FOLLOWERS

KASIH ITU CINTA BAB 3

BERITA yang baru saja disampaikan ibu mertuanya melalui telefon buat Zarif terdiam lama. ‘Abang Ari ditangkap khalwat.’

        Satu-satunya abang pada si isterinya itu memang nampak pelik dari sudut pandangan Zarif. Apatah lagi bila dia perhatikan Dya sering cuba mengelak apabila berdepan dengan lelaki itu. Berbeza sungguh jika nak dibandingkan dia dan adik-adik perempuannya yang sering nak bermanja itu.

        Tak cukup dengan kepelikan itu, Zarif juga perasan si isteri seperti tidak bertegur sapa dengan ayahnya sendiri. Entahlah! Banyak yang pelik tentang Dya dan keluarganya yang menimbulkan persoalan di benak Zarif.
        Sedang fikirannya menerawang berkaitan 
keluarga Dya, telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Nama Dya yang tertera buat bibirnya spontan mengukir senyum.

        “Rindu saya ke malam-malam telefon ni?” Zarif mengusik sebaik talian bersambung. Malam itu, dia bertugas malam.

        “Tak payah nak perasan!” Di hujung sana membalas.
        "Okey, I miss you too." Zarif membalas.
        "Eh! Bila masa saya cakap saya rindu awak?"
        Zarif ketawa perlahan. Memang sudah menduga jawapan yang sebegitu akan didengar.

        Hubungan mereka yang sesekejap panas dan suam masih belum menunjukkan jalan untuk berubah. Dya yang keras tetap masih belum mampu dia jinakkan.

        Cumanya, dia ada peluang yang luas apabila Dya akhirnya mengalah untuk tinggal sebumbung di kondo miliknya. Itupun, dia terpaksa menggunakan pelbagai helah berkait dengan keluarga. Kalau tidak, harus saat ini dia sudah bergelar duda berhias.
        “Tadi, ibu telefon.” Dia bersuara perlahan.

        “Tahuu... ibu dah cakap.” Cepat sahaja Zarif membalas.
        “Esok kita bincang, ya sayang? Tak sesuailah cakap dalam telefon ni.” Zarif bersuara lagi mematikan terus suara si isteri. Lembut tonasinya agar Dya tidak membantah.
        “Okey.” Perlahan Dya bersetuju sebelum talian diputuskan.

        Zarif sedut nafas. Bercakap dengan seorang Ardyana, harus ada kepakaran yang tinggi. Jika tidak, pasti akan dibahas dengan kata-kata yang akan menyakitkan hati sendiri.
        Bangkit dari kerusi, Zarif berkemas apa yang patut. Dia perlu cari orang untuk menggantikan tugasnya. Esok malam, dia harus menghadiri majlis perkahwinan ringkas si abang ipar. Apa nak buat, hidup harus ada tanggungjawab pada semua perkara termasuklah keluarga.
         
         
         
                
      
PULANG saja dari majlis pernikahan serba ringkas Abang Ari, Zarif rasa hatinya bagai dirasuk. Lebih seminggu bergelar suami, tapi si isteri seperti orang asing. Usahkan nak ‘sentuh’ sebagai suami, sentuh tangan macam pasangan kekasih selalu buat itu pun susah nak dapat.

        “Jom kita sembang kat luar tu kejap.” Tanpa amaran, tangan si isteri ditarik menuju ke balkoni. Waktu itu, mereka baru saja melangkah masuk ke dalam kondo sebaik pulang dari majlis.

        Tingkah dan pandangan pelik si suami menimbulkan tanda tanya di hati Dya. Pun begitu, keperihatinan suami yang sanggup bercuti kecemasan hanya untuk hal-hal berkait keluarga buat hati Dya sedikit lembut. Lantas, dia menurut saja ajakan Zarif walau ketika itu badannya penat sungguh-sungguh. 

        Duduk saling menghadap di balkoni, lebih sepuluh minit, hanya sunyi menemani mereka. Lama Dya menanti namun ‘sembang’ yang dimaksudkan Zarif tadi hanyalah bicara bisu.

        “Awak nak sembang apa ni? Kalau setakat ajak saya duduk kat sini untuk menghadap muka awak tu, baik saya masuk tidur!” Mulut Dya mula petah berkata-kata.Kasar bahasanya.

