FOLLOWERS

CINTA DARI HATI - Bab 2

Sharul sudah lama meminta diri tetapi Hareez masih duduk di situ. Pesanan temannya yang satu itu sebelum melangkah pergi berputar-putar di kepalanya.
         
   ‘Semua orang buat silap. Dari situ, kita belajar sesuatu. Kalau tak belajar, itu bodoh namanya.’
           
Ya! Dia pernah buat silap. Bukan sedikit malah banyak sangat dan dia mahu belajar dari kesilapan lampau. Sebab itu, dia menolak apabila Shahrul mahu dia memberi peluang kepada Fazura. Dia tidak ingin kesilapan lampau berulang kembali. Dia tidak mahu sejarah berulang dua kali kerana memberi peluang kepada Melisa tanpa rasa cinta yang wujud dihati untuk wanita itu adalah satu kesilapan besar dalam hidupnya.
           
Hareez panggung kepala, melihat bumbung yang putih. Kalaulah hidupnya seputih bumbung tersebut. Tapi, kalau ada putih, pasti ada hitamnya dan yang hitam di dalam hidup dia adalah berpunca dari sikapnya sendiri.

Dari kecil dia dibekalkan dengan didikan agama yang cukup. Tetapi semakin usia meningkat dewasa dia semakin memandang remeh soal agama. Kerana itu, dia terjebak dengan Melisa dan kerana Melisa, dia terlepas untuk memiliki Lya.
          
  Ah! Perkara yang lama tak usah dikenang. Kalau dikenang menyakitkan jiwa. Pandang ke depan, jangan toleh ke belakang.
          
  ‘Kalau bukan Melisa atau Lya atau Fazura, pasti Tuhan sudah sediakan yang lebih baik  untuk dia.’
           
Hareez bangkit untuk beredar. Sudah lebih tiga jam dia keluar dari pejabat. Nasib baik kerja sendiri, syarikat sendiri.
          
  Melangkah untuk keluar melalui ruang lobi, di lorong menuju ke lift untuk ke kawasan parkir, matanya terpandangkan adengan tarik menarik antara lelaki dan perempuan.

Seorang lelaki berbadan tegap kemas berkemeja kelabu siap bertali leher sedang menarik tangan si gadis manakala si gadis itu pula enggan mengikut.

Excuse me….?” Hareez menegur. Terus adengan tarik-menarik terhenti.

“Awak!” tiba-tiba saja si gadis meluru ke arahnya. Tiba-tiba saja, lengannya dipaut erat.

Eh? Diakah yang diseru oleh si gadis ini sebentar tadi? Hareez berpaling dan senyuman si gadis menyapa pandangannya. Buat seketika matanya bagai terlupa untuk berkelip sebab senyuman itu manis bergula dan wajah itu macam sangat familiar. Mereka pernah jumpa ke?

“Sayang… siapa ni?” soalan lelaki berkemeja kelabu memanggil Hareez mengalihkan pandangan. Lama-lama pandang anak gadis orang, takut juga jantungnya buat perangai. Sekarang ni pun dia dah rasa seram sejuk sebab kedudukan dia dengan si gadis teramatlah rapat sehingga badannya terasa membahang.

“Sayang??” suara lelaki itu bergema lagi.

Hareez sekali lagi menoleh memandang si gadis di sebelahnya. Wajah cik sayang nampak mengharap bantuannya.

“Sini!!” lelaki tersebut tiba-tiba saja menarik tangan cik sayang.

“Tak nak!” cik sayang pula terjerit membantah. Pautan tangannya semakin kejap di lengan Hareez.

“Abang cakap ikut abang!”

“Eh, wait! Wait! Saudara, tak elok berkasar dengan perempuan.” Hareez cuba meleraikan. Tarikan kuat lelaki tersebut membuatkan dia tertarik sama. Apa taknya, pautan di lengannya oleh cik sayang kejap sekali.

“E! kau ni siapa? Jangan campur urusan aku boleh tak?” lelaki tersebut mula naik angin. Dada Hareez ditolak kasar.

“Dia tunang aku, kau jangan nak sibuk!” sergah lelaki itu lagi.

“Tak! Kita dah putus. Tolong jangan kacau Tia lagi,” balas cik sayang.

Oh! Namanya Tia. Hareez sematkan ke dalam kepala.

