FOLLOWERS

YANG LUAR BIASA - Part 7

Yang luar biasa, lunchnya sampai ke Concorde Shah Alam. Tapi Arissa ikut saja, diam tak membantah. Kata Zhariz, lunch sambil jumpa kawan dia untuk bincang tentang bisnes.

Beberapa ketika duduk sambil menunggu pesanan sampai, tiba-tiba Zhariz bangkit dan melambai sambil menjerit nama seseorang. Isk! Main jerit-jerit pulak, dah rupa macam hotel ni dia yang punya.

Arissa berpaling, mahu melihat gerangan manusia yang digamit Zhariz. Dan… matanya tiba-tiba tak pandai berkelip. OMG! Mamat tolak pintu laju. Betul ke? Sungguh ke? Atau mata dia sedang menipu?

“Kenalkan, Haraz Iskandar.”

Ohmaiii…memang betul dia. Arissa rasa nak menyorok dalam baju. Tapi sebab baju dia dah ngam-ngam dengan ukuran badan, tak bolehlah nak buat gaya hantu tak ada kepala. Tapi melampau tak kalau dia tarik langsir hotel yang cantik tu untuk bungkus kepala dan badan sekali?

Dek kerana sibuk nak menyorok, suara Zhariz memperkenalkan lelaki itu pun tenggelam timbul saja di telinga Arissa. Yang dia dengar nama lelaki itu Haraz Iskandar.

“Adik Yana ke?” soal Haraz seperti terkejut apabila Zhariz memperkenalkan Arissa sebagai sepupunya.

Dalam serba salah, Zhariz angguk kepala.

“Hai!Nice meeting you.” Haraz hulurkan salam perkenalan. Wah! Suara husky, sungguh seksi di telinga Arissa. Kenapa masa berlanggar hari tu tak perasan ya?Agaknya sebab sibuk menahan sakit dan marah.

“Hai!” tak terluah kata-kata dari bibir Arissa untuk membalas. Harap-harap lelaki ini tak ingat, harap-harap dah lupa. Mudah-mudahan lelaki ni hilang ingatan.

Haraz mengambil tempat bertentang dengan Arissa. Isk! Meja ni ada empat kerusi, kenapa pilih depan, tak pilih tepi sebelah kanan berdepan dengan Zhariz?

Arissa hanya menunduk, buat-buat sibuk mengacau hot chocolate dalam cawan.

“Bakal adik ipar kau ni masih single ke?” soalan direct dari Haraz itu memanggil Arissa mendongakkan wajah dan senyuman senget dari bibir seksi lelaki itu buat jantungnya histeria sesaat. Seksi dan menggoda!

Zhariz toleh pandang pada Arissa di sebelahnya sebelum mengalihkan pandangan pada si teman yang sedang merenung si sepupu. Komunikasi senyap dua manusia di sisinya ini menimbulkan curiga di hatinya. Mereka sudah saling kenal ke?

“Kalau single pun, aku akan warning dia jangan layan kau.” Bersahaja tetapi ada nada kurang selesa dari Zhariz.

“Aik! Kenapa pula? Tak teringin nak jadi biras aku ke?” Haraz gelak perlahan.

Oh! Gelaknya pun menggoda anak telinga. Tolonglah Arissa, kenapa suka sangat nak jatuh suka pada lelaki yang dah berpunya ni?

“Kasanova dengan perempuan keliling pinggang macam kau, rasanya tak ngam dengan family aku.”

“Tapi, aku rasa aku suka dia. Dan… kalau dia pun suka aku, kau tak boleh nak halang kan?”

Hah! Arissa panggung kepala dan Haraz kenyit mata. Oh! Mana nak cari balang oksigen? Dia rasa sesak nafas dengan tiba-tiba.

Saat yang sama, telefon Zhariz berdering minta diangkat. Dia ni la, telefon non-stop dua puluh empat jam.

Zhariz berdiri dengan isyarat meminta diri menjawab panggilan. Mesti panggilan peribadi. Kalau panggilan bisnes, takkan nak pergi jauh-jauh untuk menjawabnya. Tiba-tiba Arissa jadi hilang mood.

Lama dia memerhati Zhariz dengan ekor mata. Masa yang sama dia perasan Haraz sedang merenungnya.

“Kenapa pandang I macam tu?” sergah Arissa.

“Sajaaaa….you nampak elegant bila pakai formal macam ni. Hari tu pakai Tshirt sendat dengan skirt pendek, nampak macam pom pom girl.” Haraz senyum meleret.

Cis! Dia ingat. Dia tak lupa rupanya. Tapi mulut dia memang nak kena beli insuran harga dua juta sebab sangat-sangat tak bertapis. Ada ke patut cantik manis macam ni dikatakan pom pom girl. Sungguh tak boleh diterima akal.

“Tapi peristiwa hari tu buat I selalu termimpikan you. Rasa macam mata I dah mencabuli you.”

Arrrggghhh!!! Memang betul-betul mulut cabul. Arissa jeling geram. Geram sungguh sungguh!

“Boleh tak jangan cakap benda mengarut?”