        Zarif senyum paksa. Dia tak tahu nak cakap apa sebenarnya tapi hatinya mula mahukan sesuatu yang lebih dari sekadar lihat dan tengok.

        “Saya nak tahu sampai bila hubungan kita harus begini? Awak tak rasa ke masa yang saya beri sudah terlalu lama?” Soalan yang keluar dari bibir Zarif buatkan Dya terpana. Terasa darah di seluruh tubuhnya terhenti mengalir.

        “Awak tak rasa ke yang masanya dah tiba untuk awak berikan hak saya yang sepatutnya?” sambung Zarif lagi sekali gus buat denyutan nadi Dya terhenti sesaat.
        Apakah perkahwinan Abang Ari tadi mendorong dia menuntut haknya? Mungkinkah malam ini akan terbongkar segalanya? Hati Dya tertanya sendiri.

        “Saya... saya belum bersedia.” Tergagap-gagap Dya memberi jawapan.
        “Tapi sampai bila?” Nada suaranya cukup bersah

        “Awak tahu tak berapa banyak dosa yang awak dah kumpul jika menolak permintaan seorang suami?” Zarif timbulkan persoalan yang sangat rumit untuk dijawab.
        “Kalau macam tu, apa kata awak lepaskan saja saya? Senang!” Terpacul kata-kata tersebut dari bibir Dya. Dia tertekan sebenarnya.

        Zarif terpempan. Bulat matanya merenung wajah gelisah si isteri.
        “Awak sedar tak permintaan awak tu boleh menjauhkan awak dari pintu syurga?” provokasi berbaur peringatan Zarif bentangkan.

        “Kalau tak mahu saya masuk neraka, tolong jangan mintak yang bukan-bukan.” Mulut Dya makin berani berhujah sedangkan hatinya makin mengecut memikirkan persoalan ini. Dia sedar, sudah banyak dosa yang terkumpul sepanjang tempoh perkahwinan ini.
        Zarif mengeluh berat.

        “Okey! Tapi secara jujur dari hati awak, tolong beritahu saya apa sebenarnya yang awak takutkan?” Soalan lagi, mendesak agar Dya berterus terang. Benar, dia keliru dengan tahap ketakutan Dya. Macamlah dia ni harimau belang yang boleh menyebabkan sebuah kematian bila didekati.

        “Saya tak takut apa-apa!” Ego! Dya pura-pura berlagak seakan tiada apa-apa yang merisaukannya. Sedang sebenarnya dia sangat risau. Bimbang terbongkar satu cerita yang dia sembunyikan berbelas tahun dulu.

        “Jadi...”
        “Ia takkan terjadi apa-apa selagi awak tidak mendesak.” Dya bingkas berdiri. Dadanya sesak tiba-tiba tatkala ingatannya kembali ke zaman silam. Benar... bencinya pada lelaki itu sangat menebal dan Zarif harus menerima tempiasnya.

        Zarif yang melihat hanya mampu memandang. Sudahnya, dia sendirian di situ, merenung ke langit kelam. Malam itu, tiada bulan dan bintang seperti juga langit di hatinya.
        Entah kenapa dia jadi gundah begitu. Bimbang jika mahligai yang dia bina dengan susah payah harus diakhiri dengan mudah.

         

KASIH ITU CINTA BAB 2

RASANYA baru saja dia terlelap, terasa tangannya ditolak kasar. Pantas Zarif membuka mata. Masih mamai, kelopak mata ditenyeh. Kabur tapi dia nampak si isteri sedang duduk bersila di sebelahnya, di atas katil. Perlahan dia bangkit separuh badan.

        “Kenapa ni sayang?” soal Zarif dengan mata yang mengecil. Perkataan sayang itu memang spontan keluar dari bibirnya. Ya! Itu kenyataan. Dia memang sayangkan Dya. Sejak dulu. Cuma Dya saja yang tak tahu.

        “Kenapa sayang?” Dya ulang balik soalan yang ditanya dengan memek dan nada mengejek buat Zarif hampir tergelak. Lawak apakah di pagi hari begini.

        “Awak tanya saya kenapa? Patutnya saya yang tanya awak kenapa.” Suara Dya naik sedikit. Nada marah dan tayang muka tak puas hati.

        “Kenapa awak tidur kat sini? Kenapa tak tidur depan TV sana? Kenapa peluk saya? Kenapa...”

