FOLLOWERS

YANG BERNAMA CINTA - Bab 7

DARI arah dapur Hani sudah mendengar Julia menjerit. Sahabat merangkap teman serumahnya itu memang kaki menjerit tak kira waktu. Suara dah la macam tarzan.
      
  “Hani! Rambutan kat dapur tu mana hang ambik?” Mulut penuh dengan rambutan. Sungguh kurang sopan anak dara yang seorang ini.

        “Dari kampung, mak aku kirim.” Hani menjawab tanpa menoleh. Matanya setia menonton siaran National Geographic di Astro .

        “Oh! Siapa yang datang? Adik kau tu ke?” Julia sudah melabuhkan punggung menyertai Hani. Tapi dia bukan menonton pun. Katanya, tak seronok tengok binatang. Cuba dilekatkan muka Zul Arifin pada gajah, mahunya mata dia tak berkelip tengok.

        Hani diam sejenak. Berfikir sebenarnya, sebab tak tahu nak jawab apa. Silap jawab nanti panjang berjela pula karangan yang nak kena karang. Julia ni kalau dikata dia pernah kerja dengan ejen prisik, orang mesti akan percaya.

        “Ha’ah adik datang tapi sekejap jer. Petang dah balik.” Pembohongan yang tidak terancang.
        “Hani, malam ni kita berjemaah tengok DVD Korea nak?”
        “Oh! Tak kuasa, tidur lagi baik,” balas Hani pantas. Memang dia tak kuasa nak melayan drama korea yang berjela tu. Bukan tak minat tapi kalau dah  tengok, susah nak berhenti.
        “Alaaaa...takde teman.”
        Perbualan mereka mati di situ apabila telefon bimbit Hani yang terletak di atas meja kopi bergegar menandakan ada pesanan ringkas.
         
            + Hi...
         
        Cuma itu yang ditulis dari nombor yang tidak dikenali. Tapi, macam dia pernah nampak nombor tu. Segera Hani godek-godek telefonnya mencari senarai pemanggil.
        Sah! Itu nombor Hazril sebab ianya sama dengan nombor yang menelefonnya malam semalam.
        Okey! Save sekejap. Takut terlupa lagi. Tapi, dia tak mahu letak nama Hazril. Kenapa? Sebab dari dulu lagi dia memang alergik dengan nama tu. So, dia letak nama ‘jiran’ sebab lelaki tu kan jiran depan rumahnya di kampung.
                               
+ Hi...dah tidur ke?

        Sekali lagi sms diterima.
             
            - Tak tahu nak bagi salam ke?
             
            + Assalamualaikum... jom keluar sayang. Teman saya dinner.
         
        Hani tarik nafas. Entah sejak bila nama dia dah bertukar jadi sayang. Kalau panggilan tu dibuat ketika dia benar-benar taksub dengan lelaki tersebut, agaknya dia boleh pengsan. Lepas sedar, pengsan balik dan sedar sampai sepuluh kali. Tapi sekarang, dia tak tahu nak gambarkan bagaimana, tak tahu apa yang hatinya rasa.
         
            + Jomlah! Saya belum makan lagi ni. Kasihanilah saya yang jauh dari mak ayah ni. 
         
        SMS diterima lagi.
        Rasa nak tergelak pun ada tapi Hani hanya mencebik. Ada aku kesah! Makan guna mulut sendiri, beli guna duit sendiri dan masuk perut sendiri, tak ada kaitan pun dengan dirinya. So, buat apa dia nak kisah.
         
         
+ Saya dah ada depan pintu rumah awak ni.
         
        SMS yang seterusnya buatkan Hani terloncat bangun.
      
  “Opocot! Mak kau!” Julia melatah kerana terkejut dengan reaksi spontan Hani.
      
  “Apa niiii!!!!”  marah Julia. Badannya sudah bergoyang, geram dengan Hani yang buat dia terkejut begitu.
        Reaksi Julia memang melucukan tetapi Hani sudah tidak berupaya untuk senyum apatah lagi untuk ketawa. Skrin telefon ditenung bagai Hazril ada di dalam telefon tersebut. Bagaimana Hazril tahu rumah dia?
     