“Tak boleh!” Haraz gelak lagi. Suara huskynya buat anak telinga Arissa terlompat suka.

“You pernah makan pasu bunga macam ni tak?” soal Arissa sambil  menunjuk ke arah pasu bunga kristal yang terdapat di atas meja.

Gelak Haraz makin kuat.

You know what?” Haraz rapatkan badan ke meja agar kedudukan lebih rapat dengan Arissa.

You make me forget how to breathe.” Haraz sengaja menggoda.

“Nak I panggilkan doktor tak?  Buat check up,” balas Arissa pura-pura bersahaja. Walhal dalam dada dah dup dap! Duhai hati, jangan sesekali kau tergoda!

Haraz sambung gelak buat hati Arissa makin tak tenteram.

“Hati I kata….I like you.”

Arissa tak tahu nak balas apa. Lelaki ni datang dari planet mana sebenarnya? Baru dua kali jumpa, terus cakap dah suka. Bukan dia tak pernah kena goda begini. Malah ketika di luar negara dulu, selalu pun kena goda. Usahlah orang lain, Adam sendiri pun tiap hari menggodanya. Cuma hatinya langsung tak terusik. Tapi, kenapa dengan lelaki ini, hatinya seperti jelly yang terlebih air? Bergetar walau terkena tiupan angin.

Nasib baiklah waktu itu Zhariz sudah menamatkan perbualan dan kembali duduk. Seketika kemudian, makanan yang dipesan pun tiba dan mereka terus makan sambil bercerita.Yang bercerita sebenarnya hanya Zhariz dan Haraz. Arissa hanya diam mendengar.

Dari cerita tersebut, Arissa faham yang Haraz sedang mencari company yang boleh menguruskan pembinaan projek villa kepunyaannya di atas tanah seluas 4 hektar. Fuh! Bapak besar. Kaya gila. Umur masih muda. Bisnes apa dia ni?

“So, confirm aku nak bagi ZNZ uruskan projek Villa Cinta tu dan aku nak cik adik manis ni yang uruskan.” Tiba-tiba Haraz buat keputusan.

“Dia masih baru Razz,” bantah Zhariz, memandang sekilas ke arah Arissa yang masih membatu sejak tadi.
“Tak kisah. Aku nak semua ikut citarasa dia. Sebab nanti kalau ada jodoh, aku dan dia yang akan tinggal kat situ.” Haraz senyum meleret sambil melirik ke wajah Arissa.

“Kami selalu tak ambil projek kecik Razz.” Zhariz cuba mencari helah.

“Kau tengok dulu ukuran tanahnya dan baru kau decide kecik ke besar.”

Zhariz geleng kepala. Tak tahu nak bagi alasan apa. Sebenarnya, dia tak suka Arissa terlibat dengan apa jua urusan dengan lelaki ini. Entah kenapa dia rasa tergugat.

“Aku sanggup bayar berapa saja. Just name the price.”

Zhariz mati kata untuk memberi helah.

“Okey! Aku blah dulu. Kena attend meeting kejap lagi. Hari ni aku belanja.” Haraz bangkit berdiri. Wallet di poket belakang seluar ditarik. Sekeping kad nama dikeluarkan dan dihulurkan pada Arissa.

Just in case you miss my voice…call me.” Mata dikenyit nakal. Selamba! Zhariz yang memandang hanya mampu mengeleng kepala. Pesaing yang akan menggugatnya dan dia takkan mengaku kalah dengan mudah. 

“Jangan layan dia.” Tegas suara Zhariz tatkala melihat Arissa leka membelek namecard di tangan setelah Haraz menghilang.

“Kenapa?” Spontan soalan tersebut keluar dari bibir Arissa.

“Boleh tak kalau tak tanya kenapa pada setiap arahan abang.”

“Tak boleh!”

Zhariz mendengus perlahan dan terus bangkit berdiri. Moodnya sudah hilang dan dia tak berminat untuk berbalas cakap.

Di dalam kereta kembali ke pejabat, Zhariz tetap diam. Tak berani nak cakap apa-apa, Arissa juga turut diam sehinggalah sampai di lobi ZNZ Holding.

“Terus masuk bilik abang dulu, nak tunjuk contoh projek macam tu.” Mendatar tanpa nada Zhariz memberi arahan. Malas nak cari pasal, Arissa ikut saja langkah kaki lelaki itu.

Sampai di bilik, Zhariz terus menekan butang interkom di atas mejanya dan memberi arahan pada Anita, Project Manager di situ agar menghantar beberapa fail yang diingini ke biliknya.

Sementara menunggu Anita tiba, Zhariz sibukkan diri dengan dokumen yang bertimbun di atas meja. Arissa yang duduk di depannya macam tak wujud. Telefon bimbit yang berdering empat lima kali dia buat-buat tak dengar. Benar… Cara Haraz goda Arissa buat moodnya langsung hilang. Rasa nak marah semua orang.

Lama menunggu, Anita tidak juga muncul. Arissa pula yang naik gelisah.Apa taknya, dia di situ macam makhluk asing yang tak nampak di mata Zhariz.