        Huarghhh...” Zarif pura-pura menguap, sengaja mahu mematikan soalan bertubi-tubi si isteri. Dia sudah dapat menangkap apa yang menyebabkan Dya berangin pagi-pagi buta begini. Pasti sebab kena peluk.

        Haih! Baru peluk sikit. Belum buat-apa-apa lagi.

        “Saya mengantuklah. Beri saya masa tidur sekejap. Dah bangun nanti, saya jawab soalan awak.” Bersahaja Zarif menjawab sebelum kembali merebahkan kepalanya ke bantal.

        “Eee... sakitnya hati kita.” Dya mendengus sendiri.
        Zarif yang mendengar sudah tergelak dalam hati.

        “Bangunlah! Subuh dah nak habis, tahu tak?” Tangan Dya sudah menolak kasar bahu si suami. Geramnya jadi berganda. Buka mata, terkejut bila Zarif sedang elok memeluknya. Sekarang ni, Zarif buat drama.

        Terkejut ditolak kasar begitu, Zarif bangkit bersandar ke katil. Langsung rasa kantuknya hilang.

        “Kasarnya kejut suami! Mana awak belajar semua ni?” Wajah si isteri dipandang tepat. Kalaulah mama atau adik-adik yang buat dia begitu, haruslah dah kena marah. Tapi entah kenapa, dengan wanita di depannya ini, dia tidak pandai untuk marah. Bening mata si isteri walau dalam keadaan berangin, sangat menggetarkan hatinya.

        Dya berdecit perlahan sebelum mengensot turun dari katil menuju ke bilik air. Rasa bersalah tiba-tiba hadir di hatinya. Terkesan dengan kata-kata Zarif tentang kekasaran. Entahlah! Berdepan dengan lelaki itu, dia jadi hilang punca. Sabar seorang Zarif buat dia hampir gila.  Kenapalah dia harus terlibat dengan rancangan gila ini?

        Menerima Zarif sebagai suami demi taat pada seorang ibu bukanlah sesuatu yang gila tetapi kenapa dia rasa dia akan jadi gila jika berdepan dengan lelaki itu dalam tempoh yang lama. Jadi, harusnya bagaimana?

        Sementara menunggu Dya di bilik air, Zarif duduk berjuntai kaki di birai katil. Mata tepat merenung pintu bilik air seolah di pintu itu ada terlukis wajah si isteri.

        Terasa dia sedang buat kerja gila. Mengejar dan mengikat Dya dalam ikatan perkahwinan tanpa kerelaan si gadis. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya begitu taksub untuk memiliki seorang Ardyana?

        Sebelum mereka ditemukan kembali setelah bertahun Dya hilang jejak, sudah bersusun wanita disarankan oleh si mama, namun dia tetap menolak. Tapi, bila tiba-tiba nama Ardyana di sebut, tanpa melihat orangnya dia terus kata setuju.

        Haih! Hati, kenapa jadi pelik begini?

        Zarif bangkit, serentak itu pintu bilik air terbuka dan si isteri keluar dengan badan yang sudah lengkap berpakaian. Mata saling bertentang.

        “Lepas ni, tolong hantar saya ke rumah sewa. Esok saya dah mula kerja.” Tegas suara Dya sebelum mengalihkan pandangan dan melangkah ke arah ruang yang disediakan khas untuk bersolat di dalam bilik tersebut.

        “Tak boleh ke awak sambung cuti dua atau tiga hari lagi?” Zarif cuba berdiplomasi. Terkejut juga dengan permintaan si isteri. Mana ada pengantin baru yang mula kerja sehari selepas majlis. Kecuali kalau perkahwinan itu memang bermasalah.

        “Awak ingat company tu bapak saya punya? Sesuka hati nak sambung-sambung cuti?” Pedas dan tajam suara Dya mematahkan permintaan Zarif.

        Terkejut mendengar jawapan balas si isteri, pergerakan Zarif terhenti. Hati, sila bersabar. Kepala tergeleng perlahan.

        “Kalau company tu bapak awak punya, awak dah jadi bos kat situ, bukan kuli macam sekarang ni.” Sinis Zarif membalas, sengaja memberi serangan psikologi.

        “Kalau dah tahu saya kuli, kenapa tanya lagi?” tingkah Dya, geram! Mengata dia ‘kuli’ adalah satu penghinaan yang tak boleh diterima akal. Tambah pula wajah bersahaja Zarif telah menyalakan api untuk memanaskan cecair di seluruh tubuhnya. Entah kenapa lelaki ini sering membuatkan darahnya cepat mendidih.

