FOLLOWERS

YANG LUAR BIASA - Part 5

Yang luar biasanya setiap kali berdepan dengan Zhariz, Arissa seperti hilang daya untuk melawan. Apa saja yang Zhariz buat, dia hanya mengikut. Seperti sekarang ini, Zhariz bukan terus menghantar dia pulang.

“Balik rumah abang kejap, nak mandi. Nanti abang hantar Rissa balik.”

Rumah mereka bukan jauh sangat pun. Berbeza taman tapi masih dalam kawasan Puchong.

“Siapa ada kat rumah?”

Zhariz senyum. Soalan Arissa seakan memberi peluang untuk dia mengusik si gadis manis di sebelahnya.

“Tak ada orang. Kita berdua aje.”

“Abang dah gila ke??”Arissa terus terjerit.

Mahu tak menjerit, kang datang musibah, tak pasal-pasal nak menjawab. Berduaan dengan lelaki seperti Zhariz di dalam rumah, tiada jaminan untuk dia akan selamat dari tergoda.

Ketawa Zhariz terus meletus. Memang dah agak reaksi Arissa yang begitu. Seronok tengok. COMEL!

Zhariz tak jawab apa-apa tetapi waktu itu kereta sudah membelok masuk ke perkarangan rumah agam milik keluarga lelaki itu. Melihat deretan kereta di laman, Arissa sudah mampu meneka yang Zhariz sebenarnya menipu.

Tapi… sebiji kereta yang terselit di antara beberapa kereta mewah di situ buatkan hati Arissa bagai terjatuh ke dalam laut yang bergelombang. Itu kereta Ryana. Pasti tuannya juga ada di sini.

Tekaan Arissa tepat, apabila kereta Zhariz berhenti di depan laman rumah, wajah Ryana sudah menjenguk keluar dari pintu utama. Bukan jenguk saja, dia berdiri berpeluk tubuh di situ. BALA!

Arissa toleh ke kanan.Wajah Zhariz nampak bersahaja, selamba tanpa riak. Kenapa dia pula yang rasa macam tertangkap main kayu tiga dengan tunang orang?
        
    “Turunlah. Tengok abang macam tu kenapa?”

            Arissa pusing wajah kembali memandang ke depan, ke arah Ryana yang masih tercegat di depan pintu.

            Zhariz sudahpun melangkah keluar dari kereta tetapi Arissa masih teragak-agak di situ. Nak turun ke tak nak? Apabila Zhariz membongkokkan badan menjenguk ke arahnya, barulah Arissa cepat-cepat membuka pintu kereta. Nak patah balik dah tak boleh, redah ajelah.

            “Ooo..I ajak keluar you cakap malas. Usung perempuan ni ke hulu ke hilir rajin pula?” sinis sekali suara Ryana ‘menyambut’ tunangnya pulang.

            “Yana. Kot ya pun nak meroyan, tunggu I masuk dalam rumah dulu,” balas Zhariz, masih tenang.

“And one more thing….perempuan yang you sebut tu adalah adik you. Kalau you lupa, nama dia Arissa,” sambung Zhariz lagi seakan menyindir.

Kemudian, dia toleh ke wajah Arissa yang nampak takut-takut melangkah di belakangnya.

“Masuklah Rissa.” Jemput Zhariz sambil beralih ke tepi, memberi ruang agar Arissa masuk ke dalam rumah.

            “Heh!” Lengan Arissa yang baru mahu melangkah masuk ditarik Ryana.

            “Aku nak cakap dengan kau sikit.”

            “Ryanaaa!!” Suara Zhariz sudah meninggi. Dia memang tak senang melihat Ryana melayan Arissa sekasar itu.

            “You jangan campur Rizzz. Ini urusan I adik beradik.” Ryana mencerlung pada Zhariz. Haih! Ni kalau dah kahwin , sah sah jadi queen control.

            “Kau perempuan! Dah tak ada jantan lain ke sampai tunang kakak sendiri pun nak mengendeng?” Bahu Arissa ditolak kasar sehingga terundur beberapa langkah.

            “Ryana!!! You jangan sesekali berani berkasar dengan dia.” Zhariz sudah berdiri di tengah-tengah, menghalang  Ryana dari bertindak lebih kasar lagi terhadap Arissa. Sejak dulu, dia memang pantang kalau ada yang berkasar dengan Arissa mahupun adiknya, Zalia.