Ketika Arissa berniat untuk meminta diri, pintu bilik  tiba-tiba dirempuh dari luar. Dan… melihat manusia yang muncul di depan pintu tersebut buat ruang yang besar itu bagai kekurangan oksigen.

“Boss… I dah cuba cakap tapi…” Bicara Sasimala, cik setiausaha Zhariz terhenti sebaik lelaki itu mengangkat tangan tanda berhenti.

It’s okey.You boleh keluar,” ujar Zhariz mengisyaratkan agar setiausahanya keluar.

Zhariz tarik nafas panjang, mengawal rasa yang bergelumang di dada. Sikap Ryana yang paling dia tak suka, main redah ikut suka saja. Tahu la syarikat ni milik keluarga mereka tapi takkan tak boleh nak respect orang lain. Langsung tak ada tatasusila. Agaknya sekolah dulu tak belajar sivik.

Darlingg….. I call you banyak kali, tapi tak angkat. Tak return call.” Dengan riak selamba tanpa ada rasa bersalah, Ryana sudah melangkah mendekati Zhariz yang masih berdiri tegak di depan mejanya.

“I tengah busy.” jawab Zhariz senada.

“Sibuk sangat ke sampai tak ada masa nak return call I.” Ryana sudah memuncung.

Zhariz hela nafas panjang. Kadang-kadang tengok muka Ryana saja boleh buat dia stres belum lagi nak layan kerenahnya.

“Okey! You cari I ni kenapa?”

“Eh! Nak cari tunang sendiri pun tak boleh ke?” soalan bernada sinis dari Ryana membalas soalan Zhariz.Arissa yang masih berada di situ jadi serba salah pula.

“Yanaa..sekarang kan waktu kerja.”

“I tak peduli. Bukan company orang lain, company bapa sendiri. Nanti pun akan jadi company kita juga kan? Siapa yang berani nak marah?” dijeling Arissa sekilas.

“Kau buat apa lagi kat sini? Blahlah!!”

“Yanaaa!!! You tak berhak halau Rissa keluar dari sini. Ni pejabat I dan sekarang waktu kerja. Kami sedang bekerja,” tegas Zhariz. Wajah Arissa yang sudah berubah dipandang menghantar isyarat senyap, jangan-peduli-apa-dia-cakap.

“Kerja apa? BUAT DRAMA??” selar Ryana.

“Apa yang tak kena ni Yana??” tone suara Zhariz dah naik setakuk.

Arissa bangkit berdiri.tarik nafas panjang. Memang pun dia nak keluar.Tak hadap pun nak dengar Romeo dan Juliet bertelingkah.

“Kalau tak halau pun, orang memang dah nak keluar. Tak kuasa nak dengar manusia bergaduh.” Pantas langkah diatur menuju ke pintu sambil menjeling Zhariz, menghantar isyarat jangan-suka-suka-panggil-aku-lagi!

Segera langkah diatur menuju ke bilik pejabatnya. Kali ini dia benar-benar rasa ingin menangis. Rasa sakit datang pada setiap penjuru.

Air mata sudah tidak mahu mendengar kata. Mendesak mahu keluar dari kelopaknya. Dan… pertama kali dia menangis untuk sebab yang dia sendiri tidak tahu puncanya.

Ah! Bodoh sungguh. Arissa mengutuk diri sendiri. Jemari sibuk menyapu pipi yang sudah basah dek air mata.Hati… kenapa measti Zhariz? Kenapa tidak Adam atau… Haraz.

Tiba-tiba dia teringatkan lelaki bersuara husky itu. Saat yang sama telefon di atas meja berdering. Mula-mula dia malas mahu menjawab tetapi deringan yang tidak putus-putus panggilan dari luar itu memaksa tangannya mengangkat gagang.

“Hello!”

“Hai!dear…” Suara husky di hujung sana buatkan badan Arissa menegak. Liur ditelan kasar.S atu kebetulankah ini?

“Haraz?”

Kedengaran ketawa di hujung sana. Dan..Arissa tahan nafas sesaat.

“Risssaaa….” Suara yang begitu, memanggil namanya dengan nada yang sebegitu, buat Arissa terus kaku.

If you only knew how much I still think about you.” Suara seperti orang mengeluh tapi kenapa Arissa rasa dia yang ingin mengeluh. Kenapa dia? Kenapa dia yang Haraz pilih untuk menjadi mangsanya?

Tapi, kalau dia layankan Haraz untuk mengubat garis-garis luka di hatinya, apa agaknya yang akan terjadi? Soalan ini, hanya hati yang ada jawapannya.

Arissa pejam mata. Lama. Suara Haraz yang manis bergula di hujung sana cuba dicerna mindanya tetapi semuanya bagai bercampur aduk. Wajah Zhariz, wajah Adam dan wajah Haraz berpusing membentuk awan dan naik ke langit.

“Rissaa…” suara lain pula yang kedengaran. Arissa buka mata dan wajah Zhariz menjadi sasaran.

Terkejut! Ganggang telefon terus terlepas dari pegangan. Sejak bilakah Zhariz beraada di depannya?

