|
DARI tadi dia hanya memerhati tingkah si suami yang sesekejap tersenyum dan
sesekejap berkerut kening memandang skrin handphone.
Sarapan di pinggan hanya sedikit terusik. Leka sungguh dengan telefon di
tangan.
Dari
semalam hingga ke detik ini, dia cuba mencari ruang untuk menyampaikan berita
gembira tentang kehamilannya tapi nampaknya, peluang yang dia ada sangat
terhad.
Apa
taknya, keluar pagi, tengah malam baru pulang.
Bila di rumah pula, si suami lebih banyak tumpukan pada skrin telefon
dari memberi perhatian padanya.
“Abang balik
pukul berapa, semalam?” Aleeya memulakan bicara.
“Hah?” Zariel
angkat wajah. Terkejut mendengar soalan si isteri yang tiba-tiba. Cuba mencari
riak pelik di wajah Aleeya namun, wajah mulus itu hanya biasa-biasa.
Jadinya, dia
anggap soalan itu adalah soalan perihatin seorang isteri.
“Abang balik
sayang dah tidur.” Jawapan lain yang diberi.
“Kenapa tak
kejut?” Aleeya berbasa basi. Sebabnya dia tahu, Kalau dikejutkan pun, bukan
boleh buat apa. Nak bermesra jauh sekali.
“Sayang tidur
lena sangat.” Zariel bangkit.
“Abang....”
Panggilan Aleeya buat langkah Zariel terbantut.
“Hari ni Leeya
nak keluar.”
“Okey.” Cuma itu
jawapan Zariel sebelum berlalu naik ke atas.
Sebegitu mudah?
Aleeya telan liur. Memang dia sengaja umpan suaminya dengan ayat begitu. Mana
tahu kut-kut Zariel akan bertanya lanjut dan sudi menemaninya keluar. Atau
setidaknya Zariel akan bertanya keluar ke mana dan dengan siapa. Tapi,
harapannya hanya tinggal harapan.
Kenapa hatinya
rasa dia bagai tidak lagi wujud di dalam dunia si suami? Dia rasa sendirian di
dunia yang luas ini.
“Abang keluar
dulu.” Tiba-tiba satu ciuman singgah di pipinya dan matanya hanya mampu
memandang langkah Zariel sehingga hilang dari pandangan.
Hari sabtu, setahu dia pejabat Zariel tutup.
Tapi entah sejak bila, setiap hari sabtu ada saja kerja yang mengharuskan si
suaminya itu keluar rumah.
Haruskah dia menyelak kamus curiga? Kata orang,
simpan sedikit ruang di hati untuk dipacak tiang curiga, jangan semuanya
diletakkan kata percaya kerana dalam kasih dan cintanya seorang lelaki, akan
ada ketikanya tersasar dari landasan.
Itu kata orang.
Tapi kata hatinya? Dia tak mahu percaya yang kasih Zariel boleh berubah.
Nafas dihela
berkali-kali sebelum bangkit menuju ke bilik untuk bersiap.
Tak lama selepas
itu, kereta si teman sudah terpacak depan pagar rumahnya. Teman yang dia kenal
sejak di zaman belajar sehinggalah ke alam bekerja. Walau dia sudah berkahwin
dan Diana masih kekal bujang, hubungan mereka masih kekal seperti
sebelumnya.
“Laki kau tahu ke
kau keluar dengan aku ni?” Diana menyoal sebaik keretanya bergerak di jalan
raya.
“Mmmm...” Hanya
itu yang mampu Aleeya jawab. Takkan nak beritahu yang Zariel tak tanya pun dia
nak keluar dengan siapa. Dan kalau sekarang ni dia tergerak hati untuk curang,
keluar dengan lelaki, rasanya Zariel pun tak ambil peduli.
“Dia ada kat
rumah ke?” Diana menyoal lagi.
“Keluar. Ke ofis
katanya.”
“Sabtu pun
kerja?”
Aleeya terus
terdiam. Kalau Diana yang tak ada kena mengena dengan Zariel pun boleh bersoal
begitu, apatah lagi dia sebagai isteri.