        “Awak kan dah jadi isteri saya. Apa saya nak jawab dengan mama kalau kita duduk berasingan?”  Zarif merendah suara, melencongkan topik perbualan. Tak mahu bertelingkah di subuh hari.

        “Awak tinggallah dengan saya di kondo tu. Saya janji takkan kacau awak,” pintanya penuh mengharap persetujuan si isteri.

        “Tinggal dengan awak? Kat kondo awak?” Dya ajukan soalan. Nada terkejut.

        Dan pantas Zarif angguk kepala, masih mengharap persetujuan. Perkahwinan mereka tanpa perbincangan hati ke hati. Jadinya, perancangan belum lagi dipersetujui. Cuma kepalanya saja yang berfikir itu dan ini. Di pihak Dya, dia belum pasti.

        “Tunggulah bila akal saya dah tak waras nanti.” Jawapan Dya buat Zarif terngadah. Teruk sangat kah dia sehingga Dya perlu menjadi manusia tak waras untuk tinggal bersamanya? Anginnya naik tiba-tiba.

        Tanpa suara, Zarif melangkah menghampiri si isteri, lebih dekat dan dekat hingga Dya terpaksa berundur beberapa tapak. Bila kaki sudah tersekat di dinding, dia segera menghimpit tubuh kecil itu.

        “Zarif! Saya belum solat.” Tidak berupaya lari ke mana-mana, kedua belah tangan Dya bertindak menolak dada si suami yang masih berlapik.
Namun, Zarif peduli apa. Bilik air dekat saja, boleh berwuduk lagi. Pantas saja tangannya bertindak menangkap lengan si isteri dan dilekatkan ke dinding. Tajam renungannya bagai menembusi belakang kepala Dya.

        Wajah Zarif yang memerah buat Dya telan liur. Marah si suami buat dia takut untuk memandang ke mata. Pantas wajahnya dipalingkan ke sisi.

        “Kalau nak, saya boleh saja suntikkan ubat untuk menghilangkan kewarasan awak dan kalau nak, saya boleh saja paksa awak mengikut kehendak saya. Tapi... lafaz akad yang saya ikrarkan di depan kadi dengan nekad memikul tanggungjawab sebagai suami tidak memungkinkan saya berbuat semua itu.” Perlahan, tetapi tegas sekali suara Zarif menusuk ke telinga Dya.

        “Bercakap tu jangan gunakan suara dan perasaan aje, ambil kira akal dan fikiran sekali,” sambungnya lagi masih dalam nada yang sama.

        “Faham maksud saya?” Zarif menyoal, masih tidak bergerak dalam posisi yang sama.

        Rasa takut yang menyelubungi diri membuatkan Dya pantas mengangguk beberapa kali. Serentak dengan anggukan itu, satu ciuman ringkas singgah di pipinya.

        “Upah untuk satu kemaafan.” Saat itu, bibir Zarif sudah mula tersenyum nakal. Marahnya sudah mengendur melihat taat si isteri.

        Dari pegangan di tangan, dia kemudian bertindak memeluk pinggang. Tanpa mempedulikan rontaan, berkali-kali pipi si isteri menjadi sasaran ciumannya.
       
Penat meronta, akhirnya Dya bekukan diri, membiarkan sahaja Zarif memperlakukan sesuka hatinya. Benar... jika mahu, Zarif boleh sahaja memaksa dia menurut kemahuan lelaki itu seperti apa yang sedang berlaku sekarang ini. Entah kenapa, dia rasa mahu menangis. Seperti dejavu, peristiwa ngeri yang berlaku berkali-kali lama dulu datang kembali. Peristiwa dia diperlaku seperti hamba seks oleh darah daging sendiri datang menyesakkan dadanya.

        Sedar si isteri sudah tidak melawan, bibir Zarif terhenti mencari sasaran. Pandangannya tepat dihalakan ke wajah si isteri. Pun begitu, pandangan Dya jauh ke hadapan, tidak sedikit pun menyapa wajahnya.

        “Kenapa berhenti? Tak susah untuk memaksa kan?” Sinis sekali Dya menyoal dengan suara yang berbaur sebak.

        Tiba-tiba Zarif dihurung rasa bersalah. Memang tak susah memaksa tapi dia bukan jenis yang begitu.

        “I’m sorry,” ucapnya ringkas. Beberapa kali dia menelan liur, memandang wajah si isteri yang sudah berubah keruh.

        Dya diam tak berkutik. Pandangannya jauh ke depan menembusi lapisan dinding yang mengelilingi mereka, jauh merentasi sejuta lapisan udara yang memenuhi ruang dunia. Perlahan-lahan kelopak matanya membahang panas. Air jernih sudah mula berkumpul di situ. Detik kekalahan ini terasa begitu memeritkan.

        “Dya... I’m sorry... saya...”

        “Tolong lepas, subuh dah nak habis.” Dya memintas sambil menarik tangan daripada pegangan dan menolak tubuh si suami agar menjauh.

        Air mata yang mula mahu gugur dia sembunyikan dari pandangan Zarif. Dia sudah kalah tatkala terpaksa menerima lelaki ini. Dan dia yakin, kekalahannya akan jadi berganda apabila Zarif tahu segalanya. Segalanya tentang kesucian seorang wanita yang tidak mampu diberikan pada sang suami.

        Di bilik air, air mata Dya tumpah jua. Dunia ini bukan milik kita dan takdir juga bukan hak kita. Yang ada pada kita hanyalah harapan. Dan dia berharap, suatu hari nanti akan ada sinar menyuluh jalannya. Supaya langkah kakinya tidak pincang.

                 

KASIH ITU CINTA

Ya! Novel ni dah keluar.

Tapi... Limited Edition.

Dan tapi... ni naskah kompilasi.

di dalamnya saya gabungkan semua karya2 limited saya termasuk cerpen.

Kasih Itu cinta hanya dalam 100 ++ page saja.

Kalau berminat, boleh berhubung dengan ejen yang dilantik di FB





KASIH ITU CINTA - BAb 1

MEMANDANG Dya yang dari tadi tidak mempedulikan kehadirannya di dalam bilik itu, Zarif sedut nafas dalam-dalam. Perkahwinan ini memang kehendak hatinya. Ijab dan kabul ini memang telah lama dia doakan, sejak jemari Dya ‘singgah’ di pipinya berpuluh tahun dulu. Sejak itu, dia sentiasa berdoa, agar Tuhan temukan kembali dia dengan pemilik mata indah ini. Dan ternyata, doanya dimakbulkan.
            Tapi dia tahu, perkahwinan ini bukan kehendak hati Dya. Dia juga tahu persetujuan Dya dipenuhi rasa keterpaksaan. Pun begitu, dia amat berharap, keterpaksaan akan bertukar menjadi sebaliknya
            “Kenapa pandang saya macam tu?” Suara Dya tiba-tiba menyergah. Dari cermin solek, si isteri sudah melabuhkan punggung di katil.
            Zarif senyum dan kepala digeleng perlahan. Langkahnya diatur menghampiri si isteri.
            “Garang betul bercakap dengan suami. Patutlah staf awak cakap awak ni garang macam harimau.” Dia bersuara dengan leretan senyuman di bibir sambil berdiri tegak berhampiran katil. Sebelah tangannya memeluk tubuh manakala sebelah lagi meraba-raba dagunya yang berlekuk.
            “Siapa cakap saya garang?” Dya melenting tiba-tiba. Tapi bibir Zarif masih dengan senyuman. Itu yang dia mahu sebenarnya. Mahu menarik suara si isteri keluar dari kerongkong. Kalau bukan dengan cara provokasi, Dya seperti manusia bisu.
            “Maria selalu cakap...”
            “Hah! Percaya sangatlah cakap dia tu!” Dya pantas memintas. Muka sudah memerah. Marah!
            “Baguslah! Dia pun memang tergila-gilakan awak. Patutnya awak kahwin dengan dia, bukan dengan saya,” sambungnya lagi. Dari duduk Dya bangkit berdiri dan dada bidang si suami ditolak kasar sehingga terundur beberapa langkah.
            Pun begitu, senyum Zarif makin melebar. Dia sudah nampak jalan untuk menjentik hati beku seorang Dya.
            “Kalau awak setuju bermadu dengan Maria, saya tak kisah. Kita kan kahwin sebab keluarga, apa salahnya saya kahwin lagi satu dengan orang yang betul-betul nakkan saya?” Sengaja mahu melonjakkan lagi hormon Adrenalin si isteri. Maria yang menjadi topik perbualan mereka itu adalah rakan sekerja Dya. Dia kenal pun sebab gadir itu selalu mengunjungi klinik tempat dia bertugas.  
            “Pergilah kahwin dengan sesiapa saja yang awak suka! Saya tak heran pun.” Tona suara Dya sudah berubah.
            Tiba-tiba Zarif meletuskan tawa.
            “Cakap tak heran, tapi muka macam orang marah aje,” selarnya dalam tawa yang masih bersisa.
            Tanpa diduga, tangan Dya terus mencapai frame gambar yang terletak di atas meja sisi katil.
            “Whoa! Whoa! Jangan baling! Nanti semua orang kat luar sana ingat kita berperang.”  Zarif pantas bertindak merampas frame tersebut sebelum sempat ia menjadi objek balingan. Kalau tidak, sahih bengkak kepala.
            “Gambar ni merupakan harta yang paling saya sayang. Awak pukul saya tak apa, tapi gambar ni tolonglah jangan apa-apakan,” ujar Zarif sebelum meletakkan kembali gambar tersebut ke tempat asal.
            Selangkah Dya bergerak, Zarif bertindak memaut pinggang si isteri dan satu ciuman di lekatkan ke pipi. Sudah lama dia idamkan pipi mulus itu.
            “Hmm... wangi,” senda Zarif.
            “Lepaslah!” Dya membentak marah sambil meronta mahu melepaskan diri. Namun, Zarif makin mengeratkan pelukannya, sengaja mahu menaikkan kemarahan si isteri.
            “Lepassss!!!” Kali ini Dya sudah terjerit kuat. Tangannya menolak tubuh Zarif. Kuat!  Sehingga pautan di pinggangnya terlerai.
            “I hate you!” Kali ni suara Dya sudah merendah. Air matanya pula yang seakan mahu melimpah. Entah kenapa, perlakuan Zarif buat Dya rasa semua lelaki adalah sama.
            “Esok awak tolong hantar saya balik ke rumah sewa saya. Awak buat hal awak, saya buat hal saya.”
            Zarif terus terdiam, memandang si isteri tanpa suara.
            “Kalau awak nak kahwin lain pun saya tak kisah. Yang pasti, saya tak boleh hidup dengan awak. Tengok muka awak pun saya dah benci apatah lagi untuk bersama awak,” sambung Dya lagi.
            Mata dialih mendongak ke atas. Nafas disedut panjang. Cara Dya luahkan kata benci itu buat hatinya terguris. Ada ke lelaki yang malang seperti dia? Di hari pertama perkahwina isteri sudah berkali-kali berkata benci dan berkali juga meminta agar dia berkahwin lain? Rasanya, hanya dia satu-satunya lelaki itu.

            Tak mahu memanjang pertelingkahan, Zarif atur langkah ke bilik air untuk mandi dan berwuduk. Tadi, ketika dia masuk ke bilik, Dya baru selesai menunaikan solat isyak, bersolat sendiri tanpa menunggu dia.

            Keluar dari bilik air, Zarif lihat si isteri sudah berbaring di sofa, berselimut sehingga ke kepala. Pantas kepalanya mengeleng beberapa kali. Tungguhlah, dia selesaikan urusan dengan YANG ESA dulu. Tahulah apa dia nak buat.

            Seusai solat Isyak dan bermunajat pada Ilahi, Zarif atur langkah ke sofa di mana Dya elok terbaring di situ. Punggung terus dilabuhkan di bahagian kaki si isteri, sengaja menghimpit.

            Tepat dugaannya, selimut yang menutup seluruh kepala terus terselak. Zarif simpan gelak, buat-buat muka bersahaja dengan pandangan terarah ke kaca TV.

            “Banyak-banyak tempat, kat sini jugak awak nak menyelit!” Dya bingkas duduk. Memandang tajam ke arah si suami di sebelah yang masih menayang muka bersahaja.

            “Tempat tidur kat katil sayang, sini tempat duduk tengok TV.” Suara Zarif selamba membalas, seselamba wajahnya waktu itu.

            Dari kaca TV yang terpasang, wajahnya ditoleh sekilas dan senyum diukir. Muka si isteri tak perlu diceritakan, macam singa nak membahang mangsa. Garang sungguh!

            “Tidurlah kat atas katil. Saya nak tengok TV sekejap.” Suaranya dilembutkan, nada memujuk.

            Tanpa suara, Dya akur.  Bangkit berdiri dan selimut ditarik kasar sebingga Zarif hampir terjatuh.

            Melihat tingkah kasar si isteri, Zarif mengeleng berkali-kali. ‘Dah la garang, ganas pulak tu.’

            Macam manalah dia boleh terjatuh suka? Walhal sebelum bertemu Dya lama dulu, hatinya hanya menginginkan yang lemah gemalai.

            Tapi, tingkah Dya yang pelik, buat dia mahu lebih mengenali. Diam seorang Dya, buat hatinya makin teruja. Dan kasar seorang Dya, buat dia tekad untuk melembutkan.


            Sejak dulu, sejak lama dulu, dia memang sudah tahu. Dya yang pendiam tetapi sentiasa bertingkah kasar bila ada yang mengusik. Tapi, hatinya yang tiba-tiba berubah mahukan yang pelik-pelik. Jadinya, terpaksalah tanggung sendiri.

KASIH ITU CINTA - PROLOG

Ke kiri si gadis melangkah, maka ke kirilah juga Zarif menghadang. Ke kanan si dia mengelak, maka ke kanan juga Zarif melangkah.
Sudahnya, sang gadis tegak berdiri merenungnya dengan renungan tajam penuh amarah. Tapi peliknya, makin tajam renungan mata itu, makin hati Zarif bagai dipalu-palu.
“Kau nak apa sebenarnya ni?”
“Nak kau, boleh?” Zarif angkat-angkat kening. Mata cantik Dya ditenung penuh minat.

Kalau kau berjaya keluarkan suara dia yang mahal tu dan usik hati beku dia, kau boleh dianggap hebat. Sebabnya… perempuan yang bernama Ardyana tu, suaranya sangat-sangat mahal. Matanya yang cantik tu tak pernah nak pandang kaum lelaki.’

Teringat kembali kata-kata Hasif, ketua pengawas yang boleh dikatakan otai di sekoah Sri Iskandar 2 itu. Tapi yang sebenarnya, bukan sebab cabaran Hasif dia ‘mengejar’ Dya. Hatinya yang tiba-tiba jatuh tergolek tatkala pertama kali melihat bening mata wanita ini yang membuatkan dia terkejar-kejar.
Cuma yang menjadikan dia sangat geram, Dya seperti wanita yang tak punya perasaan. Lelaki sekacak dia pun tak dipandang. Seluruh skil mengayat perempuan sudah dibentangkan tetapi langsung tak berkesan. Sudahnya, dia guna cara ‘jahat’. Sentiasa mencari peluang untuk menyakitkan hati seorang Dya.
“Kenapa kau suka jadi kera sumbang?” asak Zarif lagi, dalam usaha memancing suara Dya.
“Boleh tak buat hal sendiri?” Dya tahan sabar.

Zarif pula rasa tercabar dengan ketenangan yang terpamer di wajah Dya.
“Jangan sombong Dya. Sebab kau tu bukanlah cantik mana pun nak menyombong dengan orang.”
Dya genggam jemari sendiri. Sabarlah wahai hati.
“Aku bukan nak menyibuk hal kau tapi aku menyampah tengok perempuan sombong macam kau.  Kalau cantik tu takpe jugak, ini tidak.....bagi free pun rasanya aku tak terliur…..
Pang!!! 
Satu tamparan singgah di pipi kiri Zarif sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya.
Sengaja! Memang dia sengaja mahu menyakitkan hati Dya dalam usaha mengundang suara si gadis dan juga mahu menarik perhatian. Tapi, lain pula yang dia dapat.
Zarif gosok pipi sendiri. Hilang kata-kata buat beberapa detik. Tapi, saat dia mahu bersuara kembali, Dya telah pun pergi.
Kenapa pipinya yang ditampar tetapi hatinya pula yang melompat keluar?
Zarif pegang pula dada sendiri. Nasib baik jantungnya masih di tempat asal dan tetap berfungsi.

‘Dya, kau tahu tak apa yang telah kau buat pada aku? Hati aku hanya sekeping, tapi kau dah curi dan bawa pergi.’




*** INI KISAH INSPIRASI DAN KESINAMBUNGAN NOVEL BEBUNGA KASIH***