“Fatia Arissa! Mengikut adat kita masih belum putus dan abang akan pastikan ianya takkan putus,” tegas lelaki tersebut. Muka dah merah padam.

“Abang… Apa sekalipun, Tia anggap kita dah tak ada apa-apa lagi.” Cik sayang tarik nafas panjang-panjang.

“Ni! Tia akan kahwin dengan dia… soon, very very soon.”

Eh? Hareez blur sekejap apabila jemari cik sayang yang bernama Fatia Arissa itu menunjuk ke arahnya. Kahwin? Adakah itu yang disebut cik sayang tadi?  Bila masa dia pinang anak dara orang ni? Takkan mama buat kerja gila pergi meminang tanpa pengetahuan dia? Hati Hareez terlompat kijang.

“Tapi kita masih belum putus.”

“Saudara.. baru tunang aje kan? Belum kahwin lagi. Bab putus memutus tu kemudian ceritalah.  Kami dah lambat ni.” Hareez cuba mencantas, mahu memendekkan apa jua kisah drama sinitron yang secara tidak langsung sudah melibatkan dirinya.

“Eh! Kau jangan nak berkurang ajar dengan aku boleh tak?” lelaki tersebut sekali lagi menolak dada Hareez. Kali ini lebih kuat sehingga menyebabkan dia dan cik sayang terundur ke belakang.

“Abanggg!!!!” cik sayang menjerit. Saat itu sudah ada beberapa pengunjung yang datang menyaksikan drama tersebut. Dah rupa macam sesi penggambaran pula.

“Kalau orang dah tak nak tu, jangan dipaksa-paksa,” sinis Hareez bersama senyuman. Saat ini sabarnya masih menebal dan dia tak mahu jatuhkan martabat lelaki bergaduh di tempat umum.

“Hey! Watch your mouth!” lelaki tersebut memberi amaran dengan jari telunjuk hampir ke muka Hareez.

“Hey! Jaga jari tu. Kalau kena muka, I tak jamin jari you akan selamat.”

Buntang mata lelaki tersebut dengan amaran beralas dari mulut Hareez. Waktu itu, orang sudah ramai datang ke arah mereka termasuklah security guard. Mungkin ada yang memanggil pengawal tersebut apabila melihat keadaan semakin kecoh.

Tanpa lengah, Hareez tarik cik sayang mengikut langkahnya. Dah alang-alang menolong tu, biar terus sampai selamat.

Masuk ke dalam lif, Hareez pandang lengannya yang masih menjadi tempat cik sayang berpaut. Wah! Dah rupa macam pasangan kekasih yang baru keluar dari bilik hotel pula gayanya.

Excuse me, boleh bagi balik lengan saya tak?”

“Opp!! Sorry.” Cik sayang angkat kedua tangan. Wajahnya terus berubah rona. Mungkin segan dan mungkin juga malu.

Eh! Sekejap. Peristiwa di dalam lif minggu lepas tiba-tiba terimbau di kepala Hareez. Matanya mengecil memandang wajah cik sayang. Confirm! The same lady. Patutlah dia rasa macam pernah nampak.

Belum sempat berkata apa-apa, pintu lif terbuka di Aras B dan cik sayang pantas melangkah keluar tanpa sebarang ucapan. Tapi kenapa Hareez rasa macam tak puas hati? Rasa macam tak patut saja si gadis itu pergi begitu saja. Takkan kedekut sangat sampai tak boleh nak ucap terima kasih.

“Cik Sayang...."

Terus langkah si gadis yang bernama Fatia itu terhenti. Hareez pula melangkah mendekat.

“Awak panggil saya ke?” soal si gadis.

Hareez pandang kiri kanan. Tak ada sesiapa kot kat situ. Takkan paggil kereta yang berderet di tempat parkir kot.

“Rasanya, kita berdua ajekan?”

Kali ini si gadis pula menoleh kiri dan kanan.

“Nama saya bukan sayang!”

Hareez senyum senget. Tangan diangkat berpeluk tubuh. Matanya terus saja menelek cik sayang atas dan bawah. Dari bawah naik semula ke atas dan terhenti di bahagian dada. Turun naik dada si gadis dapat dilihat dengan jelas.

