Kasih aku hanyalah untukmu
Tiada lain dalam diriku
Takkan berubah walau dipisah
Laut biru....
Alahai, mendayu sungguh suara Adira mengalunkan lagu tersebut di kaca TV. Zhafran tahu lagu itu adalah lagu kegemaran Lya. Katanya Lya, lagu tu ada dalam filem Ombak Rindu. Entah, dia tak perasan pun sebab masa tengok cerita tu kat panggung, dia tidur sampai cerita habis.
Kata Lya lagi, macam bait-bait lagu tersebut, kasih dan cintanya hanya satu dan yang satu itu hanya milik seorang lelaki bernama Zhafran, takkan berubah walau dipisah laut biru, takkan hilang walau dilanda ombak tsunami, takkan susut walau untuk sejuta tahun akan datang.
Oh! Dia jadi terharu mendengar luahan hati isterinya. Betapa terlalu banyak luka yang pernah dia hadiahkan ke hati Lya tetapi isterinya itu tetap sabar dan sentiasa sudi memaafkan dirinya.
Dia berjanji pada diri, dia akan bahagiakan Lya dunia dan akhirat. Setiap kali usai solat, doanya pada Ilahi agar jodohnya dengan Lya akan kekal selamanya dan doanya juga agar pasangannya di akhirat nanti juga adalah wanita yang bernama Lyana Ameera, bukan orang lain. Dia tidak mahu wanita lain. Walau dibariskan bidadari sekali pun, dia tetap hanya ingin Lya sebagai pendampingnya.
Sedang Zhafran berbicara dengan diri sendiri, pintu bilik dibuka dari luar dan kelihatan Lya melangkah masuk, hanya sendirian tanpa Antasya.
“Mana anak?” soal Zhafran.
“Mama bawa tidur dengan dia.”
Zhafran angguk saja. Malam itu mereka tidur di rumah keluarganya. Sebentar tadi mereka sudah membawa Antasya masuk ke bilik tetapi anak itu merengek kerana masih ingin bermain dengan neneknya. Terpaksalah Lya membawanya turun kembali sementara dia ke bilik air. Niat untuk menyusuli Lya terbantut dek lagu Lara Lagi.
Jika boleh, setiap kali berada dirumah keluarganya, Zhafran ingin pastikan segala pergerakan Lya diawasi oleh matanya. Bukan tidak percayakan Lya tetapi sebagai langkah berjaga-jaga. Sudahlah setiap hari dadanya sentiasa sesak bila memikirkan yang Lya dan Hareez sentiasa bersua muka di pejabat.
'Di hati Lya cuma ada abang dan cinta Lya hanya untuk abang.Setia Lya pada abang takkan tergugat walau datang sejuta manusia bernama Hareez sekali pun.'
Janji Lya itulah yang dia pegang sehingga ke hari ini. Janji itulah yang membuatkan hatinya lembut membenarkan Lya terus kekal di Danau Crystal.
“Apa renung Lya macam nampak ayam KFC jer?”
Zhafran gelak mendengar soalan Lya. Matanya memang memandang Lya tetapi fikirannya sedang mengingat sesuatu. Bukan ayam KFC tetapi sesuatu yang indah pada hatinya. Ya! setiap bicara dan tingkah Lya sentiasa nampak indah di mata dan hatinya.
Lya menapak sambil membuka tudung yang tersarung di kelapanya. Rambut yang bersanggul dilepaskan dan dilurut perlahan agar tidak kusut. Tanpa dia sedari tingkahnya diperhatikan Zhafran penuh minat.
Pandangan Zhafran terus melekat pada isterinya. Entah Lya tahu atau tidak, tingkahnya yang begitu kelihatan sangat menggoda di matanya. Nampak bersahaja dan dia tahu Lya tidak berniat apa-apa tetapi, hakikatnya memang begitu, Lya tidak perlu melakukan apa-apa, cukup dengan tingkahnya yang bersahaja itu sudah mampu membangkitkan pelbagai rasa di hati lelakinya.
Dengan bahasa isyarat, Zhafran menggamit Lya duduk di sofa bersebelahannya. Naluri lelakinya terpanggil untuk bermanja dan peluang terbuka dengan ketiadaan si keci itu. Kalau dia ada, nak menyelit aje kerjanya.
