Dari pagi sehinggalah jam sudah mencecah ke tengahari, Hareez hanya duduk termenung di kerusi dalam bilik kerjanya. Mood untuk bekerja bagai larut dalam perasaan yang bergerak tanpa arah tuju. Apa yang dia rasa sebenarnya? Cemburu? Sedih? Atau... bahagia?
Acap kali dia mengajar hati sendiri agar turut menikmati rasa bahagia apabila melihat orang yang disayang sedang tersenyum dan tertawa bahagia. Tetapi, kenapa apabila melihat sesuatu yang tidak sepatutnya dia lihat malam tadi, hatinya seakan merintih dan menangis tanpa suara? Bukankah matanya sendiri melihat betapa bahagianya mereka? Bukankah telinganya sendiri yang mendengar tawa gembira mereka?
Ah! Dia tidak sepatutnya melihat dan terus berdiri di situ. Mengingati apa yang dilihatnya malam tadi, hatinya seperti dihiris halus. Sakitnya tidak terasa tetapi darah yang mengalir membuktikan ia telahpun cedera parah.
Mulanya, dia terasa sukar untuk tidur. Memang setiap kali bila Zhafran dan Lya tidur di rumah itu, matanya akan jadi payah untuk lelap. Dia sendiri pelik. Fikirannya akan memikirkan yang bukan-bukan. Terasa berada di bawah bumbung yang sama dengan Lya tetapi hakikatnya dia dan Lya terpisah jauh beribu batu, tak tercapai dek tangan dan tak terlihat dek mata kasar.
Kerana itu, dia keluar dari bilik dan berniat untuk duduk di kerusi yang terletak di tepi taman mini milik mamanya untuk menikmati udara malam. Belum sempat kakinya menjejak taman mini tersebut, telinganya menangkap suara Lya bagai terjerit-jerit diselang suara ketawa Zhafran. Pantas dia mendongak dan kakinya terus terkaku di situ. Bukan maksudnya untuk mengintip pasangan bahagia itu tetapi matanya tidak ingin berkompromi. Puas dia memujuk tetapi mata tetap memaku ke arah yang sama.
Melihat Lya ketawa bahagia di dalam pelukan Zhafran, melihat Lya dicumbu dan dibelai Zhafran, hatinya tidak tahu untuk digambarkan bagaimana. Jenuh mencari kata-kata, penat membelek kamus bahasa, tiada perkataan yang boleh digunakan untuk menggambarkan apa yang hatinya rasa. Yang pasti, ada pedih dan ngilu, ada sakit yang tidak tertanggung pada setiap penjuru.
Mungkinkah ini yang dikatakan balasan tunai dari ILAHI kerana dia pernah menyakiti banyak hati wanita suatu ketika dulu? Tapi, haruskah dia disalahkan jika wanita-wanita itu sendiri yang datang menggoda dan merayu agar dilayan sebagai teman istimewa?
Hah! Sebuah keluhan berat terlepas dari bibirnya. Serentak dengan itu, ada ketukan perlahan kedengaran di luar pintu. Perlahan juga dia bersuara mengarahkan masuk.
Tanpa mendongak, Hareez pura-pura sibuk membelek fail di atas meja. Buat waktu ini, dia tiada hati untuk bebricara dengan sesiapa. Biarlah Tania yang bercakap-cakap dan biarlah hanya telinganya yang berfungsi. Seluruh rasa yang ada pada jiwanya sudah dibawa pergi entah ke mana.
Lama Hareez menunggu tetapi suara Tania tidak juga melantum keluar. Perlahan dia mendongak dan senyuman Lya menyapa pandangannya. Saat itu, matanya seakan terlupa untuk berkelip. Senyum itu, bagai air dari pergunungan menyimbah kepalanya. Sejuknya terasa hingga ke tulang sum-sum. Wajah itu begitu mendamaikan hatinya yang sedang ketandusan.
“Reez...?” suara Lya memanggil namanya mengejutkan Hareez dari alam khayalan. Pantas dia beristifar di dalam hati. Tangannya diisyaratkan agar Lya duduk. Nafasnya ditarik panjang.