   “Hani! Kenapa?” Julia sudah kehairanan melihat tingkah Hani yang pelik. Selalunya kalau dia melatah, Hani akan ketawa tetapi kali ini lain pula.
    
    Tanpa menjawab soalan Julia,  jemari Hani pantas bergerak menyentuh skrin telefon mencari nombor Hazril.
      
  “Kau tipukan?” terjah Hani sebaik telinganya menangkap suara Hazril menyambut panggilan.
   
     “Cuba la buka pintu, baru tahu menipu atau benar.” Suara Hazril cukup tenang tetapi lain pula dengan hati Hani saat itu. Debarannya, usah diceritakan lagi.
     
   “Mana kau tahu rumah aku?” Hani masih tidak ingin percaya tetapi kakinya tetap juga bergerak ke arah pintu. Cuma dia masih teragak-agak untuk membukanya.
     
   “Saya jampi.” Mudah saja jawapan Hazril. Pun begitu, ianya tidaklah semudah jawapannya. Terbayang kembali bagaimana sukarnya untuk mendapat kepercayaan Azrul bagi mendapatkan alamat kakak kesayangannya itu.
        ‘Abang jangan cakap saya yang beritahu tau. Nanti masak saya kena salai dengan akak.’ Itulah pesanan Azrul.
   
    Hazril senyum, sabar dan masih setia menunggu di depan pintu apartment yang alamatnya diberikan oleh Azrul tadi. Entah kenapa, dia boleh buat kerja segila itu. Kerja yang tidak pernah terlintas untuk dia lakukan tetapi saat ini, dia telah lakukannya.
   
     Namun, dia rasa bahagia. Rasa itu makin bertambah apabila tiba-tiba pintu rumah terbuka dan wajah Hani tanpa bertudung muncul di situ.
      
  “Arrrgghhh!!!” Hani terjerit kuat. Pintu terus ditutup kembali dan dia berpusing menyandar ke dinding di tepi pintu.
     
   “Kenapa Hani?” Soal Julia. Dia jadi makin pelik dengan tingkah Hani yang tiba-tiba menjerit dan bersandar ke dinding sambil mengurut dada sendiri.
   
     Rasa ingin tahu mendorong Julia menguak daun pintu dan kali ini dia pula yang terkejut melihat lembaga manusia yang berdiri di depan pintu grill sambil menghulurkan senyuman manis. Oh! Sebelum dia tergoda melihat senyuman itu, pandangannya segera dialihkan pandangan ke arah Hani yang masih berdiri di tepi dinding tersebut.
        “Siapa yang tersesat datang rumah kita ni? Artis ke?” Terus Julia berbisik ke telinga Hani yang masih kaku di tepi dinding. Sengaja ingin mengusik sebenarnya.
        “Artis hotak hang!” nada berbisik juga Hani menyergah Julia.
        Handsome sangat.” Julia menyengih,  Hani pula mencebik. Tapi, kenyataannya memang betul pun.
        “Ya? Encik cari siapa?” sopan Julia bertanya. Perhatiannya sudah beralih ke arah lelaki kacak yang masih berdiri di tempat yang sama.
        “Hani Suraya.” Jawab si lelaki.
        “Oh! Sekejap, dia tengah test jantung.” Julia jeling ke arah Hani sambil menahan tawa.
        “Nak masuk ke?” sengaja dia ‘membakar’ Hani dengan berpura-pura bertanya soalan tak logik pada lelaki tersebut. Sebenarnya, rumah mereka memang tak dibenarkan lelaki masuk kecuali ayah dan adik beradik penghuni.
        “Heh! Hang dah gila ke? Sudah! Pergi sana, biar aku uruskan lelaki ni.” Seperti yang dijangka, Hani terus meletup.
        Pantas Hani bergerak masuk ke bilik, tudung dipakai dan muka di belek seketika di cermin sebelum bergerak keluar.
       
