerana tidak menyangka Hakim akan bertindak selamba begitu hanya diam mematung.

        Oh! Degup jantungnya tiba-tiba saja menjadi tidak normal. Apa ni? Kenapa tiba-tiba kekebalannya seakan tergugat?

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Prolog

                
PUNGGUNG Rihana henyakkan ke sofa. Sengaja larikan diri dari hirup pikuk di luar sana. Kaki disilang atas bawah. Skirt pendek yang dipakai terus terselak menampakkan pahanya yang putih gebu.
        Ada mata yang menjeling. Yang perempuan, hantar jelingan cemburu. Yang lelaki, hantar jelingan bernafsu. Namun, Rihana buat-buat tak nampak. Semuanya pekerja kelab malam tersebut dan kebanyakkannya dia tak kenal. Tiada kepentingan untuk dia beramah mesra dengan mereka.
        Badan dan kepala disandar ke belakang sofa. Mata terus dipejam rapat. Terasa nyaman sesaat.
        Sejak akhir-akhir ini, bunyi muzik terasa sangat membingitkan telinganya dan aksi manusia yang mabuk buat dia rasa mual.
        Tapi kenapa dia masih di sini?
        “Beb!” Bahunya tiba-tiba ditepuk.
        Perlahan Rihana buka mata. Kelihatan Rozi tegak berdiri di depannya.
        “Bos panggil.” Rozi labuhkan duduk di sofa yang sama.
        “Dia nak apa?” Acuh tak acuh Rihana bertanya. Hanya sekilas dia toleh ke arah Rozi sebelum kembali sandarkan kepala dan pejam mata.
        “Hakim Mukhriz  bin Datuk Adam Hakimi.”
        Mendengar nama penuh yang keluar dari bibir Rozi, mata Rihana kembali terbuka dan kepala kembali menegak memandang si teman.
        Rozi atau nama sebenarnya Rozita, asalnya sahabat sekampus, sekolej dan sebilik yang telah bertanggungjawab mengheret dia ke Zouk Club tersebut.
        Asalnya sekadar suka-suka. Lama-lama terus terjebak dan melekat. Tuntutan hidup yang semakin meninggi buat dia jadi teragak-agak untuk menghentikan semuanya. Dari alam belajar, kini sudah meninggalkan alam kampus, dia masih meneruskan aktivi ini.
        Benar, duit bukan boleh dibawa mati tapi tanpa duit juga kita boleh mati.
        “Pergilah cepat.” Rozi menggesa.
        “Apa kena mengena aku dengan lelaki yang kau sebut tu?”
        Siapa yang tak kenal Hakim Mukhriz? Anak tunggal usahawan terkenal. Sangat popular di kalangan pekerja wanita di sini. Hot and spicy kata mereka.
        Tapi, lelaki itu bukannya selalu muncul. Hanya sesekali saja. Dia sendiri pun belum pernah melihat secara dekat. Cuma berpeluang mengintai dari jauh.
        “Kau pergi cari bos kat Imperial, table hujung sekali. Dia tunggu kau kat sana.” Rozi bangkit dan berlenggok pergi.
        Namun, Rihana masih di situ. Terasa malas tetapi sebab bos yang panggil, terpaksa juga angkat punggung.
        Entah apa yang tak kena dengan dirinya, selalu bersemangat saja. Tapi sejak kebelakangan ini, dia macam jemu dan muak. Apatah lagi bila pandang lelaki miang yang sengaja mahu bergesel.
        Kerjanya bukanlah payah sangat. Jadi peneman dan penghibur saja. Tapi kalau terlajak hingga keluar, sangat lumayan. Cumanya, risiko sangat tinggi.