Lya bergerak duduk dan Fail di tangan diletak ke atas meja. Dia jadi pelik melihat tingkah Hareez. Sinar mata lelaki itu nampak berlainan. Ada sesuatu yang sedang bergayut di situ tetapi dia tidak mampu mentafsirnya. Sejak pulang dari luar negara, Hareez dilihatnya sangat berbeza.
“You okey ke Reez?” Soalan Lya dijawab Hareez dengan helaan nafas yang cukup panjang. Dia cuba untuk berlagak biasa-biasa tetapi hatinya seperti tidak ingin bekerjasama. Belum sempat mindanya berfikir, kepala sudah mengeleng beberapa kali dan dia tahu reaksi itu terjadi kerana gerakan hati.
“Bagaimana I nak kata I okey sedang hati I sebenarnya langsung tak okey,” luah Hareez perlahan.
Lya terus jadi bisu. Kalau Zhafran, dia tahu bagaimana untuk mengeluarkan kata pujuk. Masalahnya, di depannya kini bukan Zhafran tetapi Hareez, lelaki yang sentiasa mencetus cemburu di hati suaminya.
“Kalau you tak senang, kita bincang lain kali jerlah.” Lya pantas bangkit berdiri untuk keluar. Hatinya terasa tidak enak dengan reaksi Hareez.
“Lya!” panggilan Hareez menghentikan pergerakan Lya.
“Duduk dulu,” pinta Hareez. Kepalanya dianggukkan apabila anak mata Lya mencari wajahnya. Teragak-agak, Lya duduk kembali. Fail di atas meja di buka dan dihulur ke depan Hareez yang masih merenungnya.
“Reez....” “Kenapa you boleh panggil Zhafran abang tapi tak boleh panggil I begitu sedangkan I ni lagi tua dari dia?” Hareez memintas, membangkitkan persoalan yang langsung tidak ada kena mengena dengan kerja.
Lya terpinga-pinga buat seketika. Dia jadi tidak faham kenapa soal panggilan tiba-tiba dibangkitkan Hareez. Dia tidak mengerti apa sebenarnya yang ingin Hareez sampaikan.
“Abang tu hanya khas untuk suami jer.” Hanya itu yang terlintas di fikiran Lya saat ini. Yer la, takkan dia nak panggil Hareez tu abang walau lelaki itu layak digelar begitu kerana sudah menjadi abang iparnya. Takut pula nanti dua dua akan menyahut apabila dipanggil. Isk! Tak boleh nak bayangkan muncung Zhafran kalau dengar dia panggil Hareez dengan panggilan abang.
“Tapi setahu I, you pun panggil ustaz Hijaz tu abang juga kan? Takkan dia pun suami you juga.” Hareez masih tidak berpuas hati dengan jawapan Lya.
“I dah biasa panggil dia abang sebelum I ada apa-apa dengan Zhaf lagi. Tapi dengan you, I dah biasa panggil nama,” balas Lya. Dia mula rimas. Hareez seperti pegawai polis yang sedang mengorek cerita untuk dijadikan bukti.
Hareez diam. Pandangannya terus memamah wajah Lya yang kelihatan gelisah. Dia tahu Lya pastinya serba salah dan bimbang. Zhafran itu cemburunya sangat tinggi. Dia tidak salahkan Zhafran kerana cemburu adalah sesuatu yang normal. Maksudnya, Zhafran itu lelaki normal yang menyintai isterinya sepenuh hati kerana tanpa cinta takkan ada rasa cemburu. Bukan cinta namanya kalau tidak dikelilingi rasa cemburu. Bukan cemburu namanya kalau tidak seiring dengan rasa cinta.
Kalaulah.... Ah! Fikirannya sudah mula ingin melencong jauh. Berdosa 'Reez, mengangankan isteri orang apatah lagi adik ipar sendiri.' satu suara halus berbisik perlahan di telinganya. Tapi, bagaimana untuk dia tidak memikirkan tentang itu sedang hatinya tidak punya telinga untuk mendengar kata?