Bahu Lya dipaut agar rapat sebaik isterinya itu duduk disebelahnya. Haruman yang keluar dari rambut itu meransang nalurinya. Dia suka dengan wangian itu. Bukan setakat suka malah boleh dikatakan ketagih. Sesuatu yang pelik tetapi memang benar, dia sukar untuk lelap kalau tidak membenamkan wajahnya dan menghidu aroma dari rambut milik isterinya itu. Macam tak masuk akal tetapi itulah kenyataannya.
“Bang....” Lya sudah kegelian apabila bibir Zhafran mula merayap di tepi telinganya. Zhafran memang begitu, pantang duduk dekat, tangan dan bibirnya pasti merayap lebih-lebih lagi kalau di dalam bilik berdua begini. Depan orang pun dia boleh selamba badak, inikan pula kalau berdua.
Lya bangkit berdiri, melangkah ke bilik air membersih muka dan menggosok gigi. Bukan mengelak tetapi kalau terus duduk di situ tentu hanyut entah ke mana. Zhafran dan penggoda adalah dua perkataan yang berbeza tetapi macam sama dan dia pula tidak kuat menahan godaan tersebut. Sudahnya nanti, sofa pun boleh jadi katil. Isk! Memang tak senonoh.
“Jangan tidur dulu, abang nak mandi kejap,” ucap Zhafran ketika Lya sedang mengelap mukanya di depan cermin meja solek.
Bias wajah Zhafran yang berada di belakangnya boleh dilihat melalui cermin. Sudah biasa, Lya memang dah tahu apa maksud di sebalik ayat Zhafran itu. Melalui cermin, dia nampak Zhafran senyum dan spontan dia jelirkan lidah, tanda geram.
Tawa Zhafran terus meletus. Suka sangat bila tengok Lya buat aksi begitu untuk menutup rasa segannya.
Dengan tawa yang masih bersisa, Zhafran menghilang ke dalam bilik air. Lya pula masih membelek diri di depan cermin. Setiap kali bila Zhafran memberi isyarat sebegitu, dia akan pastikan dirinya sentiasa bersih dan wangi. Zhafran itu sangat cerewet kalau bab-bab kebersihan diri. Mandinya saja mengalahkan perempuan mandi lulur, lama yang amat. Sabun badan saja berkali-kali, belum masuk lagi bab tenyeh sana sini. Dulu, dia tertanya sendiri apa yang dibuat Zhafran di dalam bilik air lama-lama. Namun, setelah menjadi suami isteri, dia dah tahu semuanya sebab kadangkala bila datang angin sengalnya, Zhafran akan paksa dia untuk mandi sama-sama.
"Apa lagi yang ditelek tu?” Teguran Zhafran mengejutkan Lya yang masih membelek diri di depan cermin. Aik! Sekejap pula mandinya malam ni.
Lya menyengih. Dia sudah bertukar baju. Tak perlu mandi sebab dia baru lagi mandi, sebelum membawa Antasya turun sekejap tadi.
"Abang nampak ke apa yang Lya nampak?" soal Lya, masih lagi berpusing kiri dan kanan di depan cermin.
"Nampak apa?
"Ly macam dah gemuk sikit kan?" Lya tepuk-tepuk perut sendiri.
Zhafran senyum. Lagak Lya sentiasa nampak lucu di matanya. Wajahnya hanya biasa-biasa tetapi tingkah spontannya itu sering mencuit hati. Sebab itu, bersama Lya dia sentiasa rasa gembira dan bahagia. Ya! Lya memang isteri yang amat membahagiakan.
"Senyum macam tu, betullah tu." Lya mencebik, masih berpusing di depan cermin dengan tangan menekap perut sendiri.
"Apa yang betulnya?"
"Abang memang nampak Lya dah gemukkan? Nampak buruk, betul tak?"
Zhafran senyum lagi. Melangkah ke katil, mencapai baju yang telah Lya sediakan di situ dan kemudiannya menyarungkan ke tubuh.
Langkahnya di atur menghampiri Lya dan memeluknya dari arah belakang. Dagu di sangkut di bahu isterinya. Cermin di depan menjadi medan untuk mereka saling berpandangan.
"Lya, apa yang abang nampak pada Lya semuanya yang indah dan cantik belaka kerana cinta abang pada Lya dah butakan mata abang untuk lihat apa yang buruk apa Lya." Lembut ucapan Zhafran terus masuk ke hati Lya.
"So, jangan risau kalau Lya dah berkedut seribu pun sebab di mata abang, Lya sentiasa cantik dan menggoda." Sambungnya lagi.