            “Baik you balik sekarang!!” tegas suara Zhariz ‘menghalau’ si tunang.

            Oh! Arissa rasa nak bersorak sambil berjoget. Rasa nak lompat bintang sebab suka sangat.

            “You halau I rizzz?” suara Ryana berubah nada, seakan mahukan simpati si tunang.

            “Sayang sangat you pada dia yer, sehingga sanggup ketepikan I?” kali ni nadanya berubah lirih. Huh! Drama queen sungguh!

            Zhariz tarik nafas. Kepala mengeleng beberapa kali. Dia sebenarnya dah tak tahu bagaimana nak tanggani keadaan yang makin lama seakan makin menghimpit dadanya. Dia dan Ryana, tak pernah ada kata cinta dan sayang. Bila keluarga kata nak tunangkan mereka, dia cuba untuk mengenali Ryana dan permulaannya memang mereka boleh sesuaikan diri.

            Tapi lama kelamaan, sikap yang kasar, suka mengawal keadaan dan mahu semua orang mengikut kehendaknya buatkan dia naik jemu.

            “Yanaaa…” Zhariz mula berlembut. Cari gaduh dengan Ryana, banyak buruk dari baiknya. Yang paling dia tidak suka apabila pergaduhan itu nanti akan melibatkan keluarga.

            “Rizzz… Apa yang bising-bising ni?” tiba-tiba ada suara menyapa. Wajah Datin Maria muncul di depan pintu.

            “Eh! Rissa pun ada. Bila sampai?”

            “Mak Uda…Rissa baru aje sampai.” Arissa hulurkan tangan untuk bersalaman dan seperti biasa mencium tangan emak saudaranya merangkap mama kepada Zhariz.

            Zhariz yang melihat terasa sejuk hatinya. Ryana? Mana pernah cium tangan mama begitu.

            “Kenapa semua tercegat kat sini, tak masuk ke dalam?” Datin Maria pandang semua wajah satu persatu. Melihat ke wajah bakal menantu, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

            “Riz.. kot ya pun, masuk bincang kat dalam.”

            “Risssaaaa…” Tiba-tiba terdengar suara jeritan seseorang.

            “Liaaaaa…” Arissa sudah terlompat gembira tatkala melihat wajah sepupunya itu muncul di belakang Mak Udanya.

Erk? Macamana dia tak tahu yang sahabatnya itu balik bercuti? Zalia itu sepupunya yang paling rapat. Tua setahun dari dia dan masih belajar di Rusia dalam bidang kedoktoran.

Mmm..seronok kalau dapat jadi macam Zalia, boleh belajar apa saja jurusan yang diminati. Bukan macam dia, yang harus mengikut kehendak daddy. Ambil business study sebab nanti kena ganti daddy uruskan syarikat. Huh!

Kata daddy, dia hanya punya dua anak. Ryana dah tak minat dan harapan daddy hanya pada dirinya.

‘Menggembirakan hati ibubapa itu besar pahalanya dan keredhaan Allah swt terletak pada keredhaan ibubapa.’Hanya pesanan itu yang Arissa ingat untuk menjadikan dia akur dan patuh.

Zhariz hanya mampu mengeleng melihat dua wanita kesayangannya saling terjerit dan berpelukan. Bahagia, itu yang dia rasa. Alangkah bagusnya kalau dia mampu memutar masa dan mengubah keadaan. Alangkah indahnya kalau dia mampu membawa Arissa tinggal di dalam rumah ini dan menjadi sebahagian dari keluarganya.

“Masuklah.” Zhariz akhirnya mempelawa dan pelawaan itu ditujukan pada Ryana kerana Arissa sudahpun ditarik masuk oleh Zalia.

“Mmm….Takpelah. I nak balik.” Ryana menolak. Ada nada rajuk dalam suaranya.

“Balik dulu Mak Uda.” Dia menoleh sekilas ke arah mama Zhariz sebelum berlalu ke kereta.

Datin Maria yang melihat hanya mampu mengeleng. Hati tuanya sudah mampu meneka anak dan bakal menantunya ini sedang berperang.