Julia sudah mengekek ketawa melihat Hani yang serba tak kena itu. Pun begitu, hatinya tetap tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki kacak di luar sana sehingga mampu membuatkan sahabatnya yang seorang ini menggelabah mengalahkan tikus ternampak kucing.
      
   “Kau nak apa?” Kasar Hani bertanya sebaik berdepan dengan Hazril. Mereka kini hanya dipisahkan oleh pintu grill yang masih berkunci.
     
   “Garang semacam jer?”  Hazril senyum. Sebelah tangannya di dalam poket dan sebelah lagi berpeluk tubuh.

        Hani tarik nafas. Pandangannya dikalihkan ke tempat lain. Dari dulu sehingga kini, Hazril tidak pernah tidak nampak menggoda di matanya. Oh! Tolonglah, dia tidak ingin membiarkan hatinya hanyut lagi.

        “Keluar jap, Jom!” lembut suara Hazril buatkan Hani rasa macam ada air mencurah di atas kepalanya. Sekali lagi, dia tarik nafas yang panjang. Hati, sila bertenang. Godaan ini hanya berbentuk sementara.

        “Hazril...” Bicara Hani terhenti tatkala matanya menangkap bayangan dua orang teman serumah, Yatie Pian dan juga Norlia yang baru pulang, melenggok perlahan menghampiri pintu rumah.
        “Kak.” Yatie menegur dan Hani senyum menyambut teguran. Mereka ni balik kerja terus bershopping. Entah apa yang dibeli dengan paper bag bergayut di tangan. Mentang-mentang baru dapat gaji.
        Pintu grill dibuka oleh Yatie. Hani melangkah keluar, memberi ruang untuk Yatie dan Lia masuk. Selepas bayangan mereka berdua menghilang di balik pintu, Hani ingin melangkah masuk tetapi Hazril dengan pantas menghalang dengan tangannya.
        Dan...waktu terasa terhenti apabila tangan Hazril yang menghalang itu tepat mengena dadanya. Telapak tangan Hazril tepat-tepat melekat pada dada kirinya. Oh! Sesuatu yang dia jaga dengan rapi selama ini sudah di ‘cabuli’ oleh tangan Hazril. Walau berlapik, dia rasa macam nak pitam.
      
  Arrrgghhh.... Hani seperti ingin menjerit dan bertempik tetapi saat itu dia seperti sudah koma, mampu melihat dan merasa tetapi tidak mampu bersuara.
   
     Hazril pula bagai terkaku. Sungguh! Dia tidak sengaja tetapi ‘kemalangan’ ini bagai satu anugerah bernilai jutaan ringgit. Ada duit sejuta pun belum tentu dia dapat sentuh dengan kerelaan Hani. Dia sangat pasti tentang itu.
      
  “Baik kau alihkan tangan kau atau malam ni kau balik dengan hanya satu tangan!”  Baru Hani mampu bersuara. Dia malu dan geram sungguh dengan Hazril. Kalau boleh telan manusia, dia memang dah telan Hazril hidup-hidup tanpa menunggu walau sedetik.
   
     Suara Hani menyedarkan Hazril yang tangannya masih melekat di tempat sensitif milik wanita itu. Dia senyum segaris sambil perlahan menurunkan tangannya.
        Sorry!”

        Arrrgghhhh!!!!... rasa nak marah orang, nak cekik orang dan nak bunuh orang. Sebelum Hazril jadi mangsa pembunuhan kejam, baiklah dia masuk dalam rumah dengan kadar segera.

Yang Bernama Cinta - Bab 6

PAGI yang indah tetapi perasaan Hani tidak seindah cuaca pagi itu. Perbualan dengan Azrul bercampur dengan panggilan dari Hazril malam tadi benar-benar buatkan tidurnya terganggu. Ditambah pula dengan panggilan dari Mr Gary, Operation Manager yang mahu datang ke cawangan Bandar Utama hari itu.
    