Selendangnya memang labuh tetapi agak nipis. Di tambah pula jenis baju yang dipakai, kainnya melekat ke tubuh menampakkan setiap lekuk. Wah! Sejak bila pula dia pandai meneliti jenis pakaian orang ni? 

Rasa macam nak cucuk mata sendiri sebab dah tak tahu nak pandang tempat lain dah. Rasa macam nak hentak kepala sendiri sebab tiba-tiba saja berfikir yang bukan-bukan. Kenapa tiba-tiba dia jadi nakal begini? Walhal selama ni, pandang perempuan pun macam nampak tak nampak. 

“Kenapa pandang saya macam tu?” Spontan si gadis angkat kedua tangan bersilang menutup dada sendiri. Ngeri tatkala jejaka kacak di depannya ini memandang di tempat yang tidak sepatutnya. Nampak smart bergaya, takkanlah gila kot?

Hareez ketawa perlahan melihat reaksi spontan cik sayang. Sengaja mahu mengusik, matanya dikenyitkan, gaya kasanova.

“Gatal!” Si gadis terus atur langkah. Takut melihat perangai lelaki macam tak siuman di depannya. Dah la tak ada orang kat sini. Security Guard pun nampak sayup-sayup di hujung sana

“Hutang bila nak bayar?” Provok Hareez menghentikan langkah si gadis.

“Hutang apa?”

“Tolong awak tadi.”

Oh! Tolong nak minta dibayar? Apa jenis manusia ni? Matanya mengecil memandang si jejaka. Nampak kacak bergaya tapi takkan sengkek sangat kot, nak minta dibayar hanya untuk pertolongan sekecil itu? Tiba-tiba hati Fatia terasa hangat.
          
  “Berapa juta?”
        
    Wow! Hareez angkat kening. Tak sangka ‘cik sayang’ di depannya ini boleh keluarkan soalan maut begitu. Juta? Mampu ke bayar kalau dia minta sejuta?
       
     “Tak payah juta-juta. Cukup sepinggan Kenny Rogers atau semangkuk pulut kuning.” Hareez tayang muka serius.
         
   “Awak ni bela ‘saka’ ke nak makan ayam panggang dengan pulut kuning bagai?”
        
    Wah! Hareez hilang perkataan buat seketika. Boleh tahan juga mulut ‘cik sayang’ ni. Tadi nampak takut-takut bila ditarik oleh lelaki yang entah apa masalahnya. Agaknya kalau dia tarik masuk kereta sekarang, apa akan jadi?

Kakinya diatur mendekati si gadis.
            
“Saka saya kuat tau! Silap haribulan, awak datang cari saya sebab tak dapat tidur teringatkan saya.” Hareez dekatkan wajahnya ke wajah cik sayang.
          
  Oh! Masing-masing terkaku sesaat. Ada sesuatu yang ada pada lelaki itu yang membuatkan jantung Fatia terhenti berdenyut. Aura!

         
   Dan Hareez, jadi pelik dengan diri sendiri. Kenapa hatinya seperti tidak mahu melepaskan gadis itu begitu saja. Sudah dijangkiti viruskah hati dia?

CINTA DARI HATI - Bab 1

Pertemuan di Lemon Garden Cafe, Shangri-La Hotel pagi itu seakan pertemuan jejak kasih dua sahabat yang telah lama terputus hubungan sejak pulang dari bumi UK lama dulu.       
“Hei! Bro...” Shahrul Rezza yang sudah sedia menunggu terlebih dulu menyapa Hareez yang baru tiba. Pantas mereka bersalaman dan berpelukan buat seketika.
          
  Setelah pelukan terlerai, Hareez sekali lagi menarik sahabatnya itu untuk dipeluk erat. Rindu pada kenangan lama dan rindu juga pada keakraban mereka. Sejak dari zaman sekolah berasrama penuh hingga ke bumi UK, Shahrul adalah sahabat susah dan senangnya. Tinggal serumah, makan sepinggan dan tidur sebantal, Shahrul satu-satunya sahabat yang tahu semua perkara tentang dirinya.

Cuma selepas dia menikahi Melisa, hubungan mereka jadi renggang dan terus terputus apabila dia mengambil keputusan mengejut pulang ke Malaysia tanpa pengetahuan sesiapa termasuklah Shahrul.

            “So, apa cerita?” soal Shahrul.