Zhariz pula? Dalam kepalanya, markah Ryana semakin berkurang dan markah untuk Arissa semakin bertambah.

“Beb! Dari mana?” soal Zalia, menjeling abangnya yang sedang memanjat anak tangga sebelum menelek Arissa dengan pandangan penuh tandatanya.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?”

“Mushkil sebab kau datang dengan abang aku.” Zalia angkat-angkat kening. Adik beradik perangainya sama.

“Psstt… bakal kakak ipar aku yang kerek tu berangin sebab apa?” Zalia seperti berbisik pula.

“Weh! Dengar dek abang kau, angin dia kau kata bakal isteri dia kerek.” Arissa gelak-gelak. Memang sejak dulu, mereka berdua tak pernah ngam dengan Ryana. Kata Zalia, Ryana tu macam merak yang berlagak bulunya cantik, walhal tak cantik mana pun.

“Memang kerek pun.” Zalia mencebik.

“Kalau ikut hati aku, lagi suka abang aku tu kahwin dengan kau.”

Gulp!Arissa rasa nak tercekik. Ikut rasa binasa. Ikut hati, mati. Jangan ikut hati Zalia, nanti boleh mati. Mereka berdua tu sudah dipilih keluarga untuk disatukan dan kalau tak saling suka, takkan keduanya setuju tanpa bantahan.

“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Kang ada yang dengar, leher kau kena pancung.” Arissa sudah melangkah ke pintu sebelah kiri dan keluar menuju ke taman mini di sudut tersebut. Rumah ni dah macam rumah dia juga. Waktu remaja, memang banyak dihabiskan di sini.

“Aku rasa macam nak hasut aje abang aku tu putuskan pertunangan mereka. Cari orang lain. Kalau Tok Ma nak juga keluarga kita bersatu, tukar kau jadi calon.” Zalia mengekor dari belakang.

“Isk! Tak baik berniat jahat.”

“Untuk kebaikan takpe,” tukas Zalia.

Sejak dulu, dia memang tak suka Ryana. Dua beradik, tapi Arissa dan Ryana berbeza macam langit dengan bumi. Arissa lemah lembut dan mudah mesra tetapi Ryana, lagaknya mengalahkan model terhebat di dunia. Walhal, tak adalah hebat mana pun. Nak kata cantik, tak cantik mana pun. Kalau tanpa make up, sahih Arissa lagi cantik, 200 KM jauhnya.

“Kata peribahasa Arab, tiada kejahatan yang boleh dinilai sebagai baik, walau kejahatan itu dilakukan dengan tujuan kebaikan. So, kalau dah buat jahat tu, tak adanya nak kata dengan niat yang baik.” Arissa duduk di kerusi rotan bawah pergola berbumbung yang terdapat di taman mini tersebut. Dulu-dulu, mereka memang suka melepak di situ.

Zalia ikut duduk. Wajah sepupunya yang putih gebu itu dipandang seketika, cuba mencari sesuatu yang tersembunyi di sebalik riak itu. Dia tahu, abangnya sukakan Arissa, bukan Ryana. Cuma dia tak pasti hati Arissa.

“Kata peribahasa  melayu, kalau tak dipecahkan ruyung, mana nak dapat sagunya.”

“Motif???”Arissa angkat kening. Apa kes tetiba keluar bab ruyung dan sagu, dia tak faham.

“Kalau nakkan sesuatu, kena usaha.”

Arissa terkebil-kebil, cuba mencerna apa yang ingin disampaikan Zalia.

“Kalau nakkan abang aku tu, kena usaha,” Provok Zalia, sengaja mahu melihat reaksi Arissa.

“Bila masa aku nakkan abang kau?” Mata Arissa sudah membulat.

“Menipulah Rissa, selagi kau boleh menipu. Jangan nanti, makan hati berulam jantung.” Provok lagi. Tapi Arissa hanya menyengih. Dia tahu, Zalia sedang cuba menggerudi hatinya.

“Hati aku tak suka, tapi jantung pisang kalau buat masak lemak, aku suka.” Arissa melawak dan bahunya menjadi sasaran tangan Zalia.

“Aku serius, kau main-main.”

“Lia.. Rissa, mari minum.” Suara jeritan Datin Maria membantutkan perbualan mereka.