    Hani mengeluh berat. Jangan tak tahu, OM si mulut tak pandai nak diam tu kalau datang, maknanya hari itu dia harus bersedia untuk balik kerja lewat. Dia juga harus menyediakan dua gumpal kapas untuk menyumbat telinga.

        Sebabnya, setiap kali lelaki bujang terlajak tu datang, komennya kalau ditulis tak cukup lima helai kertas kajang. Setiap kali datang ke situ, migrain Hani juga akan datang bersamanya. Kalau dah mula bercakap, memang susah sangat nak stop.

        Kadangkala Hani terfikir, alangkah bagusnya kalau lelaki itu dicipta bersama suis di badan, boleh tekan butang off  bila dah tak tahan nak dengar dia bercakap. Agaknya, sebab itulah sampai sekarang tak kahwin-kahwin, cerewetnya mengalahkan perempuan.

        “Cik Hani, Mr Gary dah sampai.” Suara Liyana, salah seorang pekerja di bahagian Servis Kaunter kedengaran melalui corong interkom.

        Okey! Thanks.” Hani bangkit dan melangkah keluar dari bilik pejabatnya, bergerak ke arah pintu utama pejabat untuk menyambut kedatangan si bujang terlajak berkepala botak tu.

        Tiba di pintu utama pejabat, wajah Mr Gary sudah menyapa mata Hani. Apa yang mengejutkan Hani, si kepala botak itu bukan datang sendirian, tetapi datang bersama tiga lagi manusia lain yang Hani tak kenal.

        Sekejap! Betul ke dia tak kenal? Rasa macam salah seorang yang terdiri dari dua lelaki dan seorang perempuan itu memang Hani kenal. Hazril!

        Oh, ini ke kenyataan ‘jumpa esok’ yang Hazril ucapkan semalam melalui telefon tu?

        Gulp! Tiba-tiba Hani rasa macam nak pitam. Kenapa Hazril ada bersama rombongan Mr Gary? Berpakaian formal siap bertali leher bagai sehingga Hani hampir tidak mengenalinya.

        Kalau bukan kerana senyuman yang dihulurkan, sumpah memang Hani tak perasan orang itu ialah Hazril, jiran sekampung depan rumah yang banyak membuat onar pada seluruh ruang rasa di hatinya. Apatah lagi saat ini Hazril kelihatan kacak sekali dengan kemeja putih bersama slack hitam dan juga tali leher kelabu.

        “Hani, I bawa tiga orang Management Trainee yang akan diletakkan di bawah you bermula hari ini selama tiga bulan.” Penjelasan Mr Gary buatkan Hani rasa nak letak jawatan dua puluh empat jam saat itu juga.

        OMG! Bala apa ni? Tiga bulan bersama Hazril, hari-hari memandang muka lelaki itu dan setiap hari harus berkomunikasi untuk memberi tunjuk ajar, Hani rasa dia mungkin akan memerlukan pakar sakit jiwa sebelum tempoh tersebut tamat.

        “Maria Hanim, panggil Ria.” Satu-satunya perempuan antara mereka memperkenalkan diri sambil menghulur salam.

        “Saya,  Hazril. boleh panggil apa-apa aje.” Hazril pula memperkenalkan diri sambil menundukkan sedikit kepalanya.  Dia memang tahu kalau dihulurkan tangan pun memang Hani takkan menyambutnya.

        Riak wajah Hazril sangat bersahaja seolah mereka tidak pernah kenal. Tak mengapa, tunggulah saat dan ketikanya bila ada peluang, Hani akan gulaikan Hazril cukup-cukup.

        Tapi, boleh ke? Takut dia pula yang dijadikan hidangan masak lemak cili api oleh Hazril nanti.

        “Saya Firdaus, panggil Daus.” Yang terakhir mengenalkan diri.

        Selepas sesi perkenalan, mereka bergerak menuju ke bilik pejabat Hani. Di situ, Mr Gary menjelaskan apa yang Hani perlu buat. Sebagai Pengurus cawangan di situ, Hani bertanggungjawab memantau prestasi mereka.