“Leeyaaa....Kau
dengan Zariel ada masalah ke?” Soalan Diana memanggil Aleeya berpaling,
memandang sisi wajah si teman yang sedang memandu.
“Kenapa kau tanya macam tu?” Aleeya rasa tak
sedap hati. Pertanyaan Diana kedengaran sangat pelik di telinganya.
“Aku nak cakap
denga kau sesuatu tapi...” Bicara Diana terhenti di situ. Sekilas berpaling pada
Aleeya yang sedang memandangnya.
“Cakap apa?”
Aleeya tidak sabar.
Diana diam
sejenak. Berfikir bagaimana ayat yang sesuai untuk meluahkan.
“Aku nampak
Zariel dengan perempuan yang sama beberapa kali...”
“Kawan kerja dia
kut.” Aleeya memintas. Berpura-pura tak terkesan dengan berita yang Diana
sampaikan sedang hati yang di dalam sudah mula bergelombang.
“Kawan kerja
sampai berpegang tangan dan berpeluk bahu?”
Dup! Jantung
Aleeya bagai jatuh ke kaki. Dia tegak memadang ke depan, tidak berani menoleh
pada Diana. Di hati dia berharap, apa yang terlafaz dari bibir Diana tadi
hanyalah satu omongan kosong. Atau... Diana tersilap orang. Dia sangat berharap
Diana tarik balik apa yang diucapkan tadi.
“Aku bukan nak
menghasut kau. Tapi, jangan jadi bodoh kerana cinta, Leeya.” Setepek ayat si
teman bagai jatuh ke mukanya.
Benarkan dia
sudah menjadi manusia bodoh kerana cinta? Kalau benar begitu, ilmu yang
dituntut sehingga ke menara gading rupanya tidak mampu menandingi satu
perkataan bernama cinta.
‘Ya Allah! jika
benar apa yang diperkatakan Diana, jika benar aku telah diperbodohkan,
tunjukkan kebenarannya.’ Aleeya panjat doa dalam hati.
Selepas itu,
masing-masing diam membisu sehingga tiba di KLCC. Destinasi pertama, repair
iPhone dulu.
Tapi, disebabkan
terpaksa menunggu sehingga satu jam, Diana heret tangannya menuju ke Parkson.
Memang itulah tujuannya ke KLCC, mahu beli pakaian dalam katanya. Macamlah
tempat lain tak boleh beli.
Penat berdiri
menunggu Diana memilih dan mencuba, Aleeya melangkah ke arah tempat duduk yang
disediakan untuk customer yang terletak di tengah laluan berdekatan kaunter
kasut wanita.
Duduk di situ
sambil memerhati gelagak manusia, tiba-tiba dia terdengar suara yang amat dia
kenali datang dari belakang tempat dia duduk.
“Nak beli kasut
ke?”
Dia terus
tergamam.
Kejutan apakah
ini? Bagaimana Zariel tahu dia ada di sini dan sedang memandang ke arah
sepasang kasut yang cantik berhampiran tempat dia duduk.
Kepalanya pantas
berpusing, mahu segera bangkit tapi apa yang dia lihat buatkan pergerakannya
terhenti.
Zariel sedang
memegang kasut wanita sambil ditelek oleh seorang perempuan berambut panjang
dan tangan perempuan itu elok memaut lengan Zariel.
Liur Aleeya
tiba-tiba terasa kesat dan berpasir di kerongkong sendiri. Matanya tidak lepas
memadang Zariel membantu perempuan tersebut mencuba kasut yang dipegang tadi.
Rupanya, layanan
Zariel yang istimewa begitu bukan hanya untuk dirinya seorang. Dan apa yang dia
lihat itu cukup untuk membuatkan sekeping hatinya retak seribu.
Terus matanya
bergenang. Apa lagi yang mahu dia katakan pada hati untuk memujuk? Bolehkah dia
kata yang perempuan itu rakan sekerja si suami? Dan bolehkah dia katakan yang
di KLCC ni tempat kerja si suami?
Itu namanya
membodohkan diri sendiri. Benarlah kata orang, doa orang teraniaya tiada
tapisan. Kerana saat ini, Tuhan telah makbulkan doanya, menunjukkan sebuah
kebenaran.