Dia tidak menyangka dapat bertemu kembali dengan sahabatnya ini. Ternyata usahanya menjejak Hareez di FB membuahkan hasil. Dia ingin sangat tahu kenapa Hareez tiba-tiba menghilangkan diri.

            “Macam nilah, masih bujang and still avaliable.” Hareez angkat bahu dan membuka kedua telapak tangan sambil melabuhkan punggung ke kerusi.

            “Hah! Bujang konon. Macam kau ni, bukan bujang lagi, tapi duda hot.”

            “Eh!”Hareez gelak.Duda hot ke?”

            Shahrul rapatkan badannya ke meja.

            “Kata orang, duda lagi laku dari bujang sekarang ni,” ujar Shahrul seperti berbisik.

            “Patutlah kau tak kahwin-kahwin sampai sekarang ya?” selar Hareez mengundang tawa Shahrul.   

Bagi Shahrul, Hareez adalah sahabat sejati yang paling rapat dengannya. Hareez yang kacak, Hareez yang kasanova, yang mendapat perhatian wanita walau ke mana saja kakinya melangkah. Pakejnya lengkap. Mulutnya sentiasa manis bergula, perempuan manalah yang tak terpikat. Senyumannya saja pun boleh buat mata jadi lupa nak berkelip.
           
Tetapi, Hareez berubah seratus peratus apabila berkahwin dengan Melisa. Sahabatnya itu jadi sangat pendiam dan semakin menjauh dari kawan-kawan. Dunianya hanyalah kerja dan kerja. Kebetulan pada waktu itu Hareez baru menjawat jawatan yang bagus di sebuah syarikat terkemuka di UK dan Melisa pula masih belum menghabiskan pengajiannya.
          
  “Lisa kat mana sekarang?” soal Shahrulsementara tangannya menggamit pelayan untuk membuat pesanan.

“Tolong jangan sebut nama dia depan aku boleh tak?” wajah Hareez berubah serius. Dengar saja nama perempuan itu, dia jadi hilang mood dengan tiba-tiba. Sudahlah semalam mamanya buat drama air mata kerana perempuan itu. Ah! Serabut.
       
     “Eh! Takkan dengar nama pun fobia kot?” Shahrul gelak kuat dengan reaksi Hareez.

Dulu lagi dia pernah berkali-kali menasihati sahabatnya itu agar jangan jadi bodoh untuk memikul tanggungjawab yang tidak sepatutnya dipikul itu kerana dia tahu Hareez tidak bersalah. Dia tahu Melisa memasang perangkap Hareez. Semua orang tahu betapa taksubnya Melisa terhadap sahabatnya yang seorang ini.
       
     Namun begitu, Hareez tetap dengan keputusannya untuk bertanggungjawab. Entah racun apa yang telah Melisa gunakan sehingga otak Hareez jadi tak betul dengan tiba-tiba. Dia bukan tak kenal dengan Melisa kerana mereka belajar di tempat yang sama.

Berada di bumi asing, berapa kerat sangatlah rakyat Malaysia. Kerana itu, mereka secara automatik menjadi akrab. Melisa itu memang cukup pandai berlakon dan memujuk rayu. Kalau Rashid Sibir tengok, tentu diambil sebagai pelakon utama drama arahannya.
       
     “Aku confuse. Kau tiba-tiba hilang tanpa jejak. Lepas tu, Melisa pula menghilangkan diri.” Shahrul masih ingin memanjangkan kisah tentang Melisa. Lama juga dia cuba menjejaki mereka tetapi baru hari ini berjaya menemui Hareez.

Walau saling kenal sejak di zaman asrama penuh dan membesar di negeri yang sama tetapi mereka tidak pula pernah ke rumah masing-masing. Melisa pula, setahunya berasal dari Seremban.
         
   Hareez tidak membalas sebaliknya menyibukkan diri membelek menu dan membuat pesanan. Bercerita tentang Melisa buatkan otaknya semak dan serabut.
         
  “Reez, kalau kau tak selesa aku bertanya tentang Lisa, aku minta maaf,” ucap Shahrul.

Dia jadi bimbang apabila melihat wajah Hareez berubah mendung dengan tiba-tiba. Sejak Hareez berkahwin dengan Melisa, dia perasan sahabatnya ini amat sensitif. Tidak seperti sebelumnya, Hareez yang dia kenal suka mengusik dan suka ketawa.
         