        Setiap komen yang  Hani berikan nanti akan menentukan mereka layak atau tidak untuk diserap ke bahagian Pengurusan. Oh! Ini tak lain dan tak bukan sengaja nak menambahkan kerjanya yang sudah terlalu banyak.

        Dua minggu sekali kena bagi report melalui email ke Human Resource tentang prestasi mereka. Itu tak mengapa, sebab Hani rasa dia boleh aje goreng sana sini. Tapi yang tak bestnya, mereka bertiga juga harus menulis report tentang apa yang dipelajari dan dihantar ke HQ juga dua minggu sekali.

        Kalau macam tu, bagaimana dia nak gulai Hazril. Mahunya si Hazril tu tulis yang bukan-bukan, dia pula yang kena menjawab.

        “Kalau ada apa-apa masalah, boleh rujuk pada Cik Hani ni. Dia ada banyak pengalaman kat sini,” ujar Mr Gary menamatkan sesi penerangannya.

        Sepanjang  tempoh tersebut, Hani resah sendiri. Renungan Hazril seolah sedang menghantar gelombang luar biasa di hatinya.

        Sungguh... kalau disuruh memilih untuk duduk di situ dan menjadi bahan tenungan Hazril atau lompat katak keliling padang bola, dia lagi sanggup memilih untuk lompat katak. Kenapa? Sebab renungan Hazril boleh buatkan dia mendapat serangan jantung.

        Nasib baik juga sesi tersebut cepat berakhir. Tidaklah dia mati di situ akibat sakit jantung. Kalau lagi lama, haruslah selepas balik dia kena ke klinik untuk mendapatkan suntikan penenang.

        Selepas itu Hani diajak untuk mengiringi mereka melawat seluruh kawasan yang luasnya lebih kurang 1200 sqft. termasuk surau, kantin, loker staf dan juga store menyimpan barang.

        Aduhhh... penat sungguh. Selepas Mr Gary meminta diri untuk pulang, Hani berehat seketika di biliknya. Sesi orentasi telah mengambil banyak masanya sehingga waktu makan pun dah terlewat sangat-sangat. Mr Gary ni kalau kerja, makan minum dia dah lupa. Apa dia ingat orang lain perut sama macam dia. Hani sudah membebel sendiri.

        Saat itulah, Hani lihat Hazril datang mengetuk pintu biliknya. Pintu yang separuh cermin itu membolehkan dia nampak siapa yang berada di luar bilik.

        Apa lagi la yang mamat ni nak? Tadi dia tinggalkan Hazril bersama dua orang lagi Management Trainee pada Ganesh, penolong Pengurus di situ.

        Sebelum sempat Hani melarang atau menjemput, Hazril dengan bersahajanya menguak daun pintu dan melangkah masuk.

        “Siapa suruh masuk?” tegas Hani bersuara. Geram melihat keselambaan Hazril. Sebelum  ni, mana ada staf yang berani suka-suka masuk bilik pejabat dia tanpa mendengar dia memanggil masuk.

        “Tak usah tunjuk garanglah sayang.... tak takut pun.” Masih selamba, Hazril melabuhkan punggung di depan meja Hani.

        Gulp! Hani rasa liurnya bagai tersangkut di kerongkong. SAYANG!!! Dia panggil sayang ke tadi? Ke telinganya yang salah dengar?

        “Kau panggil aku apa tadi?” Hani kerut kening.

        “Sayang.” Jawapan Hazril cukup selamba, seolah nama Hani tu memang orang lain juga sebut sayang.

        Oh! Betul-betul selamba badak. Bukan badak saja, boleh panggil selamba dugong juga.

        “Kalau kau lupa, aku nak ingatkan. Sekarang ni kau staf yang berada di bawah seliaan aku dan tolong hormat sikit....”

        “Saya tak lupa itu. Tapi sekarang ni kan waktu rehat. So, tak payah formal sangatkan?”

        “Apa tujuan kau sebenarnya?” Hani mula naik angin.

        Hazril angkat kening.

         “Belajar engineering sampai ke luar negara, takkan nak kerja tempat macam ni kalau tak ada apa-apa sebab?”