Arissa dan Zalia bangkit serentak menuju ke anjung rumah di mana hidangan minum petang sudah tersedia di atas meja bulat yang terdapat di situ.

Mmm..talam sagu. Kecur liur sekejap. Ni yang dia suka ke sini, Mak Udanya memang pandai bab bab buat kuih.

“Pssstt..” Tiba-tiba Zalia seperti berbisik dan mulutnya memuncung ke satu arah.

Pandangan Arissa spontan beralih ke arah yang ditunjuk. Dan… matanya terus terpaku. Zhariz yang sudah bertukar baju dengan wajah yang segar sedang melangkah ke arah mereka. T-shirt biru D & G tanpa kolar itu menampakkan bentuk tubuhnya yang tegap. Rayban Aviator yang melekat di wajah itu menambah kredit untuk kelihatan lebih bergaya.





Oh! Matanya terpesona. Hatinya seperti terjatuh. Dadanya dilanda getar. Dia sedang TERGODA!

“Segakkan, abang aku.” Suara Zalia memanggil Arissa mengalihkan pandangan.

“Euuww! Puji abang sendiri tak agak-agak.” Arissa cuba menutup malu, tertangkap merenung anak teruna orang dengan pandangan penuh makna.

“Tapi abang aku selalu puji kau. Katanya, kau cantik walau dilihat dari sudut mana sekalipun.”

Arissa hilang kata. Benarkah? Atau Zalia sengaja mereka cerita? Kenapa sekarang ini, hatinya sering dilanda debar tatkala bercerita tentang lelaki itu?

Zhariz duduk antara Zalia dan Arissa. Haruman Black Rose yang dipakai lelaki itu menyerbu masuk ke rongga hidung menyentuh deria rasa, mengkhayalkan. Arissa tahan nafas.

“Wangi semacam aje, nak ke mana ni?” Zalia buka mulut sambil memadang si abang.

“Ke mana lagi, hantar cik adik sayang ni la.” Wajah Zhariz berpusing ke kiri memaksudkan cik adik sayang itu adalah Arissa.

“Errr.. Takpelah, orang mintak Lia hantar nanti.” Arissa sudah gelabah bila dipanggil sayang di depan Zalia. Zhariz ni pun, tak agak-agak. Kang makin bertambah syak wasangka Zalia.

“Abang hantar. Lagipun, abang nak ke arah sana,” tegas Zhariz.

Entah kenapa Arisa rasa Zhariz mahu ke sana untuk memujuk si tunang tersayang. Tiba-tiba dia jadi hilang mood. Hilang segala rasa untuk bersuara dan bercerita.

“Jomlah!” pantas dia bangkit berdiri.

“Eh! dah nak balik ke?” soal Zhariz.

“Mmm..Lia, aku balik dululah. Nanti bila free aku datang. Tapi, kalau ikutkan aku menyampah dengan kau sebab balik cuti tak bagitau aku.”

Zalia ketawa mengekek.

“Nak balik dah ke?” Mak Uda yang baru muncul di situ menegur.

“Ha’ah.” Sekali lagi Arissa hulur tangan bersalaman dan sekali lagi tangan orang tua itu dicium.

Tangan Datin Maria naik menggosok kepala Arissa. Entah kenapa dia sangat suka dengan anak saudaranya yang sorang itu. Kalaulah dia ada anak lelaki lain selain Zhariz.

Arissa terus menonong ke kereta Zhariz. Sebaik lelaki itu masuk dan menutup pintu kereta, Arissa tadah tangan.

“Kenapa?” soal Zhariz.

“Kunci kereta orang.”

Zhariz senyum. Enjin kereta dihidupkan. Badannya berpusing mengadap si gadis di sebelahnya.Telapak tangan Arissa yang masih menadah ke arahnya dipandang.

Kemudian, telapak tangannya dilekatkan ke telapak tangan Arissa, menyatukan jemari mereka. Kunci kereta yang Arissa minta tetapi tangan yang dia berikan.

Sesaat..dua saat.. denyut nadi Arissa seperti terhenti. Sentuhan itu menghantar getaran maha hebat ke hatinya. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Kenapa saat ini dia rasa Zhariz ini sangat istimewa? Romantik dengan caranya yang tersendiri.