   Hareez senyum. Memang dia tidak selesa tetapi tidaklah sampai marah. Dia tahu, menerima setiap ujian Tuhan dengan hati lapang dan redha, balasannya adalah pahala dan dia ingin mengumpul pahala tersebut.
        
    “Aku tak apa-apa laaaa....” Panjang meleret jawapan Hareez. Dia perasaan juga wajah bimbang sahabatnya itu.

“Cuma.... sebab kami dah tak ada apa-apa, aku tak suka lagi nak bercerita pasal dia,” sambung Hareez lagi.

“Okey!Aku tak sebut lagi pasal dia,” Shahrul angkat kedua tangan seperti orang menyerah kalah.

“Kau pula macamana? Bila nak kahwin? Takkan masih dengan tabiat lama?” Hareez pula menyoal balas.

Setahu dia, Shahrul kalau dengan perempuan macam lampin pakai buang. Hebatnya, sampai boleh bermain cinta dengan tiga perempuan dalam satu masa.

“Eh! Aku dah insaf la bro.” Shahrul gelak-gelak.

“Mmmm..... yer la tu. Kalau Shahrul Rezza dan ‘kaki perempuan’ boleh berpisah, aku rasa papa kau harus buat pulut kuning.”
         
   “Amboiii! Statement, macam nak bersarapan dengan kaki kerusi jer gayanya.”
        
    Hareez gelak kuat. Bicara Shahrul memang tak pernah berubah. Kedengaran agak kasar tetapi hatinya baik.

Sejak dulu, mereka suka cabar mencabar dalam memikat perempuan.Shahrul pantang dicabar kalau bab-bab perempuan. Akan buat macam-macam untuk mendapatkan perhatian perempuan. Anak datuk, poket pun tebal, perempuan mana yang tak suka.
         
   “Kau ingat lagi Fazura?” Shahrul menyoal setelah ketawa Hareez reda.

“Fazura?” Hareez kerut kening.

“Kau jangan buat muka blur macam tu. Fazura Amylia, takkan kau lupa kot.”

“Oh!” Hareez terangguk-angguk.

Mana mungkin dia lupa pada pemilik nama tersebut, gadis kelahiran Johor Bharu, satu negeri dengan Shahrul dan juga dirinya. Gadis yang juga pernah akrab dengan mereka ketika berada di bumi UK dulu. Tapi, setelah dia mengahwini Melisa, Fazura seakan menjauhkan diri darinya.

Apa yang dia dengar dari kawan-kawan, Melisa yang membuat onar dan Fazura terpaksa menjauhkan diri darinya. Tetapi, apabila ditanya tidak pula Melisa mengaku. Ah! Melisa tu, penuh dengan muslihat.

“Dia selalu tanya aku pasal kau.” Lanjut Shahrul

“Apa yang dia nak?” acuh tak acuh Hareez bertanya.

“Aku tak perlu jawab soalan tu pon kau tahu apa dia nak dari kau kan?”

Hareez lepaskan keluhan panjang.Bukan hanya dia tetapi semua teman-teman mereka tahu bahawa Fazura memang ada hati padanya. Memang dulu mereka pernah rapat tetapi tidak sampai menjalinkan hubungan cinta.Tetapi semuanya jadi pincang setelah kemunculan Melisa.

“Dia dah tahu kau dah berpisah dengan Lisa.”

“So!” Hareez angkat kening.

“Maybe dia ingat dia masih ada peluang. Kan aku dah cakap, duda hot!”

“Ceh!”

Mereka sama-sama ketawa. Panggilan duda hot yang Shahrul berikan padanya itu terasa lucu di pendengaran Hareez.

“Kau tak nak cuba dengan dia ke?”

Hareez senyum sambil mengeleng kepala. Kata orang, jangan sesekali cuba untuk membuatkan hati wanita jatuh cinta pada kita seandainya kita belum bersedia untuk menyintai dia. Kesimpulannya, baiklah jangan.

“Kau cakap kat dia, aku dah ada pengganti Lisa,” ujar Hareez kemudiannya.

“Kau serius ke ni?”