        “Kenapa? Hina ke kerja macam ni? Kalau hina, kenapa awak pilih kerja ni sampai bertahan lebih enam tahun?” soalan balas Hazril terus membisukan Hani.

        Tak! Memang tak hina. Tapi, bukan semua orang terpelajar seperti Hazril sanggup habiskan masa bekerja tempat begini. Dengan waktu kerja yang panjang dan terlalu banyak tekanan, orang yang punya banyak pilihan tidak akan memilih di sini.

        Dia bertahan di sini sebab dia lain. Dia suka dengan kesibukan kerana kerja yang banyak akan membantu dia melupakan semua rasa sakit yang berselerak di hatinya. Kesibukan di sini dan telatah manusia yang datang membeli belah boleh menghiburkan hatinya. Dengan itu, dia tidak punya banyak masa untuk melayan rasa.

        “Tapi...memang ada sebabnya kenapa saya pilih untuk berada di sini. In fact, saya dapat offer yang 10 kali ganda lebih menarik tetapi saya memilih di sini.” Hazril hentikan bicaranya di situ. Mata tunak memandang Hani.

        “Kenapa? Nanti awak akan tahu jawapannya,” sambungnya dan bangkit untuk beredar. Namun, matanya tidak lepas dari memandang seraut wajah milik Hani.

        Sungguh... pertama kali melihat Hani di rumahnya setelah sepuluh tahun tidak bertemu, hatinya bagai tergolek ke lantai. Dan saat ini, melihat Hani dalam pakaian formal dengan kemeja lengan panjang warna soft pink dipadankan bersama slack coklat, jantungnya pula yang tergolek jatuh.

        Paling dia suka ialah mata Hani yang nampak sangat cantik dengan gaya solekan smokey eye warna pink coklat. Kalau tanpa make-up pun Hani sudah begitu cantik di matanya, inikan pula dengan gaya elegan tokoh korporat begini. Makinlah matanya susah untuk beralih pandang.

        “Oh! Sebelum terlupa, balik nanti tunggu saya. Rambutan ada kat kereta. Mak cik kirim untuk anak kesayangannya yang dah lama tak balik kampung.” Dalam berpesan, sempat lagi Hazril menyindir.

        Hani hanya mampu menghantar pemergian Hazril dengan rasa hati yang berbaur. Kenapa dengan Hazril perasaannya akan jadi macam-macam? Rupanya, sukar sekali untuk berlagak tenang di depan orang yang pernah ‘mencuri’ hati kita.

        Sepanjang hari otaknya berfikir tanpa henti. Kenapa ya, Hazril sanggup menolak tawaran yang sepuluh kali ganda lebih baik dan memilih untuk berada di sini? Pun begitu, otaknya tidak berupaya memberi jawapan. Usahkan jawapan pasti, sikit klu pun dia tidak nampak.

        Ketika melangkah untuk pulang petang itu, Hani memang sudah lupa pesanan Hazril. Sepetang itu dia langsung tidak nampak bayang lelaki tersebut. Mungkin sibuk di mana-mana bahagian yang sedang memberi tunjuk ajar. Hani pula sibuk di pejabat menyediakan report yang tergendala. Otaknya sudah penuh dengan macam-macam, mana nak ingat benda-benda begitu.

        Melangkah keluar melalui pintu belakang menuju ke lif, langkah Hani terhenti tatkala matanya terpandangkan Hazril yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh di tepi lif. Lagaknya seolah sedang menanti seseorang.

        Beberapa detik kemudian, Hani kembali meneruskan langkah. Butang lif di tekan tanpa menegur Hazril di situ.
        Hazril juga begitu, hanya memandang tingkah Hani tanpa sepatah kata.

        Sebaik lif berhenti, Hani terus melangkah masuk dan Hazril juga turut menempatkan diri ke dalam perut lif tersebut. Ada lagi tiga penumpang lain yang turut berkongsi lif yang sama membuatkan Hani terasa selamat.