Zhariz ngeleng kepala. Keruh wajah si gadis dipandang tepat. Sungguh… kasihnya tumpah pada gadis di depannya tetapi dia hilang kata  laluan untuk menjelaskan.

I’m sorry…” hanya itu yang terluah dari bibir Zhariz. Dia tahu dia bersalah melibatkan dua beradik dalam kemelut hatinya. Tetapi, melepaskan Arissa adalah perkara terakhir yang akan dia lakukan jika terpaksa.


Arissa tahan nafas. Tahan air mata yang tiba-tiba meminta izin untuk kembali merembes. Untuk apa Zhariz?  Jika kemaafan itu mampu mencabut rasa yang bercambah di hatinya saat ini, dia sanggup membelinya walau dijual dengan harga yang paling tinggi. Bukalah tender,  dia akan beli kemaafan itu supaya rasa sakit yang sedang dia alami saat ini tidak perlu lagi dia rasai selepas hari ini.

YANG LUAR BIASA - Part 6

Yang luar biasa pada Adam kali ni, dia tidak mengalah seperti biasa. Selalunya kalau Arissa buat tak layan, dia  akan merajuk seketika dan kembali normal selepas beberapa hari. Namun, tidak untuk kali ini. Desakan Adam untuk bertemu empat mata buatkan Arissa terpaksa mengalah.

Dia sudah memulakan kerja dan terpaksa mencuri masa. Nak jumpa malam, memang tidaklah. Jadinya, pagi-pagi dia sudah melencong. Masuk kerja lambat sikit sebab nanti kalau dah masuk kerja, jenuh nak menjawab dengan Zhariz.

“Patutlah selama ni you buat tak layan I.” ayat sinis Adam sebagai pembuka bicara tatkala mereka bertemu pagi itu buat angin dalam dada Arissa mula menderu. Tak bolehkah Adam berbicara seperti sebelum ini? Seperti mereka sebagai kawan akrab waktu dulu dulu.

“You dengan abang sepupu you tu memang ada hubungan kan?” Adam seperti tidak berpuas hati apabila Arissa hanya diam tidak membalas bicaranya.

“Jangan menuduh kalau tanpa bukti Adam. Itu fitnah namanya.”

“Tapi itu kenyataan kan?”

Arissa ngeleng kepala. Kenyataannya, Zhariz itu tunangan orang dan orang itu adalah kakaknya sendiri.

“Menafikan satu hakikat, bukan sifat yang mulia Ris.” Perlahan tapi masih didengar oleh telinga Arissa.

“Hakikatnya, I dengan Zhariz tu memang rapat kerana kami sepupu yang membesar bersama.”

Adam hela nafas. Sukar untuk percaya.Dia juga lelaki seperti Zhariz. Tak mungkin dia silap menilai. Bukan sekali dia jumpa Zhariz dengan Arissa malah berkali-kali.

“Kalau you tak percaya, tak ada sebab untuk I berusaha untuk buat you percaya.You and me, we have nothing, sama macam  I dengan dia.”

But… I love you.”

Arissa terus terdiam. Untuk dia, ucapan itu memang sangat keramat tetapi kenapa apabila disebut Adam, ia seperti ucapan biasa-biasa? Kenapa dia seperti mendengar Adam menyapa dengan ucapan Good Morning atau Good afternoon?

“Cari orang lain Adam.”

I can’t make my heart to say otherwise, Ris. Please…I janji akan bahagiakan you.”

Arissa diam lagi. Bolehkah dia bahagia jika hatinya bukan untuk Adam? Benar cinta boleh dipupuk tapi, bagaimana jika sudah hidup sebumbung nanti, hatinya masih mahukan yang lain? Ah! Sulit sungguh bila ianya melibatkan soal hati.

“Kalau betul you tak ada apa-apa hubungan istimewa dengan dia, buktikan. Kahwin dengan I.” Adam seolah mencabar.

“I tak perlu buktikan apa-apa pada you, Adam. Dan… I tak perlu nak kahwin dengan you semata-mata nak buktikan pada semua orang  yang I tiada apa-apa hubungan dengan dia.”

“Dan..I anggap you memang ada hubungan dengan dia. Atau mungkin juga sudah lebih dari sekadar pasangan bercinta.”

“Adam! I dah jelaskan tadi, kalau tanpa bukti, itu fitnah namanya.” Arissa sudah mula geram.Sisi Adam yang satu ini, dia baru tahu. Kalau selama ini dia anggap Adam lelaki budiman yang sangat cool.Tapi tidak lagi untuk hari ini.

“You tahu tak, fitnah tu lebih besar bahayanya dari pembunuhan?”

“Kalau nak jadi ustazah, pakai tudung dulu.” Tajam dan sangat menyakitkan sindiran Adam buat Arissa hilang rasa sabar. Dia terus bangkit berdiri.

“Mungkin you lupa dan I nak ingatkan. Perempuan yang baik, hanya untuk lelaki yang baik-baik. Sebab I ni bukan perempuan baik-baik, tak sesuai untuk you yang jenis lelaki stok baik-baik. Terima kasih atas segalanya dan anggap saja ini yang terakhir kita bertemu.” Arissa terus melangkah.