"Abang..." Lya jadi mati kata. Rasa syahdu datang mengelilingi hatinya dengan tiba-tiba. Itulah sebabnya dia sangat-sangat sayangkan Zhafran. Setiap kali berbicara, tak pernah ada yang buruk tentang dia terluah di bibir suaminya itu walau hakikatnya dia bukanlah manusia yang sangat sempurna. Sebab itu dia kata, Zhafran telah menyempurnakan dirinya sebagai seorang wanita dan juga isteri.
Perlahan Zhafran balikkan tubuh Lya setelah melihat mata isterinya itu sudah mula berkaca. Sebuah ciuman di hadiahkan di ubun-ubun sebelum berpindah ke dahi, hidung dan dagu isterinya, perlakuan biasa ketika dia ingin cuba membangkitkan suasana romantis.
Pinggang Lya dipaut kemas sebelum menarik tubuh isterinya itu mengikut langkahnya ke arah balkoni. Dia suka bersantai di situ mengambil angin malam sebagai permulaan misi menggodanya.
Lya hanya mengikut. Dia tahu dan sudah hafal setiap atur cara Zhafran dan dia suka cara yang begitu, tidak terlalu mendadak atau mendesak.
Di balkoni, mereka berdiri selari dengan Lya berada di depan dan Zhafran memeluknya dari belakang. Pandangan mereka terarah ke dada langit melihat kerlipan bintang.
Dan... hati mereka sama-sama berdoa, Ya Allah! indahnya alam cinptaanMU, seindah perasaan yang KAU wujudkan di hati kami. Semoga rasa itu tidak kau cabut pergi sehingga nyawa kami terpisah dari jasadnya.
“Nak tahu berapa banyak cinta abang pada Lya, kiralah bintang tu. Kalau bintang tu tak terkira, begitulah juga rasa cinta yang wujud di hati abang untuk Lya.”
Lya senyap. Matanya masih menatap bintang di langit malam.
“Dengar tak?”
“Dengar...”
“Habis tu, kenapa senyap?”
“Hilang kata-kata. Selebihnya, Lya jadi hairan, bila masa abang belajar sastera. Bukan dulu abang dalam aliran sains ke?” Lya gelak perlahan, sengaja ingin mengenakan Zhafran.
Belum sempat Lya melarikan diri, Zhafran sudah mengepungnya dan menggeletek pinggangnya sehingga dia terjerit-jerit di situ. Sudahnya, mereka sama-sama ketawa. Bahagia terasa ada di mana-mana.
15 comments:
for the 1st taim..mie ske zhafran..heheh...romantik la plk
mee too... :))
kite pon baca rasa bahagia...hehehe..:)))
nak Hareez jugak..even though Zhafran romantik tp nape tarikan Hareez rasa lebih kuat nih?..:P
Zhaf...zhaf..zhaf...
Apasal zhaf terlebih romantik nie kak..
Kak Hani... bila nak masuk part Hareez nie...
Biarkan mrk menyulam bahagia dulu sblm tsunami dtg melanda....lepas ni, awk sumen kena kontrol rasa geram yer....jgn sampai ada yg snggup bunuh hero2 saya ni....
hani jgn la buat lya dgn zhafran hadapi masalah yg teruk.x best laa..nnti baca buku rasa mcm nak campak2 jeee...
hani jgn la buat lya dgn zhafran hadapi masalah yg teruk.x best laa..nnti baca buku rasa mcm nak campak2 jeee...
Eh! Jgn campak2 kak.... nnti kena kepala org susah saya nnti...hehehe...
Tak wat teruk2nya... cuma ada la sakit hati dan geram sikit2... novel saya xsah klu org baca xde rasa geram....
wahh, HKC ada sambungan? suka nii. :) baru je beli HKC semalam and habis baca td. patutlah baca ending rasa macam tergantung. rupanya ada sambungan. keep it up and gudluck kak. :)
bahagianyer baca citer lya dengan zhafran..tak sabar nak tunggu novel ni keluar..huhu..
kak hani!!!janganlah duga mereka teruk2 sangat..biarkn mereka berbahagia..sian lya..huhu..nak nangis ni..
malam..kau bawalah rinduku untuk dirinya yang jauh dari ku..agar dia tidak kesepian selalu rasa ada cinta agung...
Baru smlm abis baca 'HKC'... best sgt2 4.5/5 sya bg, 2 kali air mata jatuh. tk sgka ada smbgan pla bertambah excited lg nk baca. Keep it up kak hani!!!
Post a Comment