        Tiba di level 5, Hani cepat-cepat keluar tanpa menoleh ke belakang. Doanya di dalam hati agar Hazril tidak memarkir kereta di level yang sama. Namun, baru beberapa langkah kakinya menapak, tangannya dipaut dan ditarik

        “Hey!” Hani terkejut.

        “Kereta saya hala ke sana,” tunjuk Hazril sambil menarik tangan Hani mengikut langkahnya.

        Wah! Lagak Hazril buat hati Hani benar-benar terbakar. Bahan bakarnya cukup kuat sehingga dalam sekelip mata saja sudah menjadi rentung.

        Stop it! hazril.” Hani menjerit dan jeritannya mengundang banyak mata yang ada di kawasan situ memandang ke arah mereka termasuklah pengawal keselamatan.

        Oh! Hani tiba-tiba rasa malu. Ramai di antara mereka memang dia kenal termasuklah pengawal keselamatan yang bertugas di ruang parkir tersebut. Enam tahun ‘bertapa’ di situ, kebanyakan tuan punya butik dan gedung yang beroperasi di bangunan tersebut memang mengenalinya.

         Mengelak dari keadaan bertambah rumit, Hani hulurkan senyuman pada pengawal keselamatan yang sedang memandang ke arah mereka sambil angkat tangan tanda menegur.

        “Hazril pleaseee... tolong lepaskan lengan aku.” Hani pandang tangan Hazril yang masih melekat di lengannya.

        “Tak luak kan? Lagi pun, masih berlapik.” Ada saja jawapan yang menyakitkan hati dari mulut Hazril. Memang berlapik sebab hari itu dia memakai kemeja lengan panjang.

        “Walau berlapik pun, aku tetap tak suka.” Berbalas cakap tetapi Hani tetap juga melangkah mengikut Hazril kerana ditarik oleh lelaki itu.

        Sekali tengok memang mereka seperti sedang berjalan selari sambil berpegangan tangan tetapi hakikatnya, Hani terpaksa menurut. Kalau tak,  dia tak sanggup untuk memikirkan apa yang Hazril akan lakukan. Takut pula terjadi adengan tarik menarik seperti kes culik dan rogol.

        Tiba di kereta, Hazril memaksa pula Hani masuk ke dalam keretanya di sebelah penumpang sebelum dia bergerak masuk di tempat pemandu.

        “Kereta park kat mana?” soal Hazril, seolah apa yang dia buat sekejap tadi langsung tidak bersalah.

        “Aku cuba untuk memahami apa sebenarnya yang kau cuba nak lakukan tetapi serius, aku memang tak faham.” Hani berpaling ke arah Hazril dan saat yang sama lelaki itu juga berpaling memandangnya. Seketika mata mereka saling berbicara dan tubuh mereka menghantar gelombang rasa yang sangat pelik.

        “Kereta boleh tinggal sini tak? Saya hantar awak balik. Esok saya jemput, kita datang sama-sama.” Lembut tonasi suara Hazril buatkan rentak jantung Hani berubah irama.

        No! tak boleh.” Hani menolak.

        “Saya ikut belakang awak. Kereta park kat mana? Saya hantar awak ke kereta.”

        “Tak payah susah-susah.  Kau bagi jer rambutan tu. Mak bukan kirim sekebun kan? Kereta aku muat kalau setakat nak isi lima bakul tu.”

        Hazril tarik nafas. Ya! memang muat tetapi dia sedang mencari helah untuk mengetahui lokasi rumah Hani. Nampaknya, kali ini dia harus mengalah. Takpe Hazril, masa panjang lagi. Tiga bulan tu rasanya cukup panjang untuk belajar menjadi pencuri. Kerana misinya ke sini adalah untuk mencuri hati Hani.


        Tanpa Hazril sedari dan memangnya dia tidak tahu yang sebenarnya wanita anggun dan cantik bergaya di sebelahnya itu sudah lama hidup tanpa hati. Dia tidak tahu yang sebenarnya dia telah lama curi hati Hani tanpa sengaja.