‘Arissa… sejak dulu Zhariz memang lelaki istimewa yang diciptakan Tuhan dengan semua kelebihan. Kau tak perasan sebab selama ni kau pandang dia sebagai seorang abang.’


Tapi, adakah saat ini pandangannya terhadap Zhariz sudah berubah? Tepuk dada, tanya hati sendiri. 

YANG LUAR BIASA

Part  3


Yang luar biasa hari minggu itu, Arissa memilih untuk lepak di rumah. Lagi luar biasa apabila dia mengenakan baju kurung kain cotton berbunga halus, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Baju kurung selalunya dia pakai apabila ada majlis-majlis kesyukuran yang terpaksa dihadiri.

Ini semua gara-gara nak sembunyikan calar di siku dari mommy dan daddy. Kalau mommy tahu, berbakul bebelannya nanti. Mujur juga tak kena dahi, kepala aje yang bengkak sikit sebab terkena pintu tersebut.

Isk! Sampai sekarang  Arissa masih tak boleh lupa rupa mamat yang menolak pintu dengan laju itu.

Duduk bersimpuh atas sofa di ruang tamu sambil membelek note3 di tangan, tiba-tiba matanya ternampak kelibat lembaga manusia melangkah masuk ke dalam rumah. Siapa lagi kalau bukan Zhariz yang sekarang ini makin kerap datang berkunjung ke situ.

“Abang ingat tersalah masuk rumah tadi.”  Suara Zhariz nada mengusik.

Masuk saja ke situ, dia terkelip-kelip pandang Arissa. Macam tak percaya, gadis yang dia kenal sejak zaman kanak-kanak, yang memang tak suka baju kurung tetiba pakai baju kurung. Tersampuk hantu baju kurung ke?

Daddy keluar. Kak Yana masih tidur kat atas,” Arissa bersuara tanpa mengangkat wajah dari telefon di tangan.

“Abang cari Rissa.”

Kali ini Zhariz berjaya menarik Arissa mendongakkan wajah. Dia hulurkan senyuman. Entah kenapa, melihat Arissa yang manis berbaju kurung begini, hatinya jadi sejuk, sesejuk udara selepas hujan. Entah  kenapa  sejak akhir-akhir ini, setiap kali matanya melihat Arissa, hatinya jadi tenang, setenang tasik yang tidak berkocak.

Sudah angaukah dia? Entah! Yang pasti dia tidak pernah merasai perasaan sebegini terhadap Ryana. Rasa aneh sering melanda hatinya saat fikirannya terlintas seraut wajah Arissa. Rasa debar sering melanda hatinya saat berada dekat dengan Arissa. Apa maknanya?

Semuanya bermula apabila dia kerap mengunjungi Arissa ketika gadis itu berada di perantauan. Dan ianya makin parah setelah peristiwa tertidur di sebelah Arissa di apartment gadis itu tempoh hari.

“Abang cari orang buat apa?”

Zhariz tarik nafas. Entah! Dia pun tak tahu kenapa dia cari gadis ini. Sebenarnya, dia main redah aje datang ke rumah bapa saudaranya ini. Satu kredit apabila dia memang sudah terlalu biasa di sini. Rumah ini sudah seperti rumah keduanya.

“Bila nak masuk kerja?” soalan random keluar dari bibir Zhariz

“Tengoklah, bila orang rasa nak masuk nanti.”

“Pak long suruh abang pujuk Rissa cepat-cepat masuk office.”

Pujuk? Euuwww! Tak sesuai. Macamlah mereka tu pasangan kekasih nak main pujuk-pujuk. Daddy pun satu, dia baru lagi habis belajar, dah sibuk suruh jenguk pejabat ZNZ Holding tu. Kak Ryana yang sibuk terbang sana sini tak pula disuruhnya.

So, nak abang pujuk cara macam mana ni? Pak long dah bagi greenlight.” Zhariz kenyit mata, sengaja mahu mengusik.

“Eeee.. tak kuasa main pujuk-pujuk.”  Arissa bangkit berdiri. Langkahnya terus diatur ke dapur. Layan  Zhariz, boleh buat perutnya seperti ada buih-buih sabun yang berterbangan. Mual tetapi mengasyikkan.

