FOLLOWERS

SELIMUT MALAM 6

**Belanja Bab 6 bagi sesiapa yang tak berkesempatan nak beli bukunya.



****** Bab 6

            S
EDANG lena dibuai mimpi, terasa bahunya digoncang dan namanya dipanggil perlahan. Seolah masih dalam mimpi, ada lelaki yang mengejutkannya.

        "Raimi." Tengah ting tong, nama itu yang tersebut di bibir Dania.

       "Raimi mana pulak ni?"

        Suara Haidar? Pantas Dania buka mata. Betul, Wajah Haidar yang berdiri rapat di  sofa tempat dia terlena.
        Pulang ke rumah dari Alamanda tadi, Haidar terus keluar. Ada hal katanya. Pastilah hal dengan buah hati. Sebabnya, dalam perjalanan tadi, ada panggilan telefon dari Maya. Ingatkan dah tak tahu jalan balik.

        "Kenapa tidur macam ni?" Tangan Haidar sudah menyentuh kakinya.

        "Tengok, kaki pun dah sejuk. Kalau nak tidur tu boleh tak cari selimut?"

        Dania pejam celik mata. Masih mamai. Mengingati apa yang berlaku sebelum dia tertidur di sofa ruang tamu itu.
        Kerana kebosanan, dia baring di sofa sambil baca novel Kekasih Cadangan Hati. Oh! Matanya terus melilau mencari novel tersebut.

        Mana pergi?

        "Cari ni ke?" Haidar tunjuk novel di tangan.

        "Kenapa baca cerita pasal kekasih semua ni?" Soalan ditanya lagi.

        "Raimi tu siapa?" Lagi soalan menerjah masuk ke telinga Dania. Kali ini ada nada cemburu dari suaranya.

        "Raimi tu duda." Jawapan geram Dania berikan dan bangkit berdiri.

        Ya! Duda yang dah hempap muka dia malam tadi. Sambungnya dalam hati sebelum tersenyum.

        Tapi... senyumnya buat Haidar membara. Pantas lengan Dania ditarik kuat. Sehingga terjatuh ke atas ribaannya yang sudah pun melabuhkan punggung ke sofa.

        “Haidar!” Dania terjerit kuat

        “Cakap betul-betul,” tekan Haidar.

        Dari lengan, Tangannya sudah beralih memaut pinggang si isteri. Mendengar nama lelaki yang keluar dari bibir Dania, dia memang tak senang duduk. Apatah lagi bila lelaki itu dikatakan duda.

        “Betullah. Memang dia duda.” Sengaja, memang Dania sengaja mahu melihat reaksi Haidar.

        “Dia tu siapa?” Nada tak puas hati makin menyerlah.

        “Duda.” Dania simpan senyum.

        “Kenapa? You cemburu ke?” Soalan provokasi Dania buat Haidar terdiam. Cemburu tak pernah wujud dalam kamus hidup dia. Itu kata bibirnya. Kata hatinya? Entah!

        Tapi, kenapa dia seperti tak suka? Kenapa hatinya bagai digugat? Sebelum ini, yang selalu dia dengar dari bibir Dania hanya Hijaz. Dania mana pernah rapat dengan lelaki lain selain Hijaz. Dari mana pula datangnya nama Raimi sehingga Dania termimpi?

        “Boleh lepas tak?” Dania cuba leraikan pautan Haidar dan cuba untuk bangkit. Namun Haidar makin mengeratkan pelukannya.

        “Kalau I tak nak lepas?” Jemari Haidar sudah mula bergerak sana sini.

        Dania tepis perlahan dan cuba untuk bangkit. Pun begitu, Haidar lebih bijak. Tubuh di atas ribaannya ditarik rebah ke sofa bersamanya.

        “Haidar!” Tidak bersedia, Dania terjerit kecil.

        “I tak suka you sebut nama lelaki lain.” Nada amaran terbit dari bibir Haidar. Kali ini mata saling bertentang.

        Dania senyum sinis. Mengaku sajalah kata cemburu, kan senang. Haidar dan egonya, tak siapa yang mampu menyangkal.

        “Kalau you sudah berniat untuk melepaskan I, kenapa perlu ada rasa tak suka?” Soalan Dania sekali lagi buat Haidar terdiam tanpa jawapan.

        Ya! Kalau sudah ada perancangan yang ikatan antara mereka akan terputus dalam masa terdekat ini, kenapa Haidar masih mahu mengongkongnya?

        “You fahamkan, maksud tak suka? Atau I perlu beli kamus untuk you?” Ayat sarkastik sudah keluar dari bibir Haidar.

        Haih! Pasal hero novel saja, asalnya hanya mahu main-main saja tapi sekarang sudah menjadi serius.

        “Kenapa tak boleh...” Soalan provokasi yang ingin ditanya Dania terus termati tatkala bibir Haidar melekat di bibirnya.

        “Kan I dah cakap banyak kali, I tak suka you curi-curi ceroboh bibir I macam ni.” Dania ketap bibir geram sebaik Haidar melepaskan bibirnya.

        Haidar tarik senyum.

        “Jom teman I mandi.” Bersahaja seolah apa yang Dania luahkan kata tak suka itu satu nyanyian indah di telinganya.

        “Dah tengah malam Haidar.”

        “Macam tak biasa.” Haidar sudah bangkit dan menarik Dania bangkit bersamanya.

        “I tak ada mood.” Dania menolak dan duduk kembali.

        Memang sejak Maya muncul dalam hidup mereka, moodnya tak pernah mahu muncul tatkala bersama lelaki ini.

        Haidar turut duduk.

        “I boleh pulihkan mood you.” Sengaja menggoda, Haidar berbisik perlahan di telinga si isteri. Rambut Dania yang kusut menutupi separuh wajahnya diselak dan diselit ke tepi telinga.

        Dania baru mahu bergerak bangun, Haidar pula menahan. Wajahnya dipalingkan. Lima jemari Haidar melekat di pipinya dan ibu jari bermain di bibir.

        Nice lips....” Haidar dekatkan wajah, rapat sehingga hujung hidung mereka hampir bertemu.

        Dania pejam mata. Sudah terasa yang rajuknya tidak akan memberi apa-apa makna.

        “And... I want to kiss them?” bisik Haidar lagi dan bibir terus berlabuh di situ. Di tempat yang sering buat dia sasau.

        ‘Dania... you’re such a good kisser yang boleh buat I gila. You’re such a good wife yang boleh buat I tak mampu melangkah jauh.’ Bisik hati Haidar. Bagaimana nanti kalau dia harus melepaskan Dania?

        Relakan, itu yang Dania bisik ke hati, kerana Haidar tidak perlukan jawapannya.

        Dan akhirnya, dia kalah jua. Kalah dengan godaan Haidar. Sesungguhnya, cinta itu memang melenakan. Mampu melupakan dia pada semua perkara kecuali Haidar.


        Rasanya, kalau ditakdirkan ingatannya hilang, nama Haidar dia tak mungkin akan lupa. Begitu sekali kuatnya ‘dadah’ yang Haidar suntik ke tubuhnya.

1 comment:

Sang pecinta bercinta dengan si pemuja cinta said...

Ade lagi ke jual novel ni di pasaran? Tajuk sama jugak ke?