Fish

FOLLOWERS

CDH - Prolog

Lama Hareez duduk di situ, menyaksikan ombak yang begitu setia memukul pantai. Kalaulah ombak itu mampu membawa semua kesakitan yang sedang bermukim di hatinya pergi jauh ke tengah lautan, dia sanggup untuk terus duduk di situ sehingga semuanya dibawa pergi.

Sangkanya, dia boleh melupakan semuanya dan ketenangan akan ditemui di sini tetapi perkiraannya nyata silap sama sekali. Usahkan sebuah ketenangan, hatinya sendiri yang telah hilang itu pun tidak mampu dia cari.

“I minta maaf Reez. Keputusan ini I ambil bukan kerana marah tapi kerana cinta. Ya! I memang cintakan Zhafran, sejak dulu hinggalah ke saat ini dan insyaalah, kalau you tanya soalan yang sama selepas seribu tahun akan datang, jawapannya tetap sama, I tetap cintakan Zhafran.” Itulah pengakuan Lya yang telah berjaya merobek kejam sekeping hatinya.

Sudah puas dia memujuk, sudah puas dia berharap dan sudah puas juga dia berdoa tetapi Lya tetap jua memilih Zhafran. Dia terfikir sendiri, mungkinkah hatinya tidak cukup ikhlas sewaktu memanjat doa atau mungkin juga dia tidak cukup baik untuk TUHAN memakbulkan doanya? Tetapi, dia ingin sentiasa bersangka baik terhadap YANG ESA. Siapa tahu kalau doa-doanya sedang dikumpul dan akan dimakbulkan diakhirat nanti? Mana tahu, pasangannya di syurga kelak adalah bidadari yang lebih hebat dari Lya?

Tidak! Hatinya pantas membantah. Bariskanlah seribu bidadari di depan matanya, Lya juga akan tetap menjadi pilihan hatinya.

Ah! dia mengeluh lagi buat kesekian kalinya dan rasa sakit itu datang lagi mendera hatinya. Hari ini adalah hari di mana Lya akan sah menjadi milik Zhafran, adiknya sendiri dan sekaligus menutup terus peluang dia untuk memiliki Lya. Lantaran itu, dia menjadikan alasan kerja untuk lari ke bumi Kuantan dan saat ini, dia hanya duduk termenung di pantai Cherating menyaksikan ombak biru mencipta buih di tepi pantainya.

“Bang, aku tak nak bermusuh dengan kau hanya kerana seorang perempuan.” Bicara Zhafran beberapa hari yang lepas berlegar di kepalanya.

“Bercerita tentang Lya, semua perkara sudah tidak penting buat aku.” Hanya itu yang keluar dari bibirnya sebelum dia meninggalkan Zhafran yang terlopong memandang langkahnya.

Bagaimana dia ingin memujuk hati sendiri agar melepaskan Lya tanpa sebarang bantahan? Bagaimana dia ingin menanam rasa tidak sukanya pada Lya sedang dari sudut mana sekalipun, hatinya tetap menyukai Lya.

Sungguh.... dia sendiri tidak mengerti bagaimana Lya itu begitu mudah masuk ke hatinya dan mencipta satu rasa indah yang tidak pernah dia rasai selama ini. Bukan dia tidak pernah bercinta malah pernah juga berkahwin dengan wanita pilihan hatinya. Tetapi, semua itu tidak sama dengan apa yang dia rasai tatkala mengenali Lya. Bukan juga dia tidak pernah kecewa malah lebih teruk apabila isterinya berlaku curang tetapi yang peliknya, kesakitan yang dia rasa tidaklah sesakit saat Lya membuat keputusan untuk mengahwini Zhafran.

Pada dasarnya, Lya itu bukanlah perempuan yang boleh dikategorikan sebagai cantik bergaya seperti bekas isterinya tetapi cantiknya Lya itu adalah pada hati dan tingkahnya. Dia memang nampak kasar tapi dalam kasarnya ada kelembutan yang tersendiri. Dia spontan dalam berbicara tapi ada kejujuran dari hatinya. Yang paling penting, makin dipandang makin terserlah kecantikannya.

‘Oh! Aku boleh jadi gila kalau berterusan begini’, Hareez menjerit sendiri tetapi jeritan itu hanya terdengar di sudut paling dalam di hatinya.

1 comments:

Eppy Safri said...

Permulaan yg dah terasa sakitnyerr ditinggalkn org yg kiter sgt suker n sayang (cube ltk diri di sudut Hareez)

sukerrr n xsabo nk bc next :)