Adam gamam. Dia mahu menjerit nama Arissa tetapi suaranya seakan tersekat di celah kerongkong. Dia ingin mengejar tetapi kakinya seakan lemah untuk berpijak. Sudahnya, dia hanya mampu memandang orang yang paling dia cinta pergi dengan seribu kekesalan di hati.

Arissa terus melangkah tanpa menoleh. Kalaulah dia tahu ini akan dia dapat bila berjumpa, sumpah dia akan cari sejuta alasan untuk tidak bertemu. Betullah! Kalau sudah asalnya wujud perkataan sahabat, jangan sesekali mahu menukarkan menjadi cinta. Kelak kalau tidak mampu menerima, perkataan sahabat juga akan musnah begitu saja.

Perjalanan ke pejabat, pesanan ringkas dari Adam masuk ke telefon bimbitnya.

‘I’m sorry Riss. Serius, I betul-betul mintak maaf dan I tarik balik apa yang I katakan tadi.’

Arissa tidak membalas tapi dalam hatinya berkata :Kalau pakai tudung tapi hati tak ikhlas kerana Allah swt pun tak guna Adam. Pakai jubah sampai ke lutut sekalipun, kalau hati yang di dalam ni busuk macam air longkang, tak guna juga. Jadinya… jangan diukur manusia berdasarkan luarannya saja. Mungkin saja orang yang rambut perang tu, hatinya sangat-sangat bersih.

Masuk ke pejabat, Arissa terus ke biliknya. Minta-minta Zhariz tidak banyak tanya kenapa dia masuk pejabat lambat.

Bekerja dibawah satu bumbung bersama Zhariz di ZNZ Holding selama seminggu ini, Arissarasa dia langsung tak ada apa nak dibuat. Kerja dia setiap hari mengadap lelaki itu. Konon belajar dari pemerhatian. Huh! Belajarlah sangat.

Rasanya yang dia belajar bukan cara bekerja tetapi dia sibuk belajar cara nak pujuk hati sendiri agar jangan mencair macam cheese kena panas. Apa taknya, melihat Zhariz marah-marah supplier di talian pun hatinya dah berjoget kuch kuch hota  hai, apatah lagi bila lelaki itu bersuara lembut menggoda. Tapi, dia harus sedar diri. Dia harus sentiasa ingat siapa dia dan siapa Zhariz.

“Zhariz tu tunang aku, kau jangan sibuk nak bermanja dengan dia!” Amaran keras Ryana sebaik dia tiba di rumah petang tersebut masih Arissa ingat sampai ke hari ini.

Bermanja?  Euuww! Tak kuasa. Itu Ryana tak tahu yang Zhariz hantar dia pulang sebab lelaki itu terus pergi setelah menghantar dia di depan rumah. Kalaulah Ryana tahu, mahunya ada adegan tarik tarik rambut.

Arissa geleng kepala.Tak sanggup dia bayangkan adegan tersebut. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini Ryana seperti sengaja mahu mencari pasal dengan dia. Memang sejak kecil Ryana sering tak puas hati dengan apa yang dia buat mahupun dia dapat. Dia selalu dapat tempat pertama dalam peperiksaan pun Ryana tak puas hati. Pendek kata, Ryana tak boleh tengok dia dapat lebih.

Mungkin sebab dia jenis yang suka mengalah dan berlembut, maka Ryana suka pijak kepala dia. Sebenarnya bukan dia tak pernah cuba untuk berbaik dengan Ryana. Dia juga teringin bermesra dengan kakak sendiri. Lebih-lebih  lagi bila tengok Zalia sangat manja dengan abangnya, dia jadi cemburu. Tapi dia dengan Ryana, macam musuh yang tak pernah ada jalan perdamaian.

“Nanti ikut abang keluar lunch.” Suara Zhariz yang tiba-tiba muncul di muka pintu biliknya mengejutkan Arissa. Terkelip kelip dia pandang Zhariz yang berdiri di depannya.

Errkk..sejak bila Zhariz ada di situ? Masa bila lelaki ni buka pintu?

“Pandang abang macam cicak nampak serangga ni kenapa?”

Arissa picit-picit hidung sendiri. Itu cara dia nak hilang gabra.

“Mmmm…Lunch pun kena belajar ke?” soalan berbalas soalan.

Zhariz tak menjawab sebaliknya melangkah masuk. Dia tak duduk tetapi berpusing ke tepi meja Arissa dan punggung disangkut di situ, hampir dengan Arissa yang sedang duduk.

Arissa telan liur.Pergerakan Zhariz dipandang dengan ekor mata.

Melihat Arissa yang sudah gelabah, Zhariz simpan senyum.Badannya dibongkokkan sedikit agar bibirnya rapat di tepi telinga Arissa.

“Kena belajar macamana nak suap nasi. Esok-esok senang bila diminta untuk tolong suapkan,”bisik Zhariz perlahan buatkan bulu tengkuk Arissa tegak berdiri.

Isk! Zhariz ni ada bela saka ke apa? Kenapa sejak akhir-akhir ni bila berada dekat dengan lelaki ini, romanya tegak berdiri dan dadanya ketat semacam? Kekadang dia jadi pelik dengan diri sendiri, mana perginya sifat degil dan kuat melawannya dulu? Sudah dicabut keluar oleh Zhariz atau tercicir di mana-mana?

Arissa pantas bangkit berdiri. Masa yang sama, telefon bimbit Zhariz berbunyi minta diangkat. Melihat ke skrin telefon, Zhariz beri isyarat untuk keluar.

“Yana…” Nama yang sempat di dengar keluar dari bibir Zhariz ketika menjawab panggilan memberitahu Arissa yang pemanggilnya adalah si tunang lelaki itu. Siapa lagi kalau bukan kakaknya ‘yang tersayang’.

Arissa pegang dada sendiri. Kenapa dengan Zhariz dia jadi perempuan tak sedar diri? Sering hilang kawalan hati? Sedangkan dia sendiri tahu, dia adalah orang ketiga yang hanya diperlukan pada waktu-waktu tertentu saja. Sadis sungguh!!

Tiba-tiba dia rasa seperti mahu menangis. Nak salahkan siapa kalau hatinya dapat penyakit misteri? Kalau ada dukun yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut takpe juga. Siapa suruh jatuh suka pada tunang orang? Orang tu pulak, kakak sendiri.

Ini dah dikira kes berat Arissa. Kalau masuk mahkamah, mahunya sakit otak kerani lawyer nak prepare dokumen. Cuba pilih Adam yang dah sah-sah available dan seribu kali sudi.

Arissa tarik nafas sambil tompang dagu di meja. Tiba-tiba pintu biliknya ditolak dari luar dan sekali lagi Zhariz muncul di situ.

“Jom lunch.Ada klien nak jumpa dan lunch sama-sama.”

“Malaslah!”

“Sayanggg….”

Uhuk! Tercekik liur sendiri. Zhariz ni, kenapa suka sangat buat dia rasa terbuai? Lepas tu, tingalkan kesan di hatinya macam tanda lahir yang tak boleh dibuang keluar.

“Nak ikut atau nak abang paksa ni?” Zhariz angkat-angkat kening.

“Abang turun dulu, nanti orang datang. Jumpa kat lobi.” Akhirnya, Arissa terpaksa bersetuju. Knowing Zhariz, dia tahu dia tak akan mampu menolak.

Zhariz senyum.

“Kalau nak merajuk, lepas ni. Nanti abang ajar cara pujuk memujuk.” Zhariz kenyit mata sebelum berlalu keluar.


Boleh tak kalau dia kata dia nak tukar tempat dengan Ryana? Arggghhhhh… stres yang dicipta sendiri.

YANG LUAR BIASA - Part 4

Yang luar biasa selepas itu, bila Arissa turun semula ke bawah untuk keluar, telinganya menangkap suara orang sedang bertekak.

“You ni, kalau I ajak banyak sangat alasannya.”  Itu suara Ryana. Tentu sedang marahkan encik tunang tersayang.

Langkah Arissa mati di anak tangga paling bawah.

“Bukan banyak alasan. I dah kenyang sarapan kat dapur tu, you baru nak bangun.” Suara Zhariz membalas.

“Tengok tu, nak salahkan I bangun lambat pulak. You ada call I nak datang sini?”

“Yana, rumah ni dah macam rumah I. Bila-bila masa I suka I datang, tak payah nak call bagai buat appointment. Masalahnya you tu, kalau dah tidur tak ingat siang atau malam. Solat subuh entah ke mana.” Tenang-tenang saja suara Zhariz. Ya! Dia harus akui, Zhariz memang sentiasa tenang dalam apa jua keadaan sekali pun.

“You ni nak cari pasal dengan I ke apa? Kalau tak nak keluar dengan I cakap aje tak nak keluar. I boleh ajak orang lain temankan. Tak payahlah nak berceramah macam ustaz pulak.” Suara Ryana sudah melengking.

Arissa menggeleng. Perangai si kakak memang dia sudah maklum sejak dulu. Pantang ditegur akan membentak. Sudah biasa dimanjakan, begitulah jadinya. Tapi yang dia pelik, Zhariz tu boleh pula tahan dengan perangai begitu.

Kata orang, sabar itu ada hadnya. Tapi dalam kes mereka ini, Arissa rasa sabar Zhariz terhadap perangai Ryana macam tak ada had.

 “Macamlah you tu baik sangat!” Ryana mengomel. Dengan hentakkan kaki dia melangkah ke arah tangga.

Arissa yang tercegat di situ tak sempat nak bergerak lari apabila Ryana sudah memandang dia dengan pandangan tajam.

“Kau buat apa kat sini?” Ryana menyergah. Kali ni, Arissa pula yang menjadi mangsa.

“Dengar orang bergaduh.” Arissa menyengih, sengaja menyimbah minyak pada api yang sedang marak. Dah tertangkap, baiklah berterus terang.

Tanpa diduga, tangan yang sedang memegang palang di tangga ditepis Ryana dan tubuhnya terus ditolak.  Tidak bersedia, Arissa jatuh terduduk.

“Rissa!!” Zhariz menerpa ke arah mereka.

“You ni kenapa, Yana?”

Ryana mendengus kasar sebelum berlari naik ke atas. Geramnya pada Zhariz sengaja dilepaskan pada si adik. Dia tahu Zhariz memang tak akan berdiam diri kalau dia ‘usik’ Arissa. Sejak kecik, Zhariz memang protective kalau melibatkan Arissa dan adik perempuannya, si Zalia Irdina tu. Kalau nak bagi Zhariz naik angin, usiklah merek berdua.

Arissa bangkit. Handbag yang sudah terlondeh diangkat semula ke bahu.

“Nak ke mana?” soal Zhariz. Serius sekali wajahnya.

“Keluar.” Sepatah Arissa menjawab.

Langkahnya diatur menuju ke pintu. Baru mahu menyarung kasut, lengannya ditarik.

“Jumpa Adam?”

“Kenapa abang nak sibuk?”

Tiba-tiba kunci kereta di tangan Arissa dirampas Zhariz. Dan.. Arissa hanya mampu memandang apabila BMW X6 Zhariz mengundur keluar dari perkarangan rumah.

Arrrghhh! Rasa macam nak menjerit sebab geram dan marah. Tapi kalau dia jerit sekarang, tentu mummy kata dia gila.

Telefon di dalam handbag dicapai. Nombor telefon Zhariz dicari. Skrin telefon ditekan-tekan penuh geram seolah wajah Zhariz yang dicucuk dengan telunjuknya.

“Abang!!!”

“Ya, sayanggg..”

Uhuk! Suara Arissa terus tersangkut mendengar suara Zhariz yang begitu. Hati, tolonglah jangan mengada-ngada nak mencair bagai. Ingat! Dia bakal abang iparmu.

“Kunci kereta… orang nak keluarlah!”

“Dengan syarat, abang hantarkan.”

Hah? Apa kena dengan Zhariz ni? Takkan gaduh dengan tunang terus jadi tak betul kot?

“Orang nak keluar sekarang!” tegas Arissa.

“Sekarang abang pusing balik.”

Arissa terlopong. Bukankah tadi bakal abang iparnya ini bergaduh dengan tunangnya hanya kerana malas mahu keluar? Kenapa sekarang ini rajin pula menawarkan diri mahu menjadi drivernya? Arissa pelik sendiri.

Cuma seketika talian diputuskan, panggilan dari Zhariz masuk semula.

“Abang dah ada kat depan pagar. Cepat keluar!” Zhariz terus bersuara sebaik talian bersambung. Belum sempat Arissa membalas, talian diputuskan kembali.

Huh! Arissa serba salah. Nak pergi ke tak nak? Belum sempat akal berfikir memberi jawapan, kaki sudah menghala ke pintu pagar. Harap-harap tak ada sesiapa dalm rumah ni yang nampak.

“Nak ke mana ni?” soal Zhariz sebaik Arissa masuk ke dalam kereta.

“Pavillion.” Sepatah Arissa menjawab. Memang itulah tempat yang Fetty sebut apabila dia menghubungi sahabatnya itu tadi.

Tapi, dia nak jumpa Adam. Apa kata Adam kalau dia datang bersama Zhariz? Akan ada drama swasta atau sinetron Indon?



SEJAK tadi Adam hanya diam membisu. Sejak dia muncul bersama ‘bodyguard’ tak rasminya. Sejak tadi juga Arissa hanya mampu memandang, wajah Adam yang keruh dan wajah Zhariz yang bersahaja, tanpa apa-apa riak.

Minum di Dome Café, Adam lebih banyak berdiam manakala Zhariz pula rancak bersembang. Fetty memang pandai melayan. Sembanglah topik apa pun, gadis kecil molek kelahiran pantai timur itu memang boleh aje ‘masuk’. Lagipun, Fetty memang kenal Zhariz melalui cerita-ceritanya.

Fetty memang tahu Zhariz itu bakal abang ipar dia. Tapi, kenapa Arissa rasa tak senang bila Fetty mula menemuramah Zhariz? Kenapa dia rasa seperti Fetty mahu menarik perhatian lelaki itu? Cemburukah dia? Ah! Tak mungkin.

“Risss… Boleh tak kalau I nak cakap dengan you?” tiba-tiba Adam bersuara dalam keriuhan suara Fetty berceloteh.

Arissa pandang Adam. Kemudian Zhariz dan Feety sebelum beralih kembali ke wajah Adam.

Just me and you.” Adam berikan pencerahan.

“Dam.. Rissa datang dengan I. So, kalau nak cakap apa-apa, boleh cakap depan I.” Zhariz memintas sebelum sempat Arissa keluarkan suara.

“You ni siapa dengan Arissa sebenarnya?” Nada tak puas hati sudah keluar dari bibir Adam. Sejak dulu, tatkala Zhariz datang melawatnya, Adam memang selalu tak puas hati

She’s my cousin, that’s for sure.” Zhariz senyum. Pandangan ditala pada Arissa yang nampak gelisah sejak tadi.

“And… for sure, kami juga masih sah nikah.”

Arissa buntang mata. Apa hal tetiba sebut pasal sah nikah bagai ni. Dah namanya sepupu, memanglah sah nikah. Kalau tak, takkanlah boleh bertunang dengan Ryana.

“Riss….. I dah beritahu family I tentang kita.” Adam berterus terang. Bicara Zhariz sudah mampu dia teka arah tujunya.

Sejak dulu lagi hatinya meneka. Pandangan mata Zhariz, bukan pandangan biasa seorang abang terhadap adiknya. Dia lelaki dan dia yakin sangat tentang itu. Cuma, Arissa yang sering menafikan setiap kali dia bertanya.

“Tentang kita?” Arissa bersuara. Pelik! Mana pernah ada kita antara dia dan Adam

“Ya! I tak mahu cakap melalui phone. Hal begini lebih baik cakap depan-depan. You berikan saja tarikhnya, family I akan datang merisik. Kita tunang dulu.” Adam berterus terang. Dia sudah penat dan lelah mengejar. Lagi pun, dia harus pantas memintas sebelum Zhariz mencantas.

Gulp! Arissa telan liur. Sungguhlah ‘gentleman’ seorang Adam Khalif tetapi kenapa dia tak rasa apa-apa pun? Kenapa dia rasa anak tauke kontraktor pasir dari utara ini seperti mahu menunjuk pada Zhariz? Tahukah Adam bahawa Zhariz itu adalah bakal abang iparnya? Tiada yang lebih atau kurang dari itu?

“Mmm.. benda macam ni kena bincang dulu Adam. Bukan main redah aje.” Zhariz mencelah.

“Rissa… abang rasa hal begini tak sesuai nak dibincang di sini.” Kali ini, wajah Arissa pula menjadi sasaran matanya. Hatinya tiba-tiba membara tatkala Adam mengeluarkan topik hangat itu. Cemburu? Ya! Dia sedang cemburu.

‘Tapi, kenapa dia harus cemburu sedang Arissa itu hanyalah seorang adik sepupu yang bakal menjadi adik iparnya?’ Satu suara tiba-tiba bertanya.

Hati, sila jawab dengan jujur.

Okey! Sebabnya.. Arissa bukan hanya sekadar itu. Hati dia yang satu ini memang sudah lama sukakan Arissa, bukan Ryana. Tetapi perancangan keluarga melencong dari arah hatinya. Waktu itu, dia masih mentah dan dia tidak mampu membantah.

“Kalau di sini tak sesuai, I nak pinjam Arissa.” Adam bangkit berdiri. Niatnya mahu mengajak Arissa mengikutnya ke tempat lain untuk berbincang lebih serius dari hati ke hati. Dari utara dia terbang ke KL semata-mata untuk berbincang dengan Arissa tentang hal ini.

Dan.. melihat Zhariz yang begini, hatinya makin kuat meronta mahu menyelesaikan hal mereka secepat mungkin. Selagi Arissa tidak memberi jawapan pasti, selagi itulah hatinya tidak mampu bertenang.

“Adam, mungkin lain kali. Sekarang ni kami kena balik dulu sebab kami keluar tadi, mummy Arissa tak tahu.” Pantas saja Zhariz mencari alasan.

Memanglah masa keluar tadi Arissa tak beritahu siapa-siapa. Tapi, mummy atau daddy mana ada kisah dia pergi mana. Janji balik sebelum malam. Kalau lewat, telefon beritahu.

Zhariz bangkit. Wallet dari poket seluar dikeluarkan dan not seratus ditarik keluar.

“I belanja. Nanti tolong bayarkan.” Duit diselit ke bawah cawan Fetty.

Belum sempat Arissa buat apa-apa, lenganya ditarik Zhariz. Handbag di atas meja juga sudah dicapai lelaki itu.
“Kami balik dulu.”

Arissa hanya mengikut. Mahu membantah tetapi dia seperti tidak berdaya. Entah kenapa, hatinya seakan dipukau. Merelakan apa saja yang dilakukan Zhariz walau kelihatan agak melampau. Ubat apa yang sudah Zhariz suntik ke hatinya? Ubat bius yang mengkhayalkan atau pil kuda yang merosakkan?

Masuk ke dalam kereta, Arissa pejam mata. Haruman Black Rose Paco Rabanne yang Zhariz pakai makin kuat masuk ke hidungnya bila berada dalam ruang yang kecil begitu. Oh! Dia khayal lagi.

“Abang….”

“Mmmmm…”

Arissa tarik nafas. Zhariz ni suka sangat buat suara dalam kelambu begitu. Hakikatnya, mereka sekarang ini dalam kereta, bukan dalam kelambu.

“Sebenarnya, apa yang abang tak suka dengan Adam tu?”

“Bila masa abang cakap abang tak suka dia?” wajah Arissa ditoleh sekilas.

“Habis tu, yang abang tak suka orang rapat dengan dia tu?”

“Abang tak suka Rissa rapat dengan dia, bukan tak suka dia.”

“Sebab?”


Zhariz diam. Nanti abang beritahu Rissa. But, not now. Masanya tak sesuai.