"Reez, kalau you perlukan masa dan tak nak diganggu, I keluar dululah." Lya sudah merasa tidak selesa dengan pandangan dan renungan Hareez. Dia serba salah sebenarnya. Untuk mengelak dari Hareez, dia harus mengundur diri dari Danau kristal ini tetapi bila memikirkan tentang kesihatan papa mertuanya, dia jadi tidak sampai hati.
"You ada adik beradik lain tak Lya?" Hareez masih ingin berbicara, menanyakan soalan yang pelik-pelik di pendengaran Lya.
"Abang Affan tu jerlah. Kenapa?" Jawab Lya lurus. Tak mungkin Hareez tidak tahu bahawa dia hanya berdua beradik. Malah Hareez juga kenal dengan abangnya yang seorang itu.
"I mean... perempuan."
"Mana adaaaa.. You ni kenapa?" Lya sudah bengang semacam. Entah hantu apa yang sudah merasuk lelaki di depannya ini. Hareez lepaskan keluhan berat. Matanya dipejam rapat seolah sedang menghindari sesuatu yang sedang datang menghampiri dirinya.
"Kenapalah Mak Cik Noraini tak lahirkan seorang lagi anak perempuan macam you," ucapnya seolah sedang bercakap pada diri sendiri.
"You jangan nak merapu yer!” sergah Lya. Dia kurang senang dengan apa yang diucapkan Hareez.
"Tolonglah Reez, bercakap benda yang bukan-bukan tak akan memberi apa-apa faedah. Cuba bukakan hati, lapangkan minda you. Pasti banyak yang you boleh nampak dan boleh rasa berada di sekeliling you.”
“Apa yang I nampak bila hati dan minda I terbuka hanyalah wajah you Lya. Tak ada apa lagi yang boleh I nampak kecuali you.” Jawapan Hareez membuatkan Lya hilang kata-kata.
“Dan... Apa yang I rasa hanyalah cinta yang tak pernah mampu I padamkan hanya untuk you Lya.” Sambungan luahan hati yang keluar dari bibir Hareez terus jadikan Lya seperti orang yang tidak cukup udara untuk menarik nafas.
"Reez...” Bergetar suara Lya.
“Tak perlu cakap apa-apa Lya. Cukuplah sekadar you tahu bahawa rasa yang sangat istimewa itu masih tersimpan hanya untuk you dan akan terus kekal untuk you sampai bila-bila.”
Lya seperti ingin menangis. Kenapa harus dia? Kenapa dia yang dijebakkan dalam kemelut perasaan dua manusia yang punya pertalian darah?
Tanpa suara, Lya bangkit dan berlalu keluar meninggalkan Hareez yang terus duduk tegak dengan pandangan lurus ke depan. Sekiranya dia harus mati hanya kerana hatinya menyintai Lya, dia sanggup memilih untuk mati.
7 comments:
erk?...
Haniiiiiiiiii...nape Hareez dah jd Hareez yang beku semula ni?...
aduhhhh..come la Reez...ramai lg yang lebih baik dr Lya...
Adoiii..longlai dengar Hareez meluahkan isi hati..huhuuu..tapi Zhafran tetap dia hatiku:):):)
OH HAREEZKU....
sungguh tersiksa Hareez disebabkan Lya..
Kesian hareez..
hareez hidup perlu diteruskan...
Dan lya seharusnay panggil Hareez dgn panggilan abg reez @ along... hehehhe
baru la rasa cam abg sendiri... ahhahaha
hani...man minah wartawan 2....hareez x tangkap cintan k dgn dia...hehehehehhe
thanks hani...soalan lazim,nak lagi...hehehe
Sbnrnya... minah wartawan tu akan kluar kemudian...jgn keliru yer sbb yg part minah reporter tu saya posting lompat2... skrg ni baru ikut bab ke bab... sabar yer...kita selami hati kuciwa hareez dulu...
Post a Comment