Hareez terdiam. Bagaimana untuk dia katakan ya sedang Melisa tak pernah ada di hatinya? Melisa tidak pernah ada dalam agenda hidupnya. Cuma selepas ini kalau ada mana-mana perempuan yang boleh masuk ke hatinya, orang itu bukannya pengganti Melisa tetapi penggati Lya.

Ya! Kalau dia ingin mencari pun, wanita itu mestilah selayaknya seperti Lya atau lebih dari Lya. Jika kurang, dia tidak mahu. Itu yang hatinya demand.

“Fazura tu, betul-betul sukakan kau.” Provok Shahrul. Dia tahu, Hareez tidak serius dengan apa yang diucapkannya tentang pengganti itu. Apa yang dia tahu, Hareez masih sendiri hingga ke saat ini.

“Masalahnya, aku tak sukakan dia.”

Shahrul geleng kepala dengan jawapan Hareez. Tak tahulah Melisa dah guna ubat jenis apa sehingga hati kawannya ini bertukar menjadi batu. Dulu tu, kalau sebut pasal mana-mana perempuan yang cantik lawa seperti Fazura,  Hareez suka aje nak berkirim salam.

Dulu pun, sahabatnya ini sering juga ‘bermain mata’ dengan Fazura sebelum terjebak dengan Melisa. Dia ingat lagi Hareez pernah kata Fazura tu cantik dan lemah lembut. Sebab tu dia suka dekat dengan Fazura. Dah tu, tiba-tiba saja sekarang ni kata tak cantik pulak. Adakah Melisa juga telah berjaya mengubah taste sahabatnya ini?

“Dulu kau pernah kata sukakan dia. Apa salahnya kau beri dia peluang.”Shahrul bersuara lagi dalam usaha ingin menyatukan dua sahabat.

Dia sebenarnya kesian dengan Fazura. Ada rupa, ada harta tetapi masih keseorangan kerana menunggu keajaiban yang Hareez akan muncul di depan matanya. Huh! Sadis sungguh orang yang taksub pada cinta ni.

“Suka tu meluas definasinya Rul. Dan.....” Hareez mendongak memandang Shahrul.

“Aku tak suka nak hidu makanan yang tak kena dengan selera aku. Takut nanti aku terus hilang selera untuk makan.” Penuh simbolik Hareez meluahkan.

Shahrul terus terdiam. Dalam sungguh maknanya. Mungkin benar Hareez telah berubah. Mungkin juga Hareez sedang menyembunyikan rasa kecewanya. Siapa tahu?

“Kalau Fazura yang cantik lawa macam tu pun kau tak berselera, kau cuba cakap kat aku selera kau yang macam mana? Anak Tan Sri tu bro. Harta bapak dia, tujuh keturunan pun tak habis nak makan,” Shahrul sengaja ingin menguji sejauh mana sahabatnya ini telah berubah.

“Aku mahu yang sejuk mata memandang supaya setiap kali aku memandangnya, hati aku akan nyaman dan damai. Aku mahu yang tahu menjaga batas pergaulan dan menutup auratnya supaya dia tidak mengheret aku untuk masuk ke neraka yang panas. Aku mahu yang kaya dengan kasih sayang supaya nanti hidup aku akan penuh dilimpahi kasih dan sayangnya. Aku mahu yang...”

“Cukup! Kalau begitu, kau perlu cari ustazah.”

“Aku tak mahu ustazah sebabnya aku bukan mencari orang untuk mengajar aku tetapi aku mencari isteri untuk disayangi.”

Jika dari rupa paras dan penampilan, Fazura itu lebih cantik dari Lya tetapi seperti yang selalu hatinya kata, cantik saja tidak memberi apa-apa makna. Dia tidak mahu yang cantik luaran kerana semua itu hanyalah topeng yang boleh dibuka bila-bila masa.Dia cuma mahu yang cantik dalaman kerana cantiknya seseorang wanita itu adalah terletak di hatinya, bukan parasnya.

Shahrul terdiam. Pandangannya tepat ke wajah Hareez sebelum mengeleng perlahan.

“Aku sekarang percaya yang kau benar-benar dah berubah,” ucap Shahrul kemudiannya dan Hareez terangguk perlahan.

Benar, dia memang telah lama berubah. Cuma yang Shahrul tidak tahu siapa sebenarnya yang telah betul-betul mengubah dirinya. Nantilah, suatu hari nanti dia akan beritahu Shahrul tentang wanita istimewa itu.