Duduk di meja makan, roti yang sudah dibakar diambil dan disapu butter. Baru sekali gigit, kelihatan Zhariz melangkah masuk dan duduk di depannya.

“Buatkan abang nescafe boleh?”

“Tu, kan banyak lagi air yang bibik buat.” Arissa memuncungkan mulut ke arah teko air di atas meja makan.

“Tak nak yang bibik buat. Abang nak Rissa buat, pleaseeee…” Nada merayu sudah keluar dari bibir Zhariz. Terasa meremang bulu tengkuk Arissa. Apa kena dengan mamat ni? Dah lupa ke dengan siapa dia sedang bercakap sekarang ni? Bakal adik ipar kot. Bukannya bakal isteri.

Arissa gelisah di tempat duduk apabila Zhariz berterusan merenungnya. Nak tak nak, Arissa terpaksa juga bangkit menuju ke dapur. Hanya itu cara untuk lari dari menjadi sasaran mata menggoda Zhariz.

Sangkanya, dia dah selamat di situ sebab Zhariz masih di meja makan. Tapi sangkaannya silap apabila tiba-tiba Zhariz menapak menghampirinya.

“Kurang manis ya, sayanggggg…..” perkataan sayang sengaja dileretkan Zhariz. Rasa selesa bila memanggil Arissa begitu. Ryana? Dia tak pernah panggi Ryana begitu.

Oh! Tiba-tiba Arissa rasa hatinya dilanda debar. Apa sebenarnya yang Zhariz telah buat pada hatinya. Racun apakah yang telah Zhariz suntik ke hatinya sehingga dia jadi lemah apabila berdepan dengan lelaki ini?

“Riz, bila sampai?” Suara teguran mommy yang muncul tiba-tiba mengejutkan Arissa. Cepat-cepat dia memasukkan susu ke dalam mug yang sudah terisi nescafe. ‘Kurang manis sayang’. Ayat itu berlegar di kepalanya.

“Baru lagi mak long. Baru nak minum, minta Rissa buatkan air.”

“Ryana mana?”

“Belum bangun.” Arissa menjawab bagi pihak. Langkahnya di atur keluar ke ruang makan bersama mug yang masih berasap di tangan

“Pak long mana?” Kedengaran suara Zhariz bertanya. Tentulah soalan itu ditujukan pada mommy.

“Mmm..…pak long kamu tu apa lagi, hari minggu ukur padang golf aje kerja dia. Macamlah kamu tak tahu.”

Seketika kemudian, Zhariz dan mommy turut melangkah ke ruang makan dan duduk di meja. Arissa buat-buat tak peduli, mengunyah roti bakar yang tergendala tadi.

“Kamu dengan Ryana ni apa cerita Riz? Cuba kamu bertegas sikit, suruh Yana tu stop buat kerja tak berfaedah. Tak ke mana kerja modelnya tu.” Mommy sudah bermukadimah.

“Biarlah dulu mak long, biar dia enjoy puas-puas dulu,” balas Zhariz. Nescafe yang dibancuh Arissa dihirup penuh nikmat.

“Mak long bukan apa, risau tengok korang macam ni. Sorang ke hulu, sorang lagi ke hilir. Bilanya nak bersatu. Tok Ma kamu pun dah sibuk tanya bila nak langsung, dah lama sangat dah bertunangnya.”

“Alaaa… kami muda lagi mak long. Tiba masa nanti kami bincang. Janganlah risau.”

Jangan risau? Tapi, kenapa Arissa rasa dia pula yang risau bila dengar topik begini di bicarakan?

Mengelak dari terus mendengar sesuatu yang merisaukan hatinya,  Arissa bangkit menuju keluar. Hati yang awalnya tadi rasa tak mahu keluar tiba-tiba berubah mahu keluar. Note3 di tangan cuba mencari nama Fetty.

Belum sempat menghubungi sahabatnya itu, panggilan dari Fetty sudahpun masuk ke telefonnya.

Guess what? Siapa ada dengan aku sekarang ni?” Fetty sudah terjerit. Teruja!

Minah ni, suka sangat main terjah tanpa salam. Nama Fatimah Anum tapi tak mahu orang panggil Anum. Panggil Timah lagilah dimarahnya. Perasan nak jadi minah saleh.

“Malas nak main teka teki.” Arissa hilang mood.

“Adam Khalif.”

Adam Khalif? Sebaris nama itu tersebut di hati Arissa. Kami bertiga saling kenal ketika sama-sama menuntut di MRSM dulu.

“Dia kata sejak balik Malaysia, kau macam nak menjauhkan diri dari dia, tak layan dia,” sambung Fetty lagi.

“Bila masanya kami pernah dekat? Bila masa pula aku pernah layan dia?” balas Arissa.

Seraut wajah lelaki kacukan Melayu Arab itu terlayar di mindanya. Adam bukan tidak kacak. Malah lelaki itu boleh disenaraikan dalam 10 lelaki terkacak yang pernah dia kenali. Di zaman belajar, dari MRSM hinggalah sama-sama ke Ausie, Adam sentiasa menjadi perhatian student perempuan.

Adam yang sentiasa ada di mana saja dia berada. Adam yang sentiasa mengambil berat di saat dia perlukan pertolongan ketika di rantau orang. Tapi peliknya, hatinya hanya biasa-biasa saja. Terkadang dia cuba juga mencari titik rasa di hatinya. Mana tahu ada tersembunyi di celah-celah relung yang berselerak di situ. Namun, sehingga ke hari ini ‘rasa itu’ tidak pernah ada. Tak pernah ditemui titiknya.

“Dia tu suka kau, takkan itu pun kau tak faham.”

“Biarlah aku terus tak faham. Kalau dah faham nanti, takut semak kepala otak.”

“Eeee… susah betul cakap dengan kau ni. Nah! Cakap dengan dia sendiri.”

“Fetty…”

Senyap. Hanya deru nafas yang kedengaran. Nafas siapakah itu?

“Rissss…” suara Adam Khalif.

“Adam….”

“Is that the same Adam?” Suara lain tiba-tiba kedengaran di belakang Arissa. Pantas dia berpusing. Zhariz sedang berdiri hampir di belakangnya dengan renungan tajam.

Ouh! Zhariz memang kenal Adam. Apa tidaknya, setiap kali lelaki itu datang melawatnya ketika di Ausie dulu, mereka sentiasa bertemu. Zhariz dengan sifat caringnya dan Adam dengan sifat cemburunya, sering buat dia serta tak kena.

“Siapa tu?” kedengaran pula suara Adam di hujung sana.

Belum sempat Arissa menjawab, telefon yang melekat di telinganya sudah dirampas. Siapa lagi kalau bukan Zhariz yang buat kerja tu.

“Adam…Zhariz sini. Sekarang ni kami ada FAMILY discussion. So, kalau boleh jangan ganggu dia.” Talian terus diputuskan. Perkataan Family sengaja ditekankan Zhariz.

Amboi! Sesuka jiwa dia aje buat rampasan dan mereka cerita. Ini boleh menimbulkan kemarahan.

“Apa kena dengan abang ni?” Arissa naik angin tiba-tiba.

“Abang tak suka Rissa rapat dengan dia.” Ayat penyata dari Zhariz buat mata Arissa membulat. Dia kenal Adam sejak dari MRSM lagi. Dah sah-sah memang rapat pun.

“Apa masalah abang sebenarnya?”

Zhariz angkat kening.

“Abang cakap tak suka bukan abang cakap ada masalah.”

Eeee… Arissa naik buntu. Berlawan cakap dengan dia ni, bukan boleh menang.

“Bak sini telefon tu.”

Zhariz ngeleng kepala. Sengaja mahu mengusik, tangan diangkat tinggi agar Arissa tidak mampu mencapai note3nya.

“Darlingggg….” Suara sengau baru bangun tidur menyeru ‘tunang tersayang’ dari anak tangga membantutkan niat Arissa yang mahu merampas handphonenya.

Zhariz berpaling. Kesempatan itu Arissa ambil untuk merampas note3nya dari tangan Zhariz. Segera dia berlari mendaki anak tangga untuk naik ke atas. Kalau ada Ryana dan Zhariz, Arissa memang berbulu anak mata. Tak tahu kenapa, dia menyampah bila Ryana merengek manja